B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


73,000 pekerjaan diwujudkan pada 2020 – Jabatan Perangkaan

73,000 pekerjaan diwujudkan pada 2020 – Jabatan Perangkaan

18 Feb 2021

Jumlah pekerjaan yang diwujudkan pada 2020 merosot sebanyak 31,000 pekerjaan kepada 73,000 daripada 104,000 pekerjaan diwujudkan pada 2019, mencerminkan permintaan buruh yang rendah daripada perniagaan dalam sektor swasta, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata angka awalan berdasarkan purata suku tahunan statistik tenaga buruh menunjukkan bilangan penduduk bekerja merekodkan peningkatan kecil kepada 15.10 juta orang manakala bilangan penganggur naik kepada 711,000 orang.

“Justeru, kadar pengangguran naik kepada 4.5 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh sebelum krisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan nilai tambah bagi tahun 2020 susut 5.6 peratus, produktiviti buruh per pekerja jatuh 5.4 peratus kepada RM88,899 per pekerja.

Berdasarkan pengurangan operasi perniagaan, katanya jumlah jam bekerja pada 2020 mencatatkan penurunan kepada 32.0 bilion jam (2019: 35 bilion jam), menyebabkan produktiviti buruh per jam bekerja meningkat 3.4 peratus kepada RM42 per jam.

Mohd Uzir berkata cabaran luar jangka pada 2020 telah membuka peluang kepada industri untuk menilai semula model perniagaan dan meneroka bidang baharu.

Sebahagian perniagaan telah meningkatkan penggunaan teknologi digital manakala sebahagian lagi melaksanakan pengaturan kerja eksibel.

“Bagaimanapun, perniagaan tertentu mungkin berdepan cabaran dalam mengadaptasi pendigitalan kerana struktur semasa operasi perniagaan dan kekurangan kompetensi teknikal, terutamanya perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PKS).

“Penggunaan teknologi melalui rakan kongsi pintar perniagaan merupakan antara mekanisme untuk PKS meningkatkan skala ekonomi.

“Oleh itu, penting untuk memastikan sokongan yang berterusan kepada PKS dalam proses adaptasi pendigitalan ke arah mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir bagi memenuhi peningkatan penawaran tenaga buruh berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata pasaran buruh Malaysia pada awal 2021 dijangka terus berada dalam kedudukan yang mencabar, justeru, kerjasama berterusan semua pihak diperlukan untuk meringankan situasi yang kurang memberangsangkan ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon