B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Enovix labur AS$100 juta buka kemudahan baharu di Pulau Pinang

Enovix labur AS$100 juta buka kemudahan baharu di Pulau Pinang

01 Ogo 2023

Enovix Corporation (Enovix), sebuah syarikat bateri silikon termaju, merancang melabur AS$100 juta untuk membuka kemudahan pembuatan baharu di Penang Science Park.

Ketua Pegawai Operasi Enovix, Ajay Marathe, berkata kemudahan baharu itu akan menjadi satu kejayaan penting bagi Enovix kerana ia menyasarkan untuk meningkatkan teknologi bateri silikon termajunya.

“Enovix dan YBS International Bhd (YBS), sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang berpangkalan di Malaysia, memeterai perjanjian rasmi hari ini sebagai tanda meraikan kemudahan pembuatan baharu kami di Penang Science Park.

“Kami sangat teruja untuk mengumumkan peristiwa penting ini. Selain bekerjasama dengan YBS, kami berharap dapat bekerjasama dengan MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), Wilayah Ekonomi Koridor Utara, dan InvestPenang untuk memasukkan insentif pelaburan, yang akan menyokong usaha jangka panjang kami di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani rasmi Perjanjian Bekalan Pembuatan (MSA) antara Enovix dan YBS.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman; CEO YBS, Jackie Yong Chan Cheah; Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon; dan CEO InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.

Ajay berkata, Malaysia dan terutamanya Pulau Pinang, kaya dengan jurutera terlatih semikonduktor yang mempunyai daya pemikiran cemerlang dalam pembuatan.

Beliau berkata, kerjasama yang dicadangkan itu akan menjadi platform bagi kumpulan dan anak syarikatnya untuk mempelbagaikan, mengembangkan dan mengukuhkan lagi perniagaannya.

Kerjasama itu juga akan memberikan aliran pendapatan kepada kumpulan, sekali gus akan menyumbang kepada keuntungan kumpulan pada masa depan serta menyokong pertumbuhan pesat kumpulan itu di rantau ini, katanya.

Sementara itu, Arham berkata penubuhan hab pembuatan Enovix di Malaysia menandakan satu langkah penting, membawa teknologi bateri anod silikon termaju ke negara ini.

Beliau berkata, ini memberikan peluang unik kepada syarikat tempatan seperti YBS untuk bekerjasama dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global, yang mendapat manfaat daripada kepakaran mendalam Enovix, mendatangkan keuntungan dari segi kos dan akses kepada teknologi terkini.

“Pakatan sebegini mewujudkan sinergi dinamik, menyumbang kepada pertumbuhan kukuh ekonomi negara kita, sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Pelaburan Baharu (NIP) kita.

“Kerjasama anda mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang dipacu inovasi dan akan membolehkan kami terus mencipta peluang kerjaya baharu dan menarik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon