B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Arham Abdul Rahman CEO baharu MIDA

Arham Abdul Rahman CEO baharu MIDA

01 Apr 2021

Bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman dinaikkan pangkat sebagai CEO berkuat kuasa hari ini.

Arham menggantikan Datuk Azman Mahmud yang sudah berkhidmat di MIDA selama 32 tahun.

Menurut MIDA, Arham mempunyai rekod prestasi dan kerjaya yang sangat cemerlang, menjangkau lebih tiga dekad bersama agensi itu.

“Beliau telah berkhidmat dalam cabang pelaburan asing organisasi dengan perkhidmatan selama bertahun-tahun di Jerman dan Amerika Syarikat (AS) .

“Pengalaman beliau sebagai barisan hadapan MIDA bagi menarik serta memudahkan pelaburan asing ke dalam negara, menjadikan beliau sebagai calon yang unik untuk menerajui MIDA dalam norma baharu,” kata MIDA dalam satu kenyataan.

MIDA dalam kata-kata penghormatannya kepada Azman memberitahu semasa kepimpinan beliau, agensi itu secara aktif menasihati, mengesyorkan dan melaksanakan dasar, strategi termasuk hala tuju bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia.

“Bekerjasama dengan semua peringkat dalam pihak berkepentingan termasuk rakan sejawat kerajaan, komuniti perniagaan asing dan tempatan serta rakan kongsi akademik dan latihan, MIDA secara konsisten mencapai sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM200 bilion antara 2014 hingga 2019,” katanya.

Pandemik COVID-19 membentangkan cabaran yang tidak dijangkakan tetapi dengan kepimpinan Azman, MIDA dan pihak berkepentingan industri bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya mengemudi ketidaktentuan.

“MIDA memainkan peranan penting dalam proses penilaian semasa pelaksanaan awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping menyediakan input penting bagi penggubalan dasar dan strategi dalam rancangan kerajaan untuk memulihkan ekonomi Malaysia dalam memastikan industri negara kekal mampan dan mata pencarian rakyat terpelihara,” katanya.

Azman juga mengetuai MIDA dalam proses penjanaan semula perniagaan organisasi itu agar seiring dengan inovatif dan ketangkasan bekerja pada zaman pendigitalan ini.

“Peningkatan kecekapan pelbagai fungsi pertubuhan ini akan meningkatkan aktiviti perniagaan teras dan keterlihatan selain mengukuhkan kapasiti perancangan strategik serta advokasi dasar.

“Ini amat penting semasa pandemik sehinggakan, MIDA mampu berdaya tahan dan responsif dalam memberikan nasihat serta sokongan kepada pelabur sedia ada dan berpotensi walaupun sempadan antarabangsa ditutup dan pergerakan disekat,” tambah agensi itu.

Pada 2020, MIDA berjaya mengadakan lebih 500 pembabitan dalam talian dengan pihak berkepentingan dari dalam dan luar negara untuk memberi taklimat terkini mengenai perubahan dasar negara dalam mengekang pandemik ini agar kebimbangan pelabur dapat distabilkan disamping mengekalkan keyakinan mereka terhadap Malaysia.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X