Bosch labur RM1.62 bilion bina kilang baharu di Pulau Pinang - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bosch labur RM1.62 bilion bina kilang baharu di Pulau Pinang

Bosch labur RM1.62 bilion bina kilang baharu di Pulau Pinang

01 Ogo 2023

Bosch, pembekal global terkemuka bagi teknologi dan perkhidmatan merancang melabur kira-kira 350 juta euro (RM1.62 bilion) secara berperingkat menjelang pertengahan 2030 bagi mengukuhkan aspek pengeluaran semikonduktor di Malaysia.

Pelaburan itu membabitkan kemudahan pengeluaran sokongan semikonduktor termaju di Asia untuk pengujian akhir cip dan sensor automotif.

Ahli Lembaga Sektor Mobiliti Bosch, Klaus Maeder, berkata pembukaan tapak pengeluaran di Pulau Pinang, ia membolehkan syarikat terus memperkukuh perniagaan semikonduktor dan jejak pembuatannya secara sistematik untuk memenuhi permintaan cip global.

“Semikonduktor adalah kunci kejayaan semua bidang perniagaan Bosch. Tapak pengeluaran sokongan di Pulau Pinang menjadi komponen penting dalam strategi pertumbuhan dalam sektor mobiliti kerana kami bertindak balas terhadap peningkatan permintaan untuk semikonduktor.

“Kami memilih untuk melabur di Pulau Pinang kerana tahap pengetahuan semikonduktornya yang tinggi dan tenaga kerja mahirnya. Kedudukannya yang berdekatan dengan rakan kongsi perniagaan dan pelanggan adalah satu lagi kelebihan, kerana ia akan memendekkan masa dan jarak penghantaran untuk cip,” katanya.

Perasmian tapak pengeluaran sokongan semikonduktor berteknologi tinggi itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Buat masa ini, tapak berkenaan meliputi kira-kira 18,000 meter persegi dan termasuk bilik bersih, ruang pejabat, dan makmal untuk jaminan kualiti dan pembuatan.

Menurut Bosch, pengeluaran semikonduktor pada asasnya boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pengeluaran hadapan dan sokongan.

Dengan keluasan tanah 100,000 meter persegi, kemudahan di Pulau Pinang itu adalah yang pertama seumpamanya bagi Bosch di rantau Asia Tenggara.

Ia akan menumpukan terutamanya kepada pengeluaran sokongan iaitu pengujian akhir bagi cip yang dikeluarkan di kilang Bosch di Dresden, Jerman.

Menurut Bosch, Malaysia adalah peserta utama dalam pasaran semikonduktor global.

Reputasi kukuh Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama untuk industri semikonduktor terbina atas kecemerlangan pembuatan dan pengalaman industri selama beberapa dekad, perlindungan harta intelek (IP), mudah untuk menjalankan perniagaan, kumpulan bakat yang dinamik, infrastruktur yang teguh dan lokasi yang strategik.

Menurut laporan, Malaysia adalah antara 10 pengeluar produk semikonduktor dan elektronik terbesar di dunia, yang menyumbang kira-kira tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor dunia.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Kawasan Perindustrian Batu Kawan menjadi kemudahan keempat Bosch di negeri itu, selepas kilang pembuatan elektronik automotif, alat kuasa dan stereng automotif.

Beliau mengesahkan hubungan rapat Bosch dengan Pulau Pinang dan saling bekerjasama untuk mempercepatkan pembangunan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang yang rancak, mengukuhkan statusnya sebagai Lembah Silikon Timur dan dapat memastikan limpahan ekonomi yang bermanfaat untuk Malaysia.

Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Klaus Landhaeusser, pula berkata Malaysia adalah hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global Bosch, di mana negara ini dianggarkan memenuhi kira-kira 13 peratus daripada pengeluaran back-end global.

“Kami memperluaskan lagi ekosistem semikonduktor tempatan dan mengukuhkan komitmen kami di Malaysia sempena sambutan 100 tahun kami. Kemudahan baharu kami di Pulau Pinang mendekatkan rangkaian pembuatan global Bosch kepada vendor penyumberan luar pemasangan dan pengujian semikonduktor (OSAT) di rantau ini serta kepada pelanggan automotif kami di pasaran Asia,” katanya.

Dengan penambahan tapak pengeluaran sokongan termaju di Asia Tenggara, Bosch sedang melengkapkan rantaian proses dalamannya terutamanya untuk semikonduktor yang dikeluarkan di Dresden.

Bosch kini melaksanakan sebahagian besar pengujian akhir buat semikonduktor di Reutlingen, Jerman; Suzhou, China; Hatvan, Hungary; dan Malaysia.

Kemudahan baharu Pulau Pinang itu dijangka mempunyai sehingga 400 tenaga kerja menjelang pertengahan 2030.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon