B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sarawak sasar tenaga hibrid, projek tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui

Sarawak sasar tenaga hibrid, projek tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui

16 Jan 2023

Sarawak akan mempunyai kelebihan dalam pengeluaran sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) keempat sekiranya kerjasamanya dalam projek RE hibrid baharu dengan syarikat antarabangsa terkemuka Shell untuk menghasilkan tenaga angin dan solar terbukti berjaya.

Bagaimanapun, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak mendedahkan lebih lanjut butiran kerjasama tersebut.

Beliau berkata teknologi turbin angin telah meningkat dengan pesat dan mungkin ia menyamai hidroelektrik, sel bahan api dan tenaga solar sebagai sumber TBB di negeri ini.

“Teknologi turbin angin dengan penggunaan AI (kecerdasan buatan) boleh mengawal selia bilah turbin (loji janakuasa) dan jika kerjasama ini terbukti berjaya, Sarawak akan memiliki semua sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kereta sel bahan api hidrogen, Toyota Mirai disumbangkan oleh UMW Toyota Motor di sini hari ini,

Abang Johari berkata inisiatif tenaga hijau kerajaan Sarawak telah menarik beberapa kerjasama daripada negara lain.

Beliau berkata anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), SEDC Energy telah menjalin kerjasama dengan syarikat Korea Selatan untuk membangunkan sebuah loji pengeluaran hidrogen di Bintulu yang dijangka beroperasi pada 2025.

Sementara itu, UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan berkata empat daripada Toyota Mirai telah diserahkan kepada SEDC Energy manakala yang kelima disampaikan kepada Abang Johari untuk menandakan komitmen mereka terhadap neutraliti karbon menjelang 2050 dan inisiatif mobiliti hijau dan tenaga hijau Sarawak.

“UMW Toyota Motor dan SEDC Energy bersedia untuk memanfaatkan peluang untuk mengkaji lebih lanjut potensi teknologinya sebagai batu loncatan untuk membangunkan ekonomi rendah karbon dengan sistem sel bahan api baharu yang mengutamakan saiz padat, kecekapan dan produktiviti untuk menyokong mobiliti diperlukan masyarakat,” katanya.

Sama seperti sebuah kereta sedan konvensional dan keupayaan untuk mengisi minyak dalam tempoh lima minit, Toyota Mirai menggunakan sel bahan api hidrogen dengan potensi besar sebagai kenderaan mesra alam atau “ultimate eco-car”.

Menerusi penggunaan hidrogen, bahan buangan yang terhasil adalah air biasa.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon