B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Eclipse Automation buka kemudahan pengeluaran di Pulau Pinang — MIDA

Eclipse Automation buka kemudahan pengeluaran di Pulau Pinang — MIDA

10 Feb 2022

Eclipse Automation Inc yang mempunyai 20 fasiliti di serata Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah Tengah, buat pertama kalinya bertapak di Asia menerusi pembangunan kilang pengeluaran di Pulau Pinang.

Syarikat yang beribu pejabat di Ontario, Kanada, merupakan pembekal utama peralatan automasi pengeluaran bagi sains hayat, tenaga, pengangkutan, elektronik pengguna dan sektor industri, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam kenyataannya,  MIDA berkata  majlis pecah tanah bagi pembangunan kemudahan di kawasan seluas 1.21  hektar itu telah diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.

Pembangunan tersebut yang menyediakan perkhidmatan untuk pelanggan utama di sekitar Asia Pasifik dan rantau lain, dijangka bermula pada suku pertama 2022 dengan operasi komersial disasarkan pada 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata kemudahan tersebut  dijangka mewujudkan kira-kira 150 pekerjaan baharu menjelang 2025 dengan 80 peratus pekerjanya berlatarbelakang bidang teknikal dan kejuruteraan.

Projek tersebut disifatkan sebagai bertepatan pada masanya dan penting kerana dapat menyumbang kepada ekonomi Malaysia dari segi pekerjaan berpendapatan tinggi di tengah-tengah persekitaran pandemik COVID-19.

“Ini akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi strategik bagi penggiat jentera dan kelengkapan (M&E) global dan mewujudkan kesan pengganda dalam ekonomi domestik dari segi memanfaatkan rantaian bekalan tempatan serta pemindahan teknologi,” katanya.

Lokasi Eclipse Automation Malaysia itu meliputi kawasan pengeluaran seluas 55,000 kaki persegi manakala ruang pejabat seluas 27,000 kaki persegi dan  akan menyokong keperluan pelanggan dalam sektor sains hayat dan industri lain di bawah kumpulan berkenaan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Eclipse Automation Steve Mai berkata kemudahan di Pulau Pinang itu akan merangkumi pilihan kemudahan pembuatan dengan nilai tambah serta hebat untuk memberi sokongan terbaik ke atas program-program global, termasuk kemudahan pereplikaan dan platform model penyumberan luar.

“Kemudahan kami di Malaysia ini akan turut mengambil khidmat pasukan jurutera, pemasang dan pasukan sokongan lain yang berkelayakan bagi meningkatkan lagi kemampuan kami menawarkan penyelesaian berpandukan model perkhidmatan untuk memenuhi kepuasan pelanggan tanpa mengira lokasi geografi dan masa.

“Kami amat menghargai MIDA kerana menyokong kami sepanjang perjalanan ini. Malah, dasar Malaysia yang properniagaan, properdagangan dan mesra perniagaan juga berperanan penting dalam membantu kami membuat keputusan pelaburan ini,” katanya.

Pada tahun lepas, MIDA meluluskan sejumlah 49 projek M&E dengan nilai pelaburan RM1.3 bilion.

Daripada jumlah itu, 27 merupakan projek baharu dengan pelaburan bernilai RM753.7 juta (56.3 peratus) manakala baki 22 projek lain adalah projek yang diperluas atau dipelbagai dan bernilai RM584.4 juta (43.7 peratus, kata MIDA.

Sebahagian besar pelaburan yang diluluskan itu adalah daripada sumber asing sebanyak RM906.0 juta atau 67.7 peratus dan baki RM432.2 juta (32.3 peratus) daripada pelaburan langsung asing.

Menurut agensi itu, projek-projek yang diluluskan ini dijangka mewujudkan sebanyak 2,253 peluang pekerjaan baharu.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon