ASEAN terima manfaat kemasukan China
07 Okt 2021
Negara-negara ASEAN akan mendapat keuntungan daripada penyertaan China ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), kata Ketua Nation-Building Institute (Thailand), Prof Dr Kriengsak Chareonwongsak.
CPTPP merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) membabitkan 11 buah negara di sekitar Lingkaran Pasifik iaitu Mexico, Kanada, Peru, Chile, New Zealand, Australia, Brunei, Singapura, Malaysia, Jepun, dan Vietnam.
Pada 16 September 2021, China secara rasmi mengajukan permintaan untuk menyertai CPTPP, ini disambut baik oleh Malaysia.
“China melalui penyertaan dalam CPTPP dan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan membolehkan kami (ASEAN) memanfaatkan kedua-dua blok tersebut dan akhirnya, kami dapat bergabung.
“China adalah pemain besar, semakin banyak mereka terlibat (perjanjian perdagangan), akan menyebabkan paradigma kelebihan daya saing di setiap blok berubah,” katanya semasa perbincangan panel dalam talian, Forum Kepimpinan & Perkongsian ASEAN 2021.
Pada 16 September 2021, China secara rasmi mengajukan permintaan untuk menyertai CPTPP.
Forum yang bertemakan “Membangun Semula ASEAN Ke Arah Pemulihan Berkelanjutan” itu, dianjurkan secara bersama oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur.
Chareonwongsak juga memberitahu ASEAN akan dapat memperoleh kekuatan dalam kelebihan perbandingan dengan China di kedua blok berkenaan.
“Namun, jika pada masa yang sama, kita mampu menarik Amerika Syarikat (AS) ke dalam CPTPP, ini akan mewujudkan perubahan yang lebih besar,” katanya.
Rundingan perdagangan awal untuk apa yang dikenali sebelum ini sebagai Perkongsian Trans-Pasifik telah berlangsung selama lima tahun, dari Mac 2010 hingga 5 Oktober 2015.
AS telah menjadi peserta dalam rundingan itu, bagaimanapun, Presiden Donald Trump pada 2016 telah memutuskan untuk negara itu menarik diri sebelum sempat perjanjian tersebut diratifikasi.
Baki 11 buah negara meminda teks perjanjian itu dan mengganti namanya kepada CPTPP yang kemudian dimeterai bersama pada Mac 2018.
Bernama yang memetik kenyataan Kementerian Antarabangsa Perdagangan dan Industri (MITI) baru-baru ini mengumumkan Malaysia sedang ke arah untuk mengesahkan CPTPP, sementara menunggu mandat terperinci dan jelas dari kabinet.
Sumber: Bernama