Hasilkan lebih ramai bakat STEM tempatan kukuhkan sektor pembuatan - Mustapa - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hasilkan lebih ramai bakat STEM tempatan kukuhkan sektor pembuatan – Mustapa

Hasilkan lebih ramai bakat STEM tempatan kukuhkan sektor pembuatan – Mustapa

19 Mei 2022

Kerajaan sedang menumpukan usaha menghasilkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk menangani cabaran dalam sektor pembuatan Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Perkara itu disuarakan semasa beliau berucap merasmikan Forum Kebangsaan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) mengenai STEM yang diadakan hari ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada Khamis.

Beliau berkata pembuatan merupakan antara sektor penting dengan potensi penyepaduan kepada rantaian nilai global, namun ia masih mengalami kekurangan bakat berkemahiran khususnya sainstis, pakar teknologi dan jurutera.

“Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertujuan membina asas untuk meletakkan Malaysia sebagai negara berstatus pendapatan tinggi pada 2025.

“Penting untuk negara kita mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang boleh memenuhi permintaan industri. Justeru, kemasukan penuntut ke dalam bidang STEM kekal menjadi tumpuan dalam usaha Malaysia untuk menjadi negara maju,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beliau juga berkata kekuatan industri pembuatan Malaysia berkait rapat dengan kemampuan negara menghasilkan bakat tempatan terbaik dalam bidang berkaitan STEM, di mana sektor ini berpotensi menyepadukannya dengan rantaian nilai global secara lebih ketara.

“Ini boleh dilakukan dengan memberi tumpuan lebih serius kepada perancangan dan pembangunan dalam aktiviti pembuatan. Penyelesaian teknikal baharu diperlukan untuk menggalakkan kemajuan dalam industri,” katanya.

Mustapa berkata inovasi dalam teknologi, rantaian bekalan dan pengurusan ini akan mempertingkatkan produktiviti dan kualiti proses pembuatan.

“Justeru, peserta industri mestilah bertindak proaktif dalam menggunakan teknologi baharu,” katanya.

Beliau mengulangi kepentingan tindakan membangunkan tenaga kerja yang dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan bidang berkaitan STEM memandangkan bakat tempatan amat diperlukan untuk melonjakkan sektor pembuatan dan ekonomi Malaysia secara keseluruhannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata pihaknya komited untuk memudah cara agenda kerajaan dalam membangunkan tenaga kerja STEM yang berkemahiran.

“Bakat merupakan antara pemacu produktiviti yang penting. Bertindak memperkukuh bakat tempatan membawa maksud memesatkan lagi pertumbuhan produktiviti. MPC akan bekerjasama dengan PEMUDAH dalam aspek ini. Menerusi inisiatif Nexus Produktiviti, MPC akan membentuk kerjasama inovatif dengan peserta industri dalam sektor pembuatan untuk menghasilkan lebih ramai bakat STEM,” katanya.

Menurut kenyataan MPC, industri pembuatan kekal menjadi sektor ekonomi penting Malaysia, apabila muncul sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengikut RMK12, sektor pembuatan diunjurkan berkembang pada 5.7 peratus setiap tahun.

Forum Kebangsaan PEMUDAH mengenai STEM yang dianjurkan bersama PEMUDAH, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FFM) dan MPC itu mengangkat tema ‘Pendidikan STEM: Kunci untuk Inovasi Pembuatan’ .

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon