Agenda pelaburan diperkasa melalui Majlis Pelaburan Negara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Agenda pelaburan diperkasa melalui Majlis Pelaburan Negara

Agenda pelaburan diperkasa melalui Majlis Pelaburan Negara

08 Mac 2023

Kerajaan menubuhkan Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merencana agenda pelaburan mengikut kepentingan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penubuhan MPN yang disifatkan penting itu akan bermesyuarat kali pertama, dalam masa terdekat ini.

“Dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan, sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan, terdapat keperluan bagi penubuhan MPN.

“Sebelum ini tak ada MPN, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan berharap penubuhan majlis ini adalah penting berikutan ia amat bertetapan dalam usaha untuk merencanakan agenda pelaburan ikut kepentingan negara.

“Terutamanya berkaitan pelaburan strategik dengan komitmen peringkat tertinggi negara,” katanya pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini.

Pada masa sama, Zafrul berkata, menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan daripada Kementerian Ekonomi sebanyak RM10 juta bagi tahun ini untuk program menaik taraf infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada.

Beliau berkata, beberapa langkah penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan antaranya menubuhkan operasi pengurusan kawasan perindustrian iaitu Unit Penyelarasan Perindustrian di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurus, menyelenggara serta mengadaptasikan elemenDasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD).

“Kementerian ini dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga membelanjakan sepenuhnya peruntukan sejumlah RM19 juta secara geran padanan bagi melaksanakan Program High Speed Broadband (HSBB) Industry4WRD yang bertujuan bagi menaik taraf infrastruktur ketersambungan internet di 37 kawasan perindustrian di seluruh negara.

“Selain itu, unit khas turut ditubuhkan di bawah MIDA yang bekerjasama dengan semua pemilik taman perindustrian bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti,” katanya.

Zafrul berkata, pihaknya mengakui faktor kestabilan politik menyumbang antara faktor syarikat asing untuk melabur ke sesebuah negara selain tenaga kerja, infrastruktur dan tatakelola yang baik.

Sementara itu, berhubung pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pihaknya merancang kaedah komprehensif untuk merealisasikan kluster ekonomi sepanjang jajaran projek itu.

“Dari segi statusnya ia berjalan seperti dijadualkan cuma kita hendak merealisasikan pelaburan dalam membangunkan infrastruktur ini dan kita baharu berbincang bagaimana hendak merealisasikan kluster sepanjang jajaran ECRL,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon