B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Eksport halal negara cecah RM31 bilion pada tahun lepas

Eksport halal negara cecah RM31 bilion pada tahun lepas

29 Jun 2021

Prestasi eksport halal negara tahun lepas melepasi sasaran yang ditetapkan apabila berjaya mencecah nilai sebanyak RM31 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah yang dicapai iaitu 63 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan melalui Pelan Induk Industri Halal pertama.

“Pada tahun 2020, jumlah eksport halal negara mencecah RM31 bilion melangkaui sasaran RM19 bilion yang telah ditetapkan melalui Pelan Induk Industri Halal yang pertama,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) program pembiayaan Dana GO Halal pada Selasa.

Program antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) itu bertujuan mendorong lebih ramai penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam industri halal negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, berdasarkan potensi industri halal itu, kerajaan mahu menjadikannya sebagai industri strategik untuk menjayakan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Menurutnya, ia termasuk memperluaskan perkongsian kekayaan dan kemakmuran dalam kalangan rakyat dengan merancakkan pertumbuhan PKS bumiputera.

“Industri halal mempunyai peranan strategik dalam merancakkan pertumbuhan PKS. Sebanyak 200,000 syarikat PKS terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan halal.

“Sehingga Disember 2020, sebanyak 6,727 syarikat PKS telah mempunyai sijil halal. Daripada jumlah itu, hanya 1,507 syarikat PKS terlibat dalam aktiviti mengeksport. Ini menunjukkan potensi pertumbuhan untuk industri halal negara masih luas,” ujarnya.

Justeru katanya, HDC perlu mengambil langkah strategik dan menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan penglibatan syarikat multinasional dalam industi halal serta menarik pelaburan asing (FDI) dan rantaian bekalan halal.

“Dalam konteks pandemik hari ini dan permintaan kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti, Malaysia memerlukan FDI untuk pengeluaran vaksin serta peranti perubatan halal.

“Malaysia juga berpotensi menjadi hab kepada pengeluaran vaksin dan peranti perubatan halal di rantau ini,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X