B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC tarik RM2.7 bilion pelaburan ke Terengganu

ECERDC tarik RM2.7 bilion pelaburan ke Terengganu

26 Jul 2021

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yakin akan dapat mencapai sasaran pelaburan 2021 bagi Terengganu menjelang penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, ia susulan kemasukan pelaburan yang memberangsangkan dan setakat 30 Jun 2021, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM2.7 bilion daripada sasaran pelaburan komited RM3.9 bilion untuk tahun ini ke Terengganu.

Pihaknya juga menjangka sebanyak 3,040 pekerjaan dan 214 peluang keusahawanan baharu dapat diwujudkan untuk rakyat Terengganu menerusi semua pelaburan itu.

“ECERDC akan meneruskan usaha untuk memastikan semua projek dan inisiatif yang sedang berjalan seperti kerja infrastruktur dan program pembangunan modal insan dilaksanakan seperti yang dirancang bagi mempertingkatkan daya tarikan negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baidzawi berkata, ECERDC juga akan terus menggiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke wilayah ini terutamanya dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (OGP).

“Walaupun tidak dapat menerajui misi pelaburan ke luar negara atau mengadakan acara fizikal, ECERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa.

“Lebih 900 pelabur berpotensi telah mengambil bahagian dalam tiga webinar pelaburan ini. Di samping itu, terdapat beberapa program webinar sedang dalam perancangan untuk 2021 bagi menarik pelabur ke sektor-sektor ekonomi utama lain di Terengganu seperti pertanian, pelancongan dan tenaga bio,” katanya.

Selain itu, Baidzawi berkata, kerja-kerja perluasan bagi fasa tiga dan fasa empat yang sedang berjalan di Taman Biopolimer Kerteh iaitu sebuah taman perindustrian bersepadu juga akan mengetengahkan negeri ini sebagai pemain utama dalam industri bio.

“Fasa satu dan fasa dua sudah hampir penuh diduduki. Kelebihan taman industri ini terletak pada akses mudah kepada bahan mentah untuk sektor ini. Taman ini telah menarik pelaburan komited sebanyak RM5.4 bilion sejak ia dilancarkan dan telah mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata ECERDC juga telah melaksanakan pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran graduan bagi membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19.

“Di Terengganu, seramai 1,135 peserta telah dilatih dan daripada jumlah itu, 943 orang telah ditawarkan pekerjaan yang mana mereka menikmati pendapatan antara RM1,400 hingga RM4,000 sebulan.

“Begitu juga dengan program empower ECER-Akademik di Terengganu yang mencatatkan kadar lulus membanggakan iaitu 98 peratus lebih tinggi daripada purata kebangsaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X