B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Hab halal Tanjung Manis diteruskan

Hab halal Tanjung Manis diteruskan

08 Nov 2022

Projek pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis dengan peruntukan RM59 juta dijangka siap tahun depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan projek itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepemimpinan Perdana Menteri yang berhasrat untuk meneruskan Projek Pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis dengan harapan mampu mendominasi industri halal dunia.

“Pelaksanaan projek ini juga akan memberi manfaat dan impak besar kepada sosioekonomi penduduk dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi di bandar baru Tanjung Manis.

” Meskipun Bajet 2023 ini belum diluluskan, namun jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk meneruskan segala yang telah dibentang ini harus disokong sepenuhnya kerana peruntukan kepada industri halal adalah yang tertinggi berbanding bajet pada 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Jelajah Halal Malaysia 2022 peringkat negeri di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri – Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak menyokong penuh pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 yang bersandarkan kepada tujuh teras strategik utama.

Teras strategik itu ialah menggalakkan tawaran industri halal yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing; membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang berdaya saing serta memacu peningkatan sosioekonomi lebih mampan, seimbang dan menyeluruh.

Katanya, pelan itu juga dilihat bergerak seiring dengan Strategi Pembangunan Ekonomi Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan terhadap sektor pertanian untuk mengeluarkan makanan berkualiti dari segi nutrisi, baik untuk diet dan kesihatan, seterusnya memacu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

“PCDS 2030 juga akan fokus kepada pembangunan infrastruktur digital secara usaha sama dengan sektor swasta yang memberi penekanan kepada pengeluaran serta pemasaran untuk menjadikan sektor pertanian lebih lestari, seterusnya menjamin sekuriti makanan negara dan dunia amnya.

“Saya turut mengikuti Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBCC) 2022 di Australia pada September lalu yang menekankan kepada aspek rantaian bekalan makanan yang sudah menjadi isu global,”katanya.

Beliau berharap agenda PCDS 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih hasil dan produk pertanian berkualiti tinggi menjelang 2030 dapat memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa terutamanya dalam pasaran halal dunia.

Terdapat beberapa inisiatif yang difokuskan bagi merancakkan industri halal negara dengan peruntukan sebanyak RM92 juta.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Bahagian Halal Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ramzen Ambi dan Penolong Setiausaha Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa (MINTRED) Sharifah Mastura Wan Razali.

Sumber: Utusan Sarawak

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon