B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ericsson mampu lahirkan tenaga kerja mahir 5G untuk Malaysia

Ericsson mampu lahirkan tenaga kerja mahir 5G untuk Malaysia

11 Apr 2021

KUALA LUMPUR, 11 April — Malaysia yang menyasarkan untuk  melonjakkan transformasi digital menerusi pelancaran teknologi 5G, dijangka meraih manfaat menerusi pembabitan Ericsson yang dilabelkan sebagai peneraju dalam pasaran prasarana rangkaian 5G oleh rma perunding perniagaan Frost & Sullivan.

Presiden Ericsson bagi Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata syarikat gergasi telekomunikasi Sweden itu juga berada dalam kedudukan baik serta bersedia membawa masuk penyelesaian utama bagi kelangsungan usaha mewujudkan tenaga kerja berkemahiran 5G untuk Malaysia.

Ini termasuk kerjasama  Ericsson dengan Universiti  Teknologi  Malaysia (UTM) dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi bagi menyokong agenda Revolusi Perindustrian Ke-4 Malaysia menerusi  Rangka Kerja 10-10 Inovasi dan Pembangunan Ekonomi Teknologi Sains Malaysia (MySTIE10-10), katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, adalah membanggakan apabila Ericsson berada di kedudukan teratas dalam pasaran prasarana rangkaian 5G menerusi senarai terkini Frost Radar™ yang merangkumi rangkaian akses radio (RAN), rangkaian teras dan pengangkutan.

Malah, pengiktirafan itu diumumkan kurang sebulan selepas Ericsson dinobatkan sebagai peneraju laporan ‘2021 Magic Quadrant for 5G Network Infrastructure for Communications Service Providers (CSPs) 2021’ oleh Gartner.

“Ericsson akan terus membuat pelaburan besar dalam 5G bagi memastikan kami mempunyai portfolio terbaik serta profesional mahir bagi menepati keperluan pelanggan.

“Ini akan memberi keyakinan kepada negara-negara yang telah menyasarkan kemudahan 5G, termasuk Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh,” katanya.

Penyenaraian Ericsson pada kedudukan teratas pasaran rangkaian prasarana 5G itu akan turut membolehkannya memanfaatkan kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran infrastruktur 4G pada masa ini.

Syarikat berkenaan telah menjana semua generasi mobiliti di Malaysia seperti 2G, 3G, 4G dan terbaharu menjadi pihak pertama menjalankan ujian 5G di Malaysia bersama-sama dengan pelanggannya, Celcom Axiata.

“Di Ericsson, kami sentiasa membuat pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bagi membangunkan produk penyelesaian terbaik yang ada kelebihan selain inovatif,” kata Hagerbro.

Ericsson mempunyai lebih 130 perjanjian komersial 5G dengan penyedia perkhidmatan komunikasi dan 83 rangkaian langsung 5G di serata dunia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon