B. Malaysia

|

|

This site
is mobile
responsive


Adakah kita telah bersedia ke arah penggunaan tenaga RE dan tenaga bersih?

Adakah kita telah bersedia ke arah penggunaan tenaga RE dan tenaga bersih?

21 Feb 2021

Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) tidak dinakan merupakan tenaga masa depan dalam penggunaan dan campuran tenaga dan topik ini hangat diperdebatkan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia kerana ia memerlukan dasar, infrastruktur dan pembiayaan yang sesuai dan bertepatan.

Dalam temu bual yang menyentuh isu berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Nasional Bhd (Petronas), Tengku Muhammad Tauk Tengku Aziz memberikan penjelasan bagaimana satu-satunya syarikat Fortune 500 Malaysia itu bersiap sedia untuk membuktikannya sendiri.

Beliau memberitahu Petronas mempunyai dua hingga tiga dekad masa yang baik untuk  menyusun strategi kedudukannya. Mungkin ia kelihatan seperti tempoh menunggu yang panjang tetapi sesiapapun boleh meneka bilakah peralihan sedemikian boleh berlaku.

Kejatuhan teruk harga minyak pada tahun 2020 adalah petunjuk yang baik tentang bagaimana keadaan boleh berubah dalam sekelip mata, katanya.

Pada awal bulan Mac tahun lepas, permintaan untuk minyak menyusut teruk di tengah penularan jangkitan COVID-19 serta lonjakan harga telah mendorong harga komoditi itu menjunam ke paras negatif.

Syarikat minyak dan gas di seluruh dunia turut merasa bahang kemerosotan dan Petronas tidak terkecuali yang mana menyaksikan ia  mencatatkan susut nilai RM20.78 bilion pada suku kedua 2020. Pada akhir tempoh sembilan bulan pertama, susut nilainya berjumlah RM32.12 bilion .

“Tentu sahaja walaupun dalam tinjauan yang paling agresif, minyak dan gas masih lagi menguasai separuh daripada campuran tenaga. Jadi, kita menjangkakan ia masih lagi relevan untuk dua hingga tiga dekad ini.”’

Tetapi sebagai syarikat minyak dan gas negara yang diamanahkan, Petronas perlu terus menjana pendapatan, meningkatkan nilai dan memaksimumkan pulangan yang datang daripada hidrokarbon kepada rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, memastikan kelestariannya.

“Kita harus bersedia untuk berhadapan dengan  penurunan permintaan untuk  minyak kerana kecekapan kini menjadi daya tarikan dan  kehendak pengguna turut berubah kepada tenaga yang lebih bersih dan boleh diperbaharui.

Jelas sekali, gas merupakan sumber bahan api yang penting dan bersih, tetapi kepelbagaian kepada tenaga boleh diperbaharui sama pentingnya, tegas Tengku Muhammad Tauk yang mula menerajui Petronas tujuh bulan lepas.

“Ada sesetengah pihak yang agresif menyatakan kita akan menyaksikan permintaan minyak akan mencapai kemuncak seawal 2030 dan 2035, dan dalam pengangkutan, kita akan melihat model baharu serta lebih banyak infrastruktur pengecasan kenderaan elektronik.”

Bagaimanapun, ia tidak bermakna minyak akan menjadi tidak relevan kerana ia masih akan digunakan di loji-loji untuk menghasilkan petrokimia yang digunakan dalam produk harian. Penggunaannya akan tetap ada,” kata beliau kepada Bernama dan Berita Harian dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Sekiranya pilihan untuk menerokai RE tidak dilakukan sekarang, beliau percaya Petronas akan berhadapan risiko menjadi kurang relevan dalam bergerak ke hadapan.

“Tetapi jenis pelaburan yang kita ambil mesti dipertimbangkan dengan teliti,” katanya.

Terdapat pasaran yang menjanjikan ganjaran untuk campuran tenaga bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain seperti India dan Vietnam, kata Tengku Muhammad Tauk sambil menambah  Petronas telah membuat pelaburan yang dihitung (calculated investments)  di India, melalui Amplus Energy Solutions Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, juga dikenali sebagai M+.

Menurut laporan, M+ adalah antara  penyedia pemasangan bumbung terbesar di India, dan kini mempunyai kapasiti solar melebihi 800 megawatt (MWp) dalam operasi dan pembinaan di India, Dubai dan Asia Tenggara.

Pemasangan komersial dan perindustrian itu meliputi lebih daripada 200 syarikat multinasional, termasuk Honda, General Electric dan Halliburton.

Seiring dengan perkembangan Asia, permintaan untuk tenaga elektrik juga akan meningkat, katanya  sambil menambahkan terdapat pelbagai laporan yang menunjukkan ada antara 100 dan 130 juta orang, tertakluk pada tempoh tinjauan, yang tidak memiliki akses kepada tenaga elektrik.

Buat masa ini, Petronas memanfaatkan tenaga yang tersedia dengan banyaknya iaitu tenaga suria.

“Peluang perniagaan dalam tenaga boleh diperbaharui seperti teknologi bateri dan tenaga boleh diperbaharui yang lain  sedang diperhatikan kerana tidak semua kerajaan berminat untuk melabur dalam grid elektrik kerana ia melibatkan kos yang mahal untuk dilaksanakan.

Hakikatnya, pulangannya tidak sebegitu menarik berbanding yang diperoleh daripada pelaburan minyak dan gas tradisional.

“Tetapi apa yang harus kita lakukan adalah membuktikan aliran pendapatan masa depan untuk Petronas. Bagi memastikan pendapatan lebih pelbagai dan pada masa sama mengekalkan nilai estrak daripada perniagaan teras kami,” tegas beliau.

Rancangan campuran tenaga Malaysia 

Tengku Muhammad Tauk berkata perlunya untuk mempertimbangkan perubahan atau peralihan dasar apabila berurusan dengan campuran tenaga yang sentiasa berkembang pesat.

Pada tahun 2018, Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menetapkan sasaran 20 peratus RE dalam penjanaan campuran tenaga menjelang 2025.

“Jadi, dasar yang disertakan perlu diperhalusi. Apakah kita komited untuk memberikan insentif kepada perubahan itu? Adakah sistem bank kita membenarkan pembiayaan peralihan?,” tanya beliau.

Laporan pada 2019 di laman web power-technology.com menunjukkan bahawa untuk mencapai 20 peratus sasaran campuran tenaga, Malaysia memerlukan pelaburan bernilai RM33 bilion (US$8 bilion) dalam sektor RE.

Tengku Muhammad Tauk berkata  antara US$5 trilion dan US$6 trilion diperlukan untuk membuat dunia beralih kepada model yang lebih mampan/lestari dan pembiayaan peralihan tenaga sangat diperlukan untuk memastikannya dapat direalisasikan.

Beliau berpendapat perlunya ada ekosistem bagi mendokong langkah itu.

“Saya rasa, ini adalah perdebatan yang berterusan. Bukan hanya di pasaran sedang pesat membangun tetapi juga pasaran maju dan matang mengenai berapa banyak modal yang ingin mereka peruntukkan untuk membolehkan sektor swasta melaksanakannya.”

“Kerana kita harus menerima hakikat bahawa ini adalah pelaburan yang tidak akan memberikan pulangan lumayan secara serta-merta. Tetapi jika kita tidak melakukannya, akan ada ketikanya pengguna akan menuntut untuk dapatkan tenaga bersih.”

Petronas, yang merupakan antara lima penggiat teratas di Asia untuk gas asli cecair (LNG) amat menyokong langkah menjadikan gas bahan bakar peralihan ke arah mencapai aspirasinya iaitu Sifar Bersih Pelepasan Karbon (NZCE) 2025.

Tinjauan oleh Persatuan Tenaga Antarabangsa menyaksikan gas kini menghampiri 20-25 peratus campuran tenaga menjelang 2040 dan ia akan terus meningkat.

Yang pastinya, arang batu jauh lebih murah dan masih memainkan peranan penting dalam gabungan campuran tenaga negara tetapi perlu difahami bahawa Malaysia bukan negara pengeluar arang batu.

“Jadi, semakin kita bergantung pada perspektif keselamatan tenaga arang batu, pengimportan juga akan menjadi sebahagian daripada persamaan dan oleh itu, menguruskan pergantungan kepada pengimportan arang batu dan  aliran keluar mata wang  adalah penting kerana kita membeli terutamanya dari Indonesia dan Australia.”

Jelas sekali, struktur kos perniagaan boleh terganggu (dalam peralihan ke arah bahan bakar yang lebih bersih) jika langkah-langkah berkenaan tidak diambil.

Langkah sebenar yang boleh diambil oleh pengguna dan industri di Malaysia adalah melihat kepada peningkatan kecekapan mereka.

“Ia agak menyakitkan tetapi itulah langkah yang harus diambil untuk mengekalkan daya saing sebagai sebuah negara.”

Tengku Muhammad Tauk mengambil contoh undang-undang Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang mahu agar industri menggunakan bahan bakar bersih sebagai petunjuk bahawa dunia sedang menuju ke arah itu.

Di Malaysia, untuk jangka waktu yang paling lama, Petronas terpaksa menanggung beban kos harga gas bersubsidi bagi  penjanaan tenaga elektrik, iaitu pada RM6.40 per juta Unit Termal British (MMBtu), yang hampir 70 peratus lebih rendah daripada harga pasaran sebenar ketika itu.

Sementara itu, Tengku Muhammad Tauk percaya kerajaan akan memperkenalkan rancangannya ke arah RE dan peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 dan Dasar Tenaga Nasionalnya.

“Kami tidak memacu usaha itu tetapi saya amat berbesar hari mereka turut meminta input daripada Petronas. Dengan itu, pandangan kami turut diketahui ramai,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X