B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


AmBank tawar geran kepada PKS dan syarikat sederhana

AmBank tawar geran kepada PKS dan syarikat sederhana

18 Jan 2021

AmBank Group menawarkan geran sehingga RM1 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat sederhana (MTC) melalui Geran Automasi Pintar (SAG) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, MIDA dan AmBank berkata inisiatif SAG adalah sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang diluluskan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Pemberian ini akan diberikan kepada PKS dan MTC yang memenuhi syarat berdasarkan padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum RM1 juta untuk sebuah syarikat,” katanya.

PKS dan MTC yang telah melakukan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan dalam tempoh 12 bulan lepas layak dipertimbangkan untuk pemberian SAG.

Untuk memenuhi syarat untuk mendapatkan insentif, mesin automatik, peralatan atau perisian yang dibeli melalui geran mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka.

Peningkatan akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti pengurangan jumlah pekerja tidak mahir, tempoh masa bekerja, kadar kecacatan/kerosakan dan juga peningkatan jumlah pengeluaran.

Pihak berkepentingan yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka ke pelbagai bahagian industri dan perkhidmatan di MIDA.

Kedua-dua pihak itu sebelum ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membantu syarikat terutamanya PKS dan MTC dalam meningkatkan pengetahuan mereka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan automasi dan pendigitalan.

AmBank akan menjalankan beberapa siri latihan simulasi dan sesi bilik kelas yang secara khusus dirancang untuk membantu syarikat mengenal pasti masalah perniagaan serta mengutamakan penyelesaian automasi dan digitalisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Azman Mahmud berkata kerjasama itu melengkapkan matlamat agensi itu untuk memberi kesedaran dan panduan kewangan bagi membantu PKS dan MTC dalam mengautomasikan dan digitalisasi operasi dan proses pengeluaran mereka.

“Memahami keperluan pelabur, SAG tidak hanya akan meningkatkan daya saing dan kemampuan industri Malaysia tetapi juga mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing berkemahiran rendah sambil mewujudkan peluang pekerjaan baharu di sektor nilai tambah yang tinggi.

“Kami percaya bahawa kerjasama ini akan mendorong perniagaan di Malaysia dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi ke arah penggunaan automasi dan digitalisasi secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata bank itu teruja kerana menjadi bank pertama yang bekerjasama dengan MIDA dalam memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada PKS dan MTC susulan daripada lanskap perniagaan yang mencabar ketika ini.

“Melalui kerjasama ini, kami dapat berkongsi kepakaran dan sumber daya kami dengan syarikat-syarikat berkenaan untuk membantu perniagaan mereka berdaya tahan pada masa depan.

“Inisiatif ini akan menjadi sebahagian daripada program AmBank BizRACE untuk membangunkan pelanggan kami dalam bidang utama Revolusi Industri (IR) 4.0, digitalisasi dan industri halal, yang sesuai dengan agenda kemampanan AmBank,” katanya.

Beliau berkata bank itu yakin ia akan menawarkan perkhidmatan selain daripada pembiayaan untuk membantu para pelanggannya bersaing dengan lebih baik dan program AmBank BizRACE menyediakan platform bagi PKS untuk meneroka aliran pendapatan baharu, produk baharu, meningkatkan bakat mereka dan meningkatkan kecekapan dengan menggunakan teknologi digital dan automasi penyelesaian.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk membantu PKS mengatur semula dan mengaktifkan semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon