Arab Saudi unjur pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Arab Saudi unjur pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia

Arab Saudi unjur pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia

15 Mac 2023

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Al Sulaim berkata kerajaan negara itu mengunjurkan pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia akan terus meningkat tahun ini.

Beliau berkata kedua-dua negara juga dijadual menandatangani perjanjian perdagangan dan pelaburan tahun ini, yang akan memenuhi aspirasi kerajaan untuk mempelbagai ekonominya yang berasaskan minyak.

Menurut data terkini, nilai perdagangan dua hala pada 2022 berjumlah AS$10.26 bilion atau peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding AS$4.23 bilion pada 2021.

Al-Sulaim juga berkata kerajaan negara itu berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia dalam semua bidang, terutama perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, perkhidmatan perubatan, serta tenaga bersih dan ekonomi digital.

Bercakap mengenai pelaburan, duta itu berkata pelabur Malaysia aktif dalam sektor perniagaan di Arab Saudi selain berminat untuk mengambil bahagian dalam Wawasan 2030 negara itu, terutama dalam sektor kesihatan dan pembuatan.

“Usaha kerajaan negara itu untuk mempelbagai ekonomi berasaskan rangka kerja wawasan itu telah membuka banyak peluang, termasuk projek bandar NEOM, projek Laut Merah, dan projek Inisiatif Hijau Saudi, dengan syarikat Malaysia boleh bersaing dalam projek berkaitan,” katanya dalam wawancara dengan Bernama.

Selain itu, katanya, terdapat peluang dalam sektor tenaga, petrokimia, pembuatan, makanan, pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, logistik, pembinaan, dan projek infrastruktur teknikal, serta projek berkaitan haji dan umrah.

Mengenai hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin pada 1961, Al Sulaim berkata hubungan antara Riyadh dan Kuala Lumpur adalah berteraskan asas peradaban dan budaya yang berteraskan Islam.

Sejak hubungan diplomatik terjalin, hubungan antara kedua-dua negara telah menyaksikan perkembangan yang luar biasa dalam semua bidang.

Beliau berkata berikutan kesungguhan kedua-dua negara untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan, hubungan itu akan menyaksikan perkembangan pesat pada tahun-tahun akan datang.

Mengenai aspirasi beliau dalam tempoh perkhidmatannya di Malaysia, Al Sulaim berkata: “Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia menikmati hubungan persaudaraan dan sejarah. Saya akan berusaha untuk mengukuhkan hubungan ini ke peringkat tertinggi dan berkhidmat untuk kepentingan kedua-dua negara dan rakyat mereka. Saya menjangkakan tempoh yang akan datang ini akan menyaksikan kerjasama erat antara dua negara bersaudara dalam semua bidang.”

Al Sulaim menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Februari lepas.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon