B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


FMM seru PKS ceburi Industri 4.0 untuk manfaatkan pasaran global

FMM seru PKS ceburi Industri 4.0 untuk manfaatkan pasaran global

01 Dis 2022

Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menceburi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) bagi membolehkan mereka memanfaatkan pasaran global dan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata PKS menghadapi isu seperti kekurangan modal dan saiz syarikat mereka ketika cuba menerima pakai Industri 4.0.

“Pertamanya, mereka kecil, dan ada juga syarikat mikro. Modal mereka juga kecil, dan kos permulaan Industri 4.0 adalah tinggi,” katanya.

Soh berkata Industri 4.0 juga akan meningkatkan kelajuan pengeluaran dan output serta membolehkan PKS meneroka ke peringkat global.

“Apabila pengeluaran terlalu besar, di manakah pasaran? Malaysia terlalu kecil. Jadi apabila PKS menceburinya, mereka takut dengan isu akses pasaran ini.

“Itulah sebabnya kami menggalakkan PKS menceburi Industri 4.0 supaya mereka boleh menggerakkan produk mereka ke seluruh dunia, dan Malaysia boleh menandatangani lebih banyak FTA,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Industri 4.0 FMM 2022: Rantaian Bekalan Digital di sini hari ini.

Beliau berkata 67.5 peratus daripada jumlah hasil perdagangan Malaysia datang daripada perjanjian perdagangan bebas.

Latihan semula dan peningkatan kemahiran pekerja

Soh juga menyeru PKS untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka bagi meningkatkan pengeluaran dan proses mereka.

Beliau berkata FMM telah bekerjasama dengan kerajaan dalam pelbagai inisiatif, program, latihan dan aktiviti Industri 4.0 untuk manfaat pengeluar tempatan, termasuk pelancaran Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD).

Sejak pelancaran dasar itu pada 2018, Soh berkata kira-kira 55 peratus ahlinya telah menggunakan automasi, tetapi kadar itu dianggap rendah.

“Kadar penggunaan automasi itu terlalu rendah. Oleh itu, kami mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan dana automasi bagu PKS dan dana perantisan daripada levi pekerja asing,” katanya.

Dalam persidangan sehari itu, FMM turut melancarkan portal perniagaan-ke-perniagaan FMM baharu yang merupakan pasaran berasaskan laman sesawang yang bertujuan mewujudkan peluang jualan untuk pengeluar tempatan.

“Portal itu akan memberi tumpuan kepada mempromosikan produk dan perkhidmatan dengan menghubungkan pembeli dan penjual tempatan serta antarabangsa melalui platform itu. Ia adalah pasaran untuk perusahaan global yang mendapatkan pembekal dan produk berkualiti.

“Lebih 20,000 katalog produk ditawarkan oleh 3,650 ahli pembekal dari Malaysia,” katanya sambil menambah FMM menyasarkan untuk menyenaraikan 50,000 produk menjelang akhir 2023.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon