B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


DDI, FDI sama penting kepada ekonomi Malaysia

DDI, FDI sama penting kepada ekonomi Malaysia

08 Nov 2022

Pelaburan langsung domestik (DDI) adalah sama pentingnya kepada ekonomi Malaysia seperti pelaburan langsung asing (FDI).

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata dalam 10 tahun lalu dari 2012 hingga 2021, FDI menyumbang 35.8 peratus atau RM761.7 bilion, manakala DDI menyumbang 64.2 peratus atau RM1.364 trilion dalam semua sektor ekonomi.

“Sektor perkhidmatan menyaksikan tahap tertinggi pelaburan diluluskan (RM1.2 trilion), diikuti sektor pembuatan (RM818.4 bilion) dan sektor primer (RM103.7 bilion).

“Kita mesti faham bahawa FDI hanyalah sebahagian daripada persamaan, manakala industri dan ekosistem domestik yang kukuh juga penting.

“FDI dan DDI saling melengkapi. Kedua-dua pelaburan itu adalah dari keadaan pasaran yang sama iaitu perniagaan yang kompetitif, saksama dan stabil.

“Permintaan domestik yang kukuh menghasilkan lebih banyak DDI. Justeru, DDI yang sihat adalah penting untuk FDI yang berjaya,” katanya dalam program ‘Anjakan Paradigma: Meningkatkan DDI Bagi Pertumbuhan Ekonomi Mampan’ anjuran MIDA di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Ambank Research, Dr Anthony Dass, berkata DDI dipertingkatkan bagi memastikan ia dapat menyumbang kepada ekonomi negara secara mampan.

Beliau berkata, Malaysia ketika ini mempunyai jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang besar dan adalah penting supaya syarikat berkenaan diperkasakan.

Justeru, katanya bagi memastikan kelangsungan DDI, semua pihak harus memainkan peranan meningkatkan kapasiti PMKS.

“Kita perlu meningkatkan 10 peratus perusahaan mikro ke kecil dan 10 peratus kecil ke sederhana seterusnya 10 peratus sederhana ke besar.

“Tidak perlu menyasarkan jumlah yang besar, cukup dengan hanya 10 peratus sasaran peningkatan. Ini secara tidak langsung akan menjadi satu daya penarik kepada perusahaan PMKS lain untuk turut berganjak dari satu peringkat ke satu peringkat,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program itu.

Das berkata, fokus juga harus diberikan kepada lonjakan pantas ke arah elemen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan PMKS tempatan memandangkan hampir 70 peratus syarikat luar yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia menggunakan elemen itu.

Katanya, jika PMKS terlewat untuk melaksanakannya, ia akan memberi satu kerugian seterusnya menjejaskan DDI.

Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin pula berkata menghidupkan semula DDI adalah penting bagi meningkatkan kapasiti produktif ekonomi, mempercepatkan kemajuan teknologi, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengembangkan eksport.

Beliau berkata, sebagai negara kesembilan yang meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), perniagaan akan mendapat manfaat selanjutnya menyumbang kepada pemulihan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon