B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bandar Pendidikan Malaysia D8 bernilai lebih RM2 bilion dibangunkan di Melaka

Bandar Pendidikan Malaysia D8 bernilai lebih RM2 bilion dibangunkan di Melaka

19 Dis 2022

Bandar Pendidikan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) melibatkan nilai pelaburan lebih RM2 bilion akan dibangunkan di Taboh Naning di sini, dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pembangunan Bandar Pendidikan D8 yang memberi fokus kepada perkembangan pendidikan berasaskan Islam itu, akan dibangunkan dalam tiga fasa secara berperingkat melibatkan keluasan 149.73 hektar.

“Setakat ini pembangunan Bandar Pendidikan D8 bagi fasa satu sedang dilaksanakan melibatkan pelaburan kira-kira RM1 bilion dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

“Pembangunan bandar pendidikan ini, merupakan inisiatif Yayasan D8 Malaysia susulan kolaborasi strategik yang dimuktamadkan pada Disember 2018, antara Organisasi D8 dan juga Kumpulan Al-Hidayah,” katanya selepas Majlis Kesyukuran dan Perasmian Bandar Pendidikan D8 di sini pada Ahad.

Sulaiman berkata organisasi D8 berkenaan melibatkan keanggotaan negara Islam terdiri daripada Malaysia, Bangladesh, Indonesia, Iran, Pakistan, Turki, Mesir dan Nigeria.

Beliau berkata satu pusat pengurusan antarabangsa D8 juga, akan ditempatkan dalam bandar pendidikan tersebut, untuk mengurus tadbir rancangan pembangunan terlibat, dilengkapi pelbagai kemudahan guna sama antaranya perpustakaan, dewan syarahan serta kompleks sukan.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pembangunan dalam bidang pendidikan, demi mengangkat martabat sektor pendidikan di Melaka.

“Inisiatif dilaksanakan Yayasan D8 Malaysia untuk membangunkan Bandar Pendidikan Malaysia D8 di Alor Gajah khususnya dalam aspek pendidikan dan pembelajaran adalah amat bertepatan (dengan dasar kerajaan negeri),” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon