B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hab inovasi 4IR MRANTI sasar manfaat 1,250 pemilik perniagaan pada 2022

Hab inovasi 4IR MRANTI sasar manfaat 1,250 pemilik perniagaan pada 2022

26 Mei 2022

Hab Inovasi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang dibangunkan di Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) Park akan memberi manfaat kepada 1,250 pemilik perniagaan pada tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata inisiatif ini turut disasar untuk membantu 5,000 bakal usahawan melalui pendedahan kepada teknologi 4IR termasuk sebagai sokongan kepada 50 syarikat yang mahu membina prototaip produk mereka.

Projek menaik taraf MRANTI Park kepada Hab Inovasi 4IR memberi tumpuan ke arah mewujudkan platform inovasi pembangunan usahawan serta pusat pengkomersialan bagi mengalakkan inovasi dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ia juga memberi fokus terhadap menyediakan makmal eksperimen dalam membantu PMKS atau pemula niaga menjalankan aktiviti prototaip selain menyediakan alat bantu pembangunan kapasiti dan keupayaan secara berterusan.

Dr Adham berkata pusat inovasi bertemakan 4IR, MRANTI MakersLab yang dilancarkan hari ini merupakan salah satu insiatif kerajaan dalam membimbing usahawan secara menyeluruh, bermula daripada proses pembangunan prototaip sehingga kepada pengkomersialan produk.

“Menyedari hakikat bahawa tiada fasiliti menyeluruh menyebabkan terdapatnya jurang antara ketersediaan inisiatif yang ditawarkan dan proses pengkomersialan yang dijalankan.

“Ini merupakan salah satu punca mengapa banyak hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang diusahakan oleh usahawan tidak dapat dikomersialkan,” katanya pada majlis pelancaran MRANTI MakersLab, di sini.

Dr Adham berkata MRANTI MakersLab diwujudkan untuk menyediakan ruang khusus yang dilengkapi dengan kemudahan ujian dan latihan bagi membolehkan para inovator menjalankan pandu uji produk, serta teknologi yang memerlukan ujian lapangan.

MRANTI Makerslab yang mempunyai keluasan 2,000 kaki persegi ketika ini akan dipertingkatkan kepada 5,000 kaki persegi menjelang November depan.

Ia menyediakan perkhidmatan merangkumi reka bentuk dan prototaip teknologi dron, kursus percetakan 3D inovatif termasuk sistem pembuatan fleksibel 4IR serta teknologi bio sains.

Source: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon