B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hasil aeroangkasa Malaysia pulih tahun depan — NAICO

Hasil aeroangkasa Malaysia pulih tahun depan — NAICO

22 Mac 2021

Hasil daripada sektor aeroangkasa Malaysia dijangka pulih semula ke paras sebelum pandemik atau RM16.2 bilion  yang direkodkan semasa 2019, mulai 2022 dengan syarat industri ini mampu mendapatkan pakej kerja baharu daripada pengeluar peralatan asal (OEM).

Ketua Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) Shamsul Kamar Abu Samah berkata pakej kerja baharu  ini diharap  boleh diwujudkan bagi pembuatan dan perkhidmatan dalam ekosistem aeroangkasa.

“Kami menjangkakan sektor ini akan melantun semula dan mencapai tahap RM16 bilion bermula 2022. Bagaimanapun, tempoh pemulihan  boleh dipercepatkan sekiranya industri ini dapat mengembangkan  perniagaan kargo, jet mewah, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kemudahan latihan bagi mencapai hasil yang direkodkan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal Pertunjukan Penerbangan Selangor 2021 di sini hari ini.

Pakej kerja tersebut boleh diagihkan kepada pembekal tempatan bukan sahaja merangkumi Peringkat Pertama dan Peringkat Kedua, malah keseluruhan ekosistem itu boleh mendapat manfaat daripada penempatan produk.

“Kami ingin menyemarakkan pengeluaran komponen secara tempatan sebanyak mungkin,” katanya.

Di bawah projek jangka panjang itu, Malaysia merancang untuk membangunkan bahan sumber bio bagi pesawat dalam tempoh lima tahun.

“Kami sedang meneliti untuk menghasilkan bahan  sumber  bio  seperti kerusi pesawat, kabin dan peralatan. Ini akan memberi peluang kepada kami  bagi menghasilkan bahan-bahan bekenaan,” katanya.

Hasil aeroangkasa Malaysia mengecil antara 20 dan 30 peratus pada 2020 daripada paras 2019 iaitu  sebanyak RM16.2 bilion  selepas terjejas akibat pandemic COVID-19.

Ini telah menghentikan sebahagian besar aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa, manakala sejumlah tenaga kerja terpaksa ditamatkan ekoran sekatan perjalanan di seluruh dunia, menyebabkan pesawat komersial dan jet mewah perniagaan terpaksa disimpan.

“Kami masih menilai data kami dan berharap industri ini dapat pulih dengan cepat  pada tahun ini. Bagaimanapun, terdapat perniagaan penerbangan  lain yang berkembang, menyumbang kepada peningkatan aktiviti dan latihan MRO,” katanya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi sektor aeroangkasa yang akan diletakkan sebagai  komponen terpenting dalam industri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata faktor yang paling utama adalah bagaimana untuk mengurus serta menstabilkan industri di samping memastikan golongan yang terjejas dapat kekal dalam perniagaan dan kemahiran mereka dipertingkatkan dalam usaha menyokong industri apabila ia stabil dalam tempoh satu atau dua tahun dari sekarang.

Menurut Shamsul Kamar lagi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta NAICO bercita-cita untuk membawa pakej kerja baharu bagi membantu OEM terutamanya dalam pembekal Peringkat Pertama dan Peringkat Kedua, khususnya membabitkan pembangunan pesawat baharu seperti jet perniagaan atau pesawat kecil.

“Dalam jangka masa panjang, kami mahu mengukuhkan pemain yang kebanyakannya terlibat dalam pembuatan, MRO termasuk latihan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia boleh menggunakan bakat dan kepakaran tempatannya dalam membangunkan dron dengan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan dengan disokong oleh penyelidikan di universiti dan pusat latihan.

“Kami mahu membangunkan ekosistem yang bukan sahaja terhad kepada dron tetapi  merangkumi  pesawat  tanpa pemandu (UAV) termasuk pesawat berautonomi dan yang mampu terbang secara menegak atau berlepas melalui landasan yang pendek.

“Untuk  mampu menghasilkan produk kami sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang seperti dron atau UAV, kami  perlu melihat bagaimana  untuk membangunkan produk tempatan yang boleh digunakan bagi pasaran domestik dan serantau,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon