B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC tarik pelaburan komited RM9.5 bilion ke Pahang

ECERDC tarik pelaburan komited RM9.5 bilion ke Pahang

05 Ogo 2021

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) setakat ini berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang, melepasi sasaran awal RM5.1 bilion yang ditetapkan pada tahun ini.

ECERDC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan komited itu bakal mewujudkan lebih daripada 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat Pahang.

“Hasil pelaburan yang memberangsangkan dalam tempoh mencabar ketika ini membuktikan kerjasama erat antara ECERDC, kerajaan persekutuan dan negeri serta agensi berkaitan, ia menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan seperti pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli serta pembuatan sarung tangan di Pahang untuk tahun 2021.

“Bagi mengekalkan momentum kemasukan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, berkata EDERDC telah menganjurkan tiga webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur antarabangsa memandangkan tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal.

Antara webinar yang dianjurkan ialah ‘Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries’ dengan anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun dan ‘Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN’ dengan kerjasama wakil-wakil perdagangan daripada Persekutuan Rusia, kata Baidzawi.

“Webinar pelaburan itu telah menyaksikan penyertaan lebih daripada 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Pahang,” katanya.

Selain itu, ECERDC mempunyai perancangan mengetengahkan Taman Automotif Pahang (PAP) di Pekan sebagai Taman Perindustrian Automotif Hijau, ia membabitkan ciri penjimatan tenaga, tenaga boleh diperbaharui dan sistem pengurusan sisa holistik selaras dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV) dan Dasar Automotif Nasional 2020.

“Kerajaan Pahang juga telah mengenal pasti kawasan tanah di Pahang Barat yang sesuai bagi projek Lembah Tenusu ECER yang mensasarkan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) susu segar negara sebanyak 40 peratus bagi mengurangkan kebergantungan terhadap susu import.

“Mengenai pembangunan modal insan pula, program empower ECER-Akademik telah membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mencapai keputusan akademik lebih baik dalam persekitaran pandemik COVID-19,” katanya.

Sebagai contoh, pada 2020 seramai 2,173 orang pelajar di Pahang yang mengambil bahagian telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 92 peratus peserta lulus dalam peperiksaan berbanding 46 peratus dicatatkan sebelum mereka mengikuti program itu, katanya.

Beliau berkata, program empower ECER and entrepreneur ECER juga akan terus menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berdaya tahan dalam realiti baharu dengan menyediakan latihan bagi membantu mereka beralih ke platform e-dagang.

“Di bawah program entrepreneur ECER, seramai 173 orang usahawan di Pahang telah menerima pinjaman berjumlah RM5.5 juta daripada Maybank dan Agrobank antara Januari dan Mei lepas bagi membantu mereka memperbaiki aliran tunai dan memperkukuhkan lagi perniagaan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X