B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Bajet 2023: Kerajaan cadang pelanjutan tempoh mohon GITA, GITE hingga 2025 galak pelaburan hijau

Bajet 2023: Kerajaan cadang pelanjutan tempoh mohon GITA, GITE hingga 2025 galak pelaburan hijau

07 Okt 2022

Bagi menggalakkan pelaburan hijau demi mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca bersih sifar seawal-awalnya pada 2050, kerajaan mencadangkan pelanjutan tempoh permohonan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) hingga 31 Dis 2025.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kedua-dua insentif itu akan ditambah baik dengan tempoh galakan dari tiga kepada lima tahun bagi aktiviti hijau yang layak.

“Selain itu, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) turut akan ditambah baik dengan pertama, nilai jaminan dinaikkan kepada RM3 bilion sehingga 2025, skop pembiayaan diperluas khususnya kepada sektor kenderaan elektrik (EV) dengan had jaminan sehingga 60 peratus dan pembiayaan sektor sisa akan ditingkatkan tahap jaminannya kepada 80 peratus,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata sebagai pinjaman mudah, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan RM1 bilion di bawah Dana Pembiayaan Teknologi Tinggi dan Hijau bagi menyokong syarikat pemula teknologi lestari yang inovatif.

Beliau berkata jumlah sama turut diperuntukkan di bawah Dana Pembiayaan Peralihan Karbon Rendah untuk membantu syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menerap amalan rendah karbon.

“Melalui Dana Impak, Khazanah akan menyediakan RM150 juta bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk menyokong pasaran karbon dan restorasi hutan terosot.

“Selari dengan iltizam ini, GENTARI sebuah anak syarikat PETRONAS telah ditubuhkan sebagai peneraju tenaga bersih.

“Sebagai permulaan, GENTARI komited untuk memasang panel solar di kemudahan kerajaan dan komersial menjelang 2024 dengan kapasiti fotovoltaik (PV) kumulatif 3 megawatt dan menyediakan 500 unit kemudahan pengecasan EV di seluruh negara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Tenaga Nasional Berhad turut komited untuk memasang solar bumbung dan menyediakan kemudahan pengecasan EV dengan pelaburan RM165 juta hingga 2025.

Sebagai langkah berterusan menyokong penggunaan EV, kerajaan katanya bercadang untuk memberi pengecualian duti import dan eksais ke atas EV jenis pemasangan luar negara (CBU) dilanjutkan hingga 31 Dis 2024.

Ia juga melibatkan pengecualian fi Permit Import (AP) bagi pengimportan EV hingga 31 Dis 2023 dan pengilang peralatan pengecasan EV diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032 serta Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus.

Beliau berkata bagi menyokong usaha Pulau Tuba di Langkawi, Kedah sebagai pulau rendah karbon pertama di Malaysia, kerajaan akan memberikan rebat jualan sehingga RM4,000 kepada pengusaha motosikal sewa yang menggantikan motosikal sedia ada kepada motosikal elektrik.

Menurut Tengku Zafrul, bagi menyokong pelaksanaan perolehan hijau kerajaan sebanyak 25 peratus menjelang 2025, pelaksanaan perolehan hijau kerajaan akan diperluas kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi meningkatkan pengumpulan sisa plastik, pihak yang membuat sumbangan atau penajaan peralatan Smart AI-Driven Reverse Vending Machine layak mendapat potongan cukai pendapatan.

“Kerajaan berhasrat memperkenalkan cukai karbon dan akan mengkaji kebolehlaksanaan mekanisme penetapan harga karbon.

“Bagi menyokong pelaksanaan mekanisme ini, kerajaan akan menyediakan RM10 juta secara geran padanan untuk membantu penyediaan penilaian karbon bagi syarikat PKS serta produk-produk berkaitan yang layak,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon