B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tindakan Korea Utara tidak jejaskan pelaburan asing – Azmin

Tindakan Korea Utara tidak jejaskan pelaburan asing – Azmin

20 Mac 2021

Tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak akan menjejaskan pelaburan asing ke dalam negara, kata Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ini adalah kerana apa yang telah negara ini lakukan iaitu mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat adalah berlandaskan undang-undang termasuk undang-undang antarabangsa.

“Ia turut diperhatikan pelabur-pelabur asing sama ada Malaysia ambil tindakan selari dengan peruntukan perlembagaan dan peruntukan undang-undang.

“Jadi kalau kita berpegang pada Keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara serta antarabangsa, saya tidak melihat ia akan menjejaskan (pelaburan asing), malahan Malaysia masih lagi menjadi destinasi pelaburan yang amat popular dalam kalangan pelabur asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Khas COVID-19 Untuk Sekolah-Sekolah Parlimen Gombak sumbangan Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin berkata sebagai bukti bahawa Malaysia kekal menjadi destinasi pillihan pelabur asing, negara ini bakal menerima pelaburan asing baharu dari sebuah syarikat Korea Selatan bernilai RM2.3 bilion bagi membina kilang pengeluaran bateri kenderaan elektrik di Sabah.

“Esok saya akan ke Sabah bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang akan menyaksikan perjanjian pelaburan baharu syarikat dari Seoul ini.

“Ini merupakan kemudahan pertama syarikat berkenaan di luar Korea dan mereka memilih Malaysia untuk bangunkan kilang mereka yang menggunakan teknologi hijau,” jelas beliau.

Selain itu, Azmin berkata baru-baru ini, syarikat pengeluar kertas dan ‘paperboard’ terbesar di Asia, Nine Dragons Paper (Holdings) Ltd juga akan menambah pelaburan sebanyak RM5.4 bilion di Malaysia.

“Ini akan beri kesan positif kepada sektor tenaga kerja di Malaysia dimana rakyat akan mendapat pekerjaan berkualiti dengan pendapatan lebih baik.

“Ini semua bukti yang cukup menyakinkan bahawa Malaysia masih menjadi destinasi pelaburan asing sebab kestabilan dan kemakmuran negara serta tenaga kerja yang mahir dan mampu menguasai beberapa bahasa, antara faktor pelabur asing datang ke Malaysia,” katanya.

Menurut laporan media, Pyongyang pada Jumaat mengumumkan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah awal bulan ini memutuskan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan pengubahan wang haram.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon