B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hartalega labur RM7 bilion bina 16 kilang di Kedah

Hartalega labur RM7 bilion bina 16 kilang di Kedah

10 Mac 2021

Hartalega Holdings Bhd (Hartalega) akan melabur RM7 bilion untuk membina 16 kemudahan pengeluaran sarung tangan baharu di Bukit Kayu Hitam, Kedah dalam tempoh 20 tahun akan datang yang dijangka mewujudkan lebih 12,000 peluang pekerjaan.

Pengeluar sarung tangan terkemuka itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Hartalega NSM Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian jual beli dengan Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd (Northern Gateway Free Zone), anak syarikat milik penuh Northern Gateway Sdn Bhd (Northern Gateway), iaitu Pengusaha Utama bagi Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana (SBEZ) untuk pembelian tanah kira-kira 100 hektar di Bukit Kayu Hitam.

Kedua-dua pihak juga telah menandatangani perjanjian opsyen untuk Hartalega membeli lagi tanah seluas 52 hektar di lokasi yang sama.

Northern Gateway adalah entiti milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong, strategi pertumbuhan pengeluar sarung tangan nitril itu kekal tertumpu di Malaysia, memandangkan ekosistem dan rantaian bekalan yang komprehensif untuk sektor sarung tangan.

Beliau berkata, rancangan pengembangan syarikatnya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia.

Katanya, pertumbuhan semasa kumpulan itu di Selangor akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 63 bilion keping menjelang 2023.

“Pembinaan kemudahan pengeluaran di Kedah akan membabitkan dua fasa dengan pembinaan lapan kilang untuk setiap fasa. Kami menyasarkan fasa pertama akan siap menjelang 2024.

“Kota Perdana (Kedah) akan menambah 80 bilion sarung tangan setiap tahun, menjadikan kapasiti pembuatan Hartalega meningkat kepada 143 bilion sarung tangan setahun, setelah ia siap sepenuhnya,” katanya pada majlis itu di sini, hari ini.

Majlis disaksikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Pengerusi Hartalega, Kuan Kam Hon.

Mun Leong berkata, kemudahan pengeluaran baharu di Kedah itu akan dilengkapi dengan peralatan paling maju dan teknologi internet untuk segalanya (IoT).

Beliau berkata, selain limpahan ekonomi, kemudahan pengeluaran di Kedah itu akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk negeri itu dan komuniti berdekatan, sejajar dengan visi korporat Hartalega menjadi syarikat penyayang kepada komuniti dan persekitaran.

Mengenai tinjauan permintaan sarung tangan, beliau berkata, permintaan masih kukuh untuk keseluruhan tahun ini dan purata harga jualan (ASP) juga dijangka kekal utuh.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon