B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Aurelius Healthcare ambil alih Pusat Perubatan Nilai

Aurelius Healthcare ambil alih Pusat Perubatan Nilai

06 Sep 2021

Kumpulan penjagaan kesihatan baharu, Aurelius Healthcare Sdn. Bhd. melaksanakan pengambilalihan hospital yang pertama, Pusat Perubatan Nilai dalam mencapai hasratnya menjadi platform pengurusan penjagaan kesihatan terkemuka di rantau Asia Tenggara.

Pengambilalihan ini merupakan langkah yang sangat bersesuaian dengan strategi Aurelius untuk mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan juga mencapai hasil terbaik bagi kesihatan para pesakit.

Berikutan pengambilalihan ini, Pusat Perubatan Nilai yang bercirikan multidisiplin dan dilengkapi 100 katil akan mula beroperasi sebagai Aurelius Hospital Nilai pada September 2021.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, syarikat berhasrat untuk mencapai pertumbuhan pesat dan penambahbaikan terhadap hospital yang cemerlang ini bersama para doktor dan kakitangan berdedikasi.

Katanya, platform ini akan terus memberikan perkhidmatan kepada komuniti di Negeri Sembilan, Selangor, dan Melaka serta akan ditransformasikan sepenuhnya bagi Penjagaan Onkologi, Kardiologi, Penjagaan Wanita & Kanak-kanak, Ortopedik dan semua pengkhususan klinikal sebuah hospital tertiari lain untuk para pesakit.

“Terdapat perancangan bagi pengembangan pesat hospital dengan blok perubatan pesakit dalaman tambahan untuk menyediakan penjagaan dan sokongan yang terbaik kepada pesakit serta penjaga.

“Kami komited dalam menambah baik kemudahan dan perkhidmatan selain terus memastikan pesakit, doktor, pekerja, rakan kongsi dan komuniti yang menerima perkhidmatan kami memperoleh pengalaman hebat dan hasil klinikal yang dikehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Mei 2021, Navis Capital Partners telah menyempurnakan pelaburan majoriti dalam Aurelius Healthcare, dan komited terhadap usaha pengembangan organisasi dengan matlamat untuk memiliki 5 hingga 10 hospital yang pesat beroperasi dalam platform.

Aurelius Hospital Nilai, yang diterajui oleh Dr Darshini Kumar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, menyediakan pelbagai perkhidmatan dan penjagaan menyeluruh menerusi Pusat Kecemerlangannya yang merangkumi Pusat Penjagaan Kanser, Pusat Jantung, Pusat Ortopedik, Pusat Wanita & Kanak-kanak serta Pembedahan Am.

Aurelius Healthcare ditubuhkan di Malaysia oleh pasukan veteran industri dengan  pengalaman pengurusan penjagaan kesihatan global.

Malah, Aurelius berhasrat untuk memodenkan dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses di seluruh negara.

Sementara itu, Rakan Kongsi di Navis Capital, Edwin Fua berkata, Aurelius dan Navis berkongsi wawasan yang sama tentang bagaimana penjagaan kesihatan swasta dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti di rantau ini.

Katanya, menerusi amalan pengurusan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, interaksi bersama pelbagai pihak berkepentingan mengenai matlamat yang dikongsi bersama, penyepaduan penjagaan dan pelaburan dalam teknologi perubatan, mereka akan mewujudkan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses untuk komuniti.

“Pengambilalihan ini juga merupakan langkah pertama dalam perjalanan panjang kami bersama Aurelius Healthcare dan kami menggalakkan mana-mana pihak yang ingin bersama kami dalam usaha ini untuk menghubungi kami bagi mengadakan perbincangan.

“Kami bersikap terbuka terhadap perbincangan perkongsian bersama baik secara greenfield (pembinaan kemudahan baharu) mahupun brownfield (pembelian atau penyewaan kemudahan sedia ada),” jelasnya.

Sumber: Dagang News

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X