B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Beberapa syarikat Austria minat melabur di Malaysia – MITI

Beberapa syarikat Austria minat melabur di Malaysia – MITI

09 Jul 2021

Beberapa syarikat Austria telah menyuarakan hasrat untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan strategik negara ini sebagai pintu masuk ke rantau Asia Pasifik, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menemui rakan sejawatannya iaitu Menteri Digital dan Hal Ehwal Ekonomi Austria Dr Margarete Schramböck dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) di Vienna bagi meninjau bidang pertumbuhan pelaburan dan perdagangan dua hala.

Menurutnya, dokumen membabitkan aspek pewujudan tumpuan utama telah dimeterai pada 8 Julai, 2021 yang membolehkan pegawai kanan dilantik mengadakan dialog secara langsung serta bertukar-tukar idea bagi mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan selain meningkatkan kerjasama ekonomi.

MITI berkata, sejajar tumpuan Malaysia terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Mohamed Azmin turut memberi jaminan kepada Schramböck bahawa Malaysia akan memudahkan minat syarikat Austria yang dikenali kerana mengutamakan tenaga bersih dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan masingmasing.

Mohamed Azmin turut melawat ibu pejabat Austria Technologie & Systemtechnik AG (AT&S) di Loeben dan disusuli pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MITI dan firma itu yang membabitkan kerjasama dalam pengajaran dan latihan pengeluaran serta penyelidikan teknologi tinggi.

Laporan media pada bulan lepas menyatakan AT&S telah memilih Malaysia sebagai lokasi kilang pengeluaran pertama substrat litar bersepadu (IC) dengan nilai pelaburan dianggarkan sebanyak RM8.5 bilion.

Pada misi TIM itu, MITI berkata Mohamed Azmin turut mengadakan perbincangan meja bulat dengan Dewan Ekonomi Austria (WKO) yang mana beliau bersetuju mengenai keperluan segera untuk meningkatkan penglibatan  kerjasama strategik perniagaan-kepada-perniagaan khususnya dalam industri seperti pembuatan pintar, kecerdasan buatan, industri aeroangkasa, peranti perubatan serta tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, beliau juga mengadakan perbincangan dengan pihak Stellantis N.V iaitu pengeluar automotif dengan kemudahannya di 30 negara serta mempunyai lebih 300,000 pekerja.

“Perbincangan itu menyentuh bagaimana  Stellantis dapat meningkatkan pelaburan mereka, terutama sejajar dengan  Aspirasi Pelaburan Nasional yang menggalakkan kenderaan elektrik (EV) menerusi insentif-insentif khusus termasuk aspek import sepenuhnya (CBU) sebelum penyediaan pengeluaran pemasangan tempatan (CKD),” katanya.

Menurut MITI, jumlah perdagangan Malaysia dengan Austria telah melonjak 32.2 peratus kepada RM1.31 bilion bagi tempoh lima bulan pertama 2021 walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19.

“Bagi tempoh berbaki tahun ini, potensi bagi Malaysia dan Austria meningkatkan perdagangan dua hala adalah cerah, terutamanya bagi sektor yang dapat memacu kedudukan Malaysia dalam industri digital serta berteknologi tinggi,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon