B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ericsson dipilih bangunkan rangkaian 5G negara

Ericsson dipilih bangunkan rangkaian 5G negara

02 Jul 2021

Digital Nasional Bhd (DNB) melantik firma telekomunikasi Sweden Ericsson, sebagai rakan strategik dalam mempercepatkan pembangunan rangkaian serta ekosistem perkhidmatan rangkaian teknologi generasi kelima (5G) negara.

Keputusan itu dibuat selepas pelaksanaan bidaan tender yang bermula Mac lalu.

Susulan itu, DNB berkata, ia akan melancarkan 5G akhir tahun ini di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

Pengerusinya, Datuk Asri Hamidon, berkata pelancaran itu sebahagian daripada usaha kumpulan dalam mempercepat pelaksanaan rangkaian dan ekosistem 5G di Malaysia.

Beliau berkata, DNB juga menyasarkan untuk melaksanakan rangkaian 5G ke lima bandar dan daerah utama di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak pada 2022.

Pelaksanaan itu katanya akan diikuti oleh 17 bandar serta kawasan pedalaman bermula pada 2023.

DNB katanya menjalin kerjasama dengan Ericsson Malaysia Sdn Bhd dalam usaha mempercepat pelaksanaan 5G dan membolehkan matlamat liputan penduduk sebanyak 80 peratus dapat dicapai menjelang 2024.

“Reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G negara itu akan dilaksanakan oleh Ericsson dengan kos bernilai RM11 bilion, termasuk sewaan menara serta pajakan gentian.

“Lebih 60 peratus daripada jumlah itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh kontraktor Bumiputera serta warga Malaysia lain bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

DNB adalah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan bagi membangunkan, memiliki serta menjalankan operasi prasarana 5G Malaysia.

Mengulas lanjut, Asri berkata, DNB juga akan menumpukan dalam sekuriti aliran tunai masa depan daripada perniagaan borongnya menerusi program sukuk untuk membiayai semua perbelanjaan pengoperasian rangkaian lain serta membayar balik semua pengaturan pembiayaan vendor.

Beliau berkata, Ericsson akan melakukan aspek reka bentuk serta pembangunan rangkaian menyeluruh 5G yang meliputi teras, rangkaian akses radio (RAN), operasi dan sistem bantuan perniagaan (OSS/BSS) dan perkhidmatan pengurusan.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu katanya akan turut melaksanakan program pembangunan kapasiti dan inovasi bagi menyokong pembangunan serta penyertaan vendor tempatan selain memacu penerimagunaan 5G.

“Ini menjadikan DNB kekal berada pada kedudukan tepat dalam usaha mengetengahkan teknologi dan penyelesaian pada harga kompetitif bagi memacu penerimagunaan 5G di seluruh negara.

“Model kerjasama ini akan turut mempercepat pelaksanaannya ke Sabah dan Sarawak, sekali gus memacu pergerakan Malaysia ke arah menyediakan perkhidmatan dan kesalinghubungan 5G secara inklusif dan dipertingkat di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon