Greatech labur RM1.3 bilion kembangkan kilang di Batu Kawan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Greatech labur RM1.3 bilion kembangkan kilang di Batu Kawan

Greatech labur RM1.3 bilion kembangkan kilang di Batu Kawan

28 Feb 2023

Penyedia penyelesaian automasi terkemuka yang berpangkalan di Malaysia, Greatech Technology Bhd (Greatech) melabur kira-kira RM1.3 bilion untuk mengembangkan kilang pembuatan keempatnya di Batu Kawan.

Ketua Pegawai Eksekutif Greatech, Datuk Tan Eng Kee, berkata kemudahan baharu seluas 500,000 kaki persegi dengan perbelanjaan modal dianggarkan RM200 juta serta perbelanjaan mengurus yang dianggarkan RM1.1 bilion dikhususkan untuk mengeluarkan produk solar.

“Kemudahan baharu yang dibina di kawasan seluas 4.69 hektar (11.58 ekar) di Taman Perindustrian Batu Kawan (B.K.I.P) dijangka beroperasi pada akhir tahun ini.

“Apabila siap, Greatech akan mempunyai jumlah keluasan lantai yang digabungkan lebih daripada 1.2 juta kaki persegi,” katanya kepada pemberita semasa majlis pecah tanah kilang itu yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Eng Kee berkata, kilang baharu itu dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan untuk menyokong ekosistem dengan permintaan yang semakin meningkat.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata, syarikat tempatan di Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam menggalakkan pertumbuhan sektor jentera dan peralatan (M&E) di negeri itu.

“Dari segi pelaburan, Pulau Pinang adalah antara penyumbang utama kepada pelaburan sektor pembuatan yang diluluskan dengan RM9.2 bilion direkodkan dari Januari hingga September 2022.

“Pelaburan dalam industri M&E sahaja berjumlah RM7.3 bilion dari 2020 hingga September 2022, mewakili kira-kira 57 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di negara ini. Ini telah meletakkan kami di trajektori yang tepat untuk menjadi hab pembuatan peralatan global,” tambahnya.

Greatech bermula pada tahun 1997 dan beribu pejabat di Bayan Lepas dengan kemudahan yang terletak di Bayan Lepas, Batu Kawan dan Amerika Syarikat (AS).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon