B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MGTC jangka pelanjutan tempoh insentif GITA, GITE memacu pelaburan hijau, sektor EV

MGTC jangka pelanjutan tempoh insentif GITA, GITE memacu pelaburan hijau, sektor EV

27 Feb 2023

Pelanjutan tempoh insentif skim Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) sehingga 31 Dis, 2025 untuk aktiviti hijau yang layak melalui Belanjawan 2023, akan terus memacu pelaburan hijau seperti dalam sektor kenderaan elektrik (EV), kata Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, sejak 2016, inisiatif itu telah membawa kepada pelaburan sebanyak RM5.2 bilion, bersamaan dengan pengurangan sebanyak 10.7 juta tan karbon dioksida dan penjimatan kos operasi sebanyak RM880 juta setahun untuk 1,091 syarikat.

“Kami mengalu-alukan perkembangan optimistik dalam sektor EV yang mana lebih banyak kemudahan pengecasan akan dipasang di lokasi-lokasi tumpuan.

“Pengecualian duti eksais dan cukai jualan untuk EV pemasangan tempatan (CKD) juga telah dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2027, begitu juga tempoh pengecualian cukai import untuk komponen yang digunakan dalam pemasangan CKD tempatan bagi EV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Bahar berkata pada masa yang sama, pengeluar peralatan pengecasan EV akan diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun atau elaun cukai pelaburan 100 peratus.

Beliau berkata pelan ini akan menggalakkan pembangunan industri EV tempatan dan menyokong penggunaannya di negara ini.

Mengenai peningkatan jumlah pembiayaan di bawah skim pembiayaan teknologi hijau kepada RM3 bilion yang akan digunakan dari 2023 hingga 2025, Shamsul Bahar berkata inisiatif itu dijangka menarik lebih ramai pemaju untuk menghasilkan kemudahan infrastruktur rendah karbon dan bangunan hijau, serta memacu pertumbuhan perusahaan yang menyokong pelaksanaan kitarannya.

“Secara mendalamnya, Belanjawan 2023 menangani bidang penting untuk membantu memastikan negara terus membangun dan mencapai pengembangan ekonomi hijau yang membanggakan.

“Dengan kepakaran dan kapasiti kami, MGTC akan melaksanakan semua inisiatif dengan berkesan untuk membantu mengemudi negara kita ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030,” katanya.

Shamsul Bahar berkata ia memberi inspirasi untuk melihat kerajaan membuat peruntukan yang besar bagi meningkatkan kemampanan alam sekitar dan MGTC akan menyokong kemajuan ini bagi memulihara dan memulihkan alam semula jadi melalui teknologi hijau.

“Kami menggesa pemain-pemain industri untuk menyokong cadangan insentif ini bagi memupuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi sambil memastikan aset-aset asli Malaysia terus berkembang maju,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon