B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


ECERDC sasar tarik komitmen pelaburan RM9.5 bilion ke Pahang

ECERDC sasar tarik komitmen pelaburan RM9.5 bilion ke Pahang

07 Mac 2023

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini.

Ia adalah sasaran peningkatan lebih 40 peratus daripada pelaburan komited yang dicapai sebanyak RM5.5 bilion tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas dan petrokimia serta sektor tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, ia juga dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

“Bagi tempoh dua bulan tahun ini, ECERDC mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang.

Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Saya menzahirkan keyakinan bahawa ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk negeri Pahang seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan. Ia seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Wan Rosdy yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya bersama ahli jawatankuasa ICC diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) di Malaysia.

Ia termasuk lawatan kerja oleh pengurusan tertinggi daripada syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan ke Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV di Wilayah ECERdari 7 hingga 9 Februari lalu.

Wan Rosdy berkata, ECERDC juga kini dalam usaha ‘Mencipta Destinasi’ bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan yang kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin.

Katanya, projek itu merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain.

“Malah, Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

“Selain itu, ahli Jawatankuasa ICC Pahang turut diberi taklimat mengenai projek ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuk kerja menaik taraf Jeti Kampung Salang di Pulau Tioman.

“Selain itu, paip agihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin,” katanya.

Wan Rosdy turut berterima kasih kepada ECERDC yang menyokong sepenuhnya agenda pembangunan kerajaan, terutama dalam memangkin pelaburan dalam sektor pertumbuhan baharu kerana ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti.

“Saya berharap menerusi ECERDC, sektor ekonomi di Pahang ini akan dapat terus dipacu dan berkembang dengan lebih baik dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat ke arah kesejahteraan dan kestabilan negeri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon