B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


CPTPP bagi Malaysia akan berkuat kuasa 29 Nov ini – Mohamed Azmin

CPTPP bagi Malaysia akan berkuat kuasa 29 Nov ini – Mohamed Azmin

06 Okt 2022

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 29 November ini, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malaysia telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 Sept 2022.

Menurut Mohamed Azmin, ratifikasi CPTPP bagi Malaysia dianggap selesai dan Malaysia merupakan negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian ini.

“Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati oleh Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.

“Segala pindaan undang-undang berkaitan perjanjian CPTPP telah selesai,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.

Mohamed Azmin berkata beberapa pengecualian dan fleksibiliti berkaitan hak Bumiputera dan pemain tempatan di bawah perjanjian CPTPP juga telah diperoleh.

“Kesemua negara anggota CPTPP tidak mempunyai sebarang tempoh peralihan bagi nilai ambang perolehan mereka kecuali Malaysia dan ini merupakan kejayaan yang kita capai.

“Sebagai contoh, tempoh peralihan bagi Malaysia untuk sektor perkhidmatan adalah selama sembilan tahun, sektor barangan selama tujuh tahun dan sektor pembinaan selama 20 tahun,” katanya.

Oleh kerana Malaysia telah mendapat tempoh peralihan yang panjang, beliau berkata kementerian telah berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melihat modul tertentu bagi mempersiapkan pemain tempatan, khususnya Bumiputera untuk bersedia menyertai perjanjian CPTPP.

Selain itu, katanya komitmen Malaysia berkaitan perolehan kerajaan ini adalah terhad kepada peringkat Persekutuan sahaja dan tidak melibatkan peringkat negeri.

Mohamed Azmin yakin perjanjian ini akan diteruskan oleh kerajaan yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 sekiranya Parlimen dibubarkan kerana CPTPP memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

“Saya meminta supaya usaha untuk membubarkan Parlimen tidak dijalankan sekarang. Walaupun indikator ekonomi semakin baik, kita perlu sedikit masa supaya proses pemulihan ekonomi ini benar-benar memberikan kesan positif kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon