B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Duopharma, Live Green bekerjasama bangunkan makanan berasaskan tumbuhan

Duopharma, Live Green bekerjasama bangunkan makanan berasaskan tumbuhan

14 Jul 2022

Duopharma Biotech Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi makanan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Live Green Co, bagi meninjau penggunaan ramuan serta teknologi berasaskan tumbuhan untuk menggantikan bahan mengandungi haiwan, sintetik dan ultra proses.

Kedua-dua pihak terbabit telah memeterai perjanjian kerjasama yang bertujuan memenuhi permintaan pengguna mendapatkan produk makanan kesihatan dan farmaseutikal yang lebih mampan.

“Kami sentiasa meninjau inovasi baharu yang mempromosi kesihatan lebih baik serta syarikat-syarikat yang berpendirian sama untuk menjalin kerjasama bagi meningkatkan lagi protfolio produk kesihatan yang lebih khusus,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Leonard Ariff Abdul Shatar ketika berucap pada majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu melibatkan pembangunan, pembuatan dan pengkomersialan makanan kesihatan dan farmaseutikal berasaskan tumbuhan semata-mata bagi rangkaian penjagaan kesihatan pengguna keluaran Duopharma.

Usaha itu akan turut meneroka pembangunan produk-produk farmaseutikal berasaskan tumbuhan dengan menggantikan bahan yang bersumberkan haiwan atau sintetik, pembangunan produk khas menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan rangkaian makanan baharu berasaskan tumbuhan bagi memenuhi permintaan pesakit dengan diet khas.

“Kerjasama dengan The Live Green Co akan membolehkan kami memperluas rangkaian penawaran makanan kesihatan dan farmaseutikal berasaskan tumbuhan, sekali gus mengembangkan lagi potensi pasaran.

“Pada masa sama, ini juga dapat mengurangkan jejak karbon kami daripada bahan bukan lestari serta usaha pemprosesan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Susulan itu juga, kerjasama Duopharma Biotech dengan The Live Green Co. akan menyaksikan sekurang-kurangnya dua produk rumusan semula ditawarkan kepada pengguna menjelang 2024.

Menurut Leonard Ariff, jenama pengguna Duopharma yang akan mengetengahkan ‘tag’ atau ciri mengandungi tumbuhan sahaja atau berasaskan tumbuhan termasuk Flavettes, Champs, Proviton, Uphamol dan Naturalle.

Beliau berkata, keputusan untuk menggantikan bahan-bahan sedia ada dengan alternatif tumbuhan adalah penting bagi merealisasikan matlamat sasaran prestasi iklim Duopharma Biotech bagi mengurangkan gas rumah hijau di sepanjang rantaian bekalannya.

Syarikat itu juga telah mengumumkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencapai neutral karbon menjelang 2030, pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 selain menggantikan 50 peratus plastik sekali guna dengan jenis biodegradasi dalam operasinya menjelang 2026.

Ini menerusi usaha penekanan terhadap teknologi dan digitalisasi baharu untuk mengurangkan pelepasan dengan lebih cekap.

“Pada masa ini terdapat usaha yang kian ketara untuk memastikan keputusan penghasilan makanan dan makanan kesihatan lebih sihat dan kami berhasrat menjadi antara syarikat yang dapat memenuhi permintaan itu di Malaysia serta di pasaran lebih besar di peringkat global,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon