B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Empat sektor raih manfaat pembukaan sempadan negeri

Empat sektor raih manfaat pembukaan sempadan negeri

07 Okt 2021

Sektor berkaitan logistik termasuk penerbangan, pelancongan, pembinaan dan perkhidmatan bakal mendapat manfaat besar daripada jangkaan pembukaan semula sempadan antara negeri dalam masa beberapa hari lagi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata perkembangan positif berkenaan dilihat bakal merancakkan sektor ekonomi selepas rakyat akan lebih bebas untuk bergerak.

“Saya menjangkakan permintaan terhadap pakej pelancongan dan pengurusan acara dijangka meningkat berikutan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada peringkat yang lebih baik.

“Pergerakan fizikal ini bakal menyebabkan peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang sebelum ini ‘tersekat’ disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Maka, akan berlakulah lonjakan permintaan,” katanya kepada BH.

Mohd Afzanizam berkata, secara dasarnya pasaran modal tempatan akan meraih momentum positif jika sekatan rentas negeri dimansuhkan, disokong jangkaan aktiviti ekonomi yang lebih aktif.

Beliau menjelaskan, perkembangan positif itu akan memberi limpahan kepada ekonomi negara kerana sektor pelancongan mempunyai kesan rantaian yang tinggi terhadap ekonomi domestik.

“Ia akan memanfaatkan rakyat di negara ini. Namun, kita perlu sentiasa berhati-hati agar risiko jangkitan dapat dikawal dengan sebaiknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Strategi MIDF Research, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin, berkata kaunter syarikat berkaitan sektor hospitaliti seperti Sunway REIT serta sektor pengangkutan seperti AirAsia dan Petronas Dagangan bakal menikmati manfaat kenaikan pendapatan selepas sempadan dibuka semula.

“Pembukaan semula sempadan dijangka membantu pemulihan sentimen pasaran secara umumnya,” katanya.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, perkembangan itu akan memberi sokong aktif kepada sektor hospitaliti, pelancongan, hiburan, pengangkutan, penerbangan dan peruncitan.

“Ini kerana, kebanyakan sektor ini amat bergantung pergerakan penduduk dalam negeri,” katanya.

Mengenai impak positif kepada pasaran ekuiti, Ahmed Razman berkata, pembukaan semula sempadan akan memacu Bursa Malaysia untuk tempoh jangka pendek terutama pada suku terakhir tahun ini dan awal tahun depan.

“Saya melihat perkembangan pembukaan semula sempadan negeri adalah langkah yang memberangsangkan kerana kebanyakan peniaga dan sektor ekonomi memerlukan tempoh sekitar empat hingga enam bulan untuk pulih seperti sediakala.

“Oleh itu, lebih cepat sempadan dibuka, lebih cepat pemulihan berlaku. Malah kali ini, negara dijangka lebih bersedia kerana hampir 90 peratus penduduk dewasa sudah mendapat vaksin lengkap dan kapasiti wad unit rawatan rapi (ICU) seluruh negara boleh menampung peningkatan kes jika ia berlaku lagi,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini mencapai 90 peratus.

Portal COVIDNOW menunjukkan kadar populasi dewasa yang lengkap divaksin mencecah 88.8 peratus, setakat tengah malam Rabu.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon