B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Dialog tambah pelaburan RM700 juta di Johor

Dialog tambah pelaburan RM700 juta di Johor

17 Jan 2023

Syarikat terkemuka minyak dan gas serta petrokimia, Dialog Group Bhd menyediakan pelaburan tambahan RM700 juta bagi pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang, Johor.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menerima kunjungan pengurusan tertinggi syarikat berkenaan, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, pelaburan tambahan itu disediakan menerusi tiga fasa untuk pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang melalui Morimatsu Dialog (Malaysia) Sdn Bhd (MDMSB).

“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menerima kunjungan pengurusan tertinggi Dialog, iaitu antara syarikat terkemuka minyak dan gas serta petrokimia.

“Sumbangan Dialog amat signifikan dalam ekonomi Johor, terutamanya melalui pelaburan bernilai RM14 bilion untuk pembangunan Terminal-terminal Laut Dalam Pengerang dari 2011 hingga 2021.

“Saya difahamkan mereka akan menyediakan pelaburan tambahan sebanyak RM700 juta melalui tiga fasa untuk pembangunan fasiliti perkhidmatan di Pengerang,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Pengerusi Eksekutif Dialog Group Bhd, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat; Pengarah Bebas Dialog Group Bhd, Datuk Ismail Karim; Ketua Hubungan Antara Kerajaan Dialog Group Bhd, Shahruddin Ahmad; Pengurus Kanan Hubungan Antara Kerajaan Dialog Group Bhd, Mohd Qayyum Adnan dan Eksekutif Kanan Hubungan Antara Kerajaan Dialog Group Bhd, Sallehuddin Salim.

Onn Hafiz berkata, kerjasama seumpama itu bukan sahaja dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, malah akan meningkatkan pemindahan teknologi dan ilmu kepada syarikat dan pekerja tempatan.

Beliau turut berharap supaya negeri sentiasa dapat menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti di masa akan datang.

“Selepas prestasi yang memberangsangkan tahun lalu, kerajaan negeri berhasrat untuk terus meningkatkan tahap pelaburan di Johor.

“Semoga Johor dapat menarik lebih banyak pelaburan yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi bangsa Johor di masa hadapan,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon