B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


60 syarikat gergasi, multinasional diminta tampung pembiayaan TVET

60 syarikat gergasi, multinasional diminta tampung pembiayaan TVET

21 Mac 2023

Sebanyak 60 syarikat gergasi termasuk multinasional diminta untuk menampung pembiayaan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu adalah bagi memberi peluang syarikat berkenaan membantu secara langsung kepada rakyat menerusi pengambilalihan, penyelenggaraan dan latihan menggunakan kos syarikat.

“Kita minta syarikat bantu secara langsung sama ada projek rakyat miskin, dan dalam kes ini secara khusus (membantu) TVET kerana TVET ini melatih anak muda kita, Melayu dan Bumiputera untuk tingkatkan kemahiran bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dan upah atau gaji lebih tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu jika terdapat syarikat besar lain yang menyumbang keuntungan kepada rakyat.

Menurut Perdana Menteri antara syarikat yang terlibat antaranya adalah Sunway Berhad, Berjaya Corporation Berhad, syarikat dalam Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Telekom Malaysia (TM) dan Kumpulan Syarikat Albukhary yang secara spesifik menawarkan untuk membantu mengambil alih TVET di Pekan, Pahang dan Tanjung Malim, Perak.

Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkenaan cukai sepatutnya digunakan untuk membantu golongan susah, Anwar berkata pendekatan kerajaan sekarang adalah berbeza, dengan syarikat besar diminta menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada golongan sasar dan bukannya memberi sumbangan kepada parti politik atau individu perseorangan.

“Saya memilih memanggil (tokoh korporat) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, (dan untuk) memberi manfaat kepada negara dan bagi kepentingan pesawah miskin, (saya) minta dia derma kepada pesawah secara langsung.

“RM60 juta kepada pesawah; dan dengan 30 peratus keuntungan yang dicatat lebih 20 tahun, ini kali pertama minta dia berikan 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi,” katanya.

Menjawab soalan asal Cha berkenaan tuduhan bahawa Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng telah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa menjadi Menteri Kewangan, Anwar mengesahkan Lim tidak pernah membuat sebarang pembatalan berhubung perkara itu.

Anwar berkata dakwaan itu tidak benar, dan hakikatnya kelulusan pengecualian cukai Yayasan Albukhary hanya dibuat pada 25 Februari 2021.

“Hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan meluluskan sesuatu pengecualian cukai yang di luar kebiasaannya yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukhary dan Kumpulan (Syarikat) Albukhary,” katanya.

Anwar berkata mengikut Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53), pengecualian cukai bukan kuasa menteri atau perdana menteri, sebaliknya ia kuasa mutlak Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon