Grid masa depan penentu peralihan tenaga - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Grid masa depan penentu peralihan tenaga

Grid masa depan penentu peralihan tenaga

14 Jun 2021

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus mengutamakan pelaburan bagi memodenkan Grid Nasional menjadi Grid Masa Depan yang kekal berdaya harap, mudah pulih daripada gangguan, pintar dengan teknologi digital  dan fleksibel dalam memenuhi keperluan peralihan tenaga negara.

Grid Nasional perlu dipersiap untuk menerima suntikan tenaga boleh baharu (RE) agar berupaya menyokong aliran tenaga  dua arah yang dinamik di samping mengekalkan kestabilan voltan, sejajar matlamat peralihan tenaga daripada  bahan bakar kepada RE sebanyak 31 peratus menjelang 2025.

Justeru, TNB di bawah kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) merancang pelaburan RM9 bilion setahun dalam  tempoh 2021 hingga 2024 (tertakluk kepada kelulusan Kerajaan) bagi meneruskan usahanya membangunkan Grid Masa  Depan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga dengan menghubungkan seluruh Rantaian Nilai daripada penjanaan  kepada penghantaran dan pembahagian seterusnya ke premis pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin, bagi merealisasikan matlamat tersebut, TNB perlu terus  melabur supaya grid lebih konsisten dan fleksibel untuk menerima sumber lain, khususnya RE seperti solar yang semakin  berkembang dengan ramai pengguna menjadi prosumer.

Ujarnya, kualiti bekalan elektrik semasa negara sudah bertaraf dunia, malah lebih baik berbanding sebahagian negara  maju termasuk di Eropah.

“Dalam Sistem Minit Penghantaran yang mengukur minit gangguan akibat voltan tinggi bagi setiap tahun, TNB mencatat penurunan kepada 0.08 minit pada 2020 bagi 12 tahun berturut-turut di bawah paras dua minit.

“Ini merupakan pencapaian unggul di Asia Tenggara dan dunia. Sebagai perbandingan, ESKOM Afrika Selatan mencatat  3.16 minit (2019), TransGrid Australia 0.25 minit (2019) dan FinGrid 0.15 minit (2020),” katanya dalam kenyataan, baru-baru  ini.

Jelas beliau, pengukuhan sistem grid sahaja tidak mencukupi kerana kepintaran teknologi digital turut digunakan bagi melengkapkan aspirasi GoTF.

“Grid telah merangka satu strategi komprehensif yang dinamakan Program Grid Digital Transformation yang  memfokuskan pembangunan digital pada empat teras asas iaitu aset, warga kerja, sistem dan inovasi.

“Sebanyak 55 inisiatif digital giat dijalankan di bawah program ini dan dikemudi oleh Control Tower, satu fungsi baharu  yang diwujudkan bagi memastikan perjalanan Grid Digital Transformation dilaksanakan dengan berkesan di samping memaksimumkan pulangan pelaburan yang dibuat selaras dengan aspirasi Reimagining TNB (RT),” ujarnya.

Pengguna sebenarnya sudah mula menikmati grid masa depan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi pelaburan modal TNB di bawah IBR antaranya Distribution Automation (DA), penggunaan Geospatial Information System
(GIS) dan Advanced Metering Infrastructure dengan sistem grid yang berdaya tahan serta dilengkapi dengan keselamatan
siber.

Inisiatif tersebut bermula dengan RT sejak 2016 dan penyediaan grid masa depan merupakan satu daripada empat  tonggak utama RT bagi mencapai sasaran TNB sebagai antara 10 utiliti ternama di dunia menjelang 2025.

RANGKAIAN PENGEDARAN (DN)

Sistem Indeks Purata Tempoh Gangguan (SAIDI) yang merupakan kaedah industri tenaga global mengukur purata  tempoh masa dilalui pengguna ketika gangguan bekalan berlaku dalam setahun pula menurun secara konsisten di bawah  paras 60 minit sejak 2014 sehingga mencapai 44.95 minit pada tahun lalu.

Pencapaian itu meletakkan TNB pada kedudukan bertaraf dunia bagi kategori Country SAIDI selepas KEPCO South Korea  (8.31 minit) dan DES Brunei (34 minit).

SAIDI bagi negara maju seperti Perancis (Enedis) ialah 64.2 minit manakala Itali (Enel) mencatat 49 minit.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, pihaknya menyasarkan pelaksanaan  DA ke atas 49 peratus pencawang pembahagian TNB menjelang 2025 dalam program pemodenan Rangkaian  Pembahagian bagi menyokong Grid Masa Depan.

Ujarnya, DA membolehkan pemulihan gangguan bekalan ke pencawang pembahagian dapat dilakukan dalam tempoh  sepantas lima ke 15 minit berbanding 120 minit sebelum pelaksanaannya berdasarkan data 2014.

“Ia dipermudahkan oleh pengesanan gangguan dalam tempoh lebih pantas melalui penggunaan Geospatial Information  System (GIS) yang memetakan aset-aset TNB seperti kabel bawah tanah dengan tepat. Kecekapannya dipertingkat melalui pertambahan produktiviti pekerja yang menggunakan penyelesaian secara digital di lapangan.

“Selain itu, ia turut dilengkapi Advanced Distribution Management System (ADMS) yang membolehkan grid mempunyai keupayaan untuk pulih dengan  sendiri. Ia mampu mengasingkan kerosakan rangkaian dan pemulihan secara automasi.

“Bagi mengekalkan kestabilan voltan, Volt-VAR Optimisation (VVO) turut dilaksanakan. Ini adalah lima daripada tujuh inisiatif sedang giat dilaksanakan TNB di seluruh semenanjung. Terdapat lima lagi inisiatif tambahan bakal dilaksanakan bagi menyempurnakan Program Utiliti Pintar seiring transformasi Reimagining TNB,” katanya.

Wan Nazmy memberitahu, semua usaha ini menjadi lebih berkesan apabila penyertaan pelanggan diperkasa melalui pemasangan meter pintar yang telah mencapai lebih 1.2 juta di Melaka dan Lembah Klang, membolehkan pelanggan mengawal penggunaan tenaga masing-masing melalui pemantauan data secara harian di portal web dan aplikasi myTNB.

“Hasil pelaburan besar-besaran ini dapat dinilai oleh penanda aras Smart Grid Index (SGI) 2020, dengan TNB mendapat  62.5 peratus, tempat kedua di Asean di belakang SP Power, Singapura (75 peratus). Aspirasi TNB adalah mencapai 85  peratus pada 2025 untuk menjadi antara 20 utiliti terbaik dalam SGI World Ranking,” jelasnya.

SGI adalah indikator pengukuran tahap pencapaian Grid Pintar utiliti tenaga seluruh dunia berdasarkan tujuh dimensi  utama iaitu kepuasan dan pemerkasaan pelanggan, keselamatan, tenaga hijau, pemantauan dan kawalan, analisis data,  daya harap bekalan dan integrasi tenaga boleh baharu teragih.

Tambah beliau, selain memenangi hati pelanggan dengan memberikan perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan,  pelaksanaan pelbagai program untuk Grid Pintar ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Pelaksanaan program ini bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi negara, memajukan sektor tenaga hijau, memesatkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Selain itu, program ini juga akan menyokong agenda nasional untuk bergerak ke arah ekonomi rendah karbon serta  memacu aspirasi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dengan membangunkan keupayaan dan kemahiran pembekal,”  katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon