B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ahli ekonomi jangka pelabur global akan tertumpu ke Asia

Ahli ekonomi jangka pelabur global akan tertumpu ke Asia

30 Sep 2021

Pelabur global dijangka menuju ke Asia berikutan prospek ekonomi di seluruh dunia diramal tidak menentu dengan pertumbuhan yang terjejas pada 2022 dan 2023, demikian menurut ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Shan Saeed menzahirkan keyakinan bahawa ekonomi global akan kembali kepada era stagflasi atau kemelesetan-inflasi pada 1970-an dengan kadar inflasi yang tinggi, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kadar pengangguran yang masih meningkat.

“Disebabkan pandemik COVID-19, kira-kira 100 hingga 300 juta orang telah terjerumus ke kancah kemiskinan, manakala 20 hingga 30 juta individu hilang pekerjaan di seluruh dunia.

“Oleh itu, kita berada dalam keadaan ekonomi yang rapuh dengan ketara pada 2022 dan 2023. Pemulihan ekonomi global dijangka mencatatkan pertumbuhan terjejas dengan kewangan yang tidak kukuh dan bazuka terhadap pasaran kewangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan dalam tempoh stagflasi, para pelabur kebiasaannya menumpukan kepada hartanah dan komoditi.

“Malaysia akan cenderung mendapat manfaat susulan harga minyak dan komoditi yang lebih tinggi, dijangka pada tahun depan.

“Juwai IQI menjangka keluaran dalam negara kasar akan berkembang antara empat dan lima peratus pada tahun depan,” katanya.

Malah, beliau berkata peluang pelaburan masih dilihat dalam sektor gas asli cecair (LNG), e-dagang, teknologi dan infrastruktur.

Katanya infrastruktur adalah satu-satunya strategi pelaburan yang berkesan untuk merangsang pertumbuhan di seluruh dunia.

“Semua penggiat utama bergerak ke ASEAN dan Malaysia kekal sebagai kisah pertumbuhan berikutan kestabilan makroekonomi dan keyakinan ekonomi di peringkat makro.

“Nilai keseluruhan projek infrastruktur dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada harga semasa bersamaan US$4.5 trilion dan Malaysia adalah pemain penting dalam BRI berikutan kedudukan geografi yang strategik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Centennial Asia Advisors Pte Ltd, Manu Bhaskaran berkata Asia Tenggara berada dalam kedudukan yang baik pada masa ini berikutan trend jangka panjang yang kekal menggalakkan.

Beliau berkata demikian dalam sesi panel pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2021 hari ini.

Sidang kemuncak bertemakan ‘Membina Infrastruktur Mampan untuk Pertumbuhan Ekonomi’ itu, dianjurkan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan pihak lain.

“Terdapat penyusunan semula dalam rantaian bekalan pengeluaran yang sebahagian besarnya akan memanfaatkan negara-negara di rantau ini. Meskipun dilanda COVID-19, kita menyaksikan adanya aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

“Malah, turut  dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seluruh sudut penawaran telah membuat pembaharuan di banyak negara di ASEAN, yang akan meningkatkan keberkesanan rantau ini melalui FDI,” katanya.

Beliau berkata perubahan dan penambahbaikan terkini bagi memudahkan urusan perniagaan, dan mengurangkan karenah birokrasi akan menyumbang kepada pelaburan dan pertumbuhan yang lebih besar.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X