B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AME Elite bina kemudahan baharu RM108 juta di Johor

AME Elite bina kemudahan baharu RM108 juta di Johor

16 Feb 2023

Unit AME Elite Consortium Bhd akan membina kemudahan pembuatan baharu di i-Park@Senai Airport City, Johor untuk Emhart Glass Sdn Bhd (Bucher Emhart Glass), bernilai RM108 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, AME Elite berkata, kemudahan bangunan baharu di bandar lapangan terbang itu akan mempunyai keluasan binaan kira-kira 300,000 kaki persegi, yang akan menggantikan kilang sedia ada di tapak lain di Johor Bahru untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Katanya, pembinaan projek itu akan dimulakan pada suku kedua 2023 dan dijadualkan siap pada 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite, Kelvin Lee Chai, berkata taman industri dan hartanah bersepadu AME di i-Park@Senai Airport City terus menarik pelaburan langsung asing (FDI), termasuk daripada syarikat global unggul yang dihormati di peringkat antarabangsa.

“AME Elite meneruskan peranannya sebagai magnet FDI dan akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk taman perindustrian kami apabila sempadan antarabangsa dibuka semula,” katanya.

Dengan kontrak terbaharu daripada Bucher Emhart Glass ini, nilai jualan baharu AME Elite untuk tahun kewangan setakat ini meningkat kepada RM433 juta.

Bucher Emhart Glass ialah anak syarikat kumpulan kejuruteraan dan pembuatan yang disenaraikan di Switzerland, Bucher Industries AG.

Bucher Emhart Glass membekalkan penyelesaian pembuatan bekas kaca; termasuk peralatan, kawalan, bahagian dan sokongan.

Kumpulan antarabangsa itu mempunyai kehadiran di seluruh dunia, termasuk Switzerland, Sweden, Itali, Jerman, Singapura, Malaysia, Jepun, China dan Amerika Syarikat (AS).

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon