LIMA '23 mampu jana nilai kontrak cecah RM8 bilion - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


LIMA ’23 mampu jana nilai kontrak cecah RM8 bilion

LIMA ’23 mampu jana nilai kontrak cecah RM8 bilion

16 Jan 2023

Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei depan, mampu menjana nilai kontrak mencecah RM8 bilion.

Nilai itu termasuk kontrak Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Niat (LoI), Surat Setuju Terima (LoA) antara kerajaan dengan syarikat berkaitan pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata lebih banyak perjanjian dan MoU dijangka dimeterai pada LIMA yang memasuki edisi ke-16 kali ini selepas program itu terpaksa ditunda lebih tiga tahun akibat pandemiK COVID-19.

“Kita menjangka lebih banyak lagi perjanjian serta MoU akan ditandatangani antara negara-negara dan syarikat-syarikat. Kita menganggarkan ia bernilai RM7 bilion hingga RM8 bilion.

“Ini kerana sudah hampir empat tahun (LIMA ditangguhkan) dan banyak negara, termasuk di Asia Pasifik, sedang meneliti serta menilai untuk membeli aset dan perolehan pertahanan negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi LIMA ’23 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Selain itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; dan Pengerusi Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, LIMA menjadi tempat titik pertemuan dan berkumpul ramai pemain industri pertahanan udara serta maritim.

“LIMA ’23 bukan saja menjadi tumpuan negara luar tetapi juga pemain industri pertahanan untuk mereka menjalinkan kerjasama atau bertukar cadangan antara syarikat masing-masing.

“Matlamat kita adalah peningkatan dalam nilai dan jumlah perdagangan yang dapat dihasilkan pada edisi LIMA kali ini,” katanya.

Pada penganjuran LIMA ’19, lebih RM4 bilion nilai kontrak, MoU, LoI, dan LoA antara kerajaan dengan syarikat berkaitan pertahanan, berjaya ditandatangani.

Acara dwitahunan itu diadakan secara kerjasama antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan untuk edisi kali ini, syarikat Alpine Integrated Solution dilantik sebagai penganjur.

Pameran antarabangsa selama lima hari itu akan disertai sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 30 negara. Sebanyak 360 syarikat pemain industri pertahanan dan keselamatan serta 240 syarikat komersial bakal menyertai pameran itu.

Pada masa sama, 20 negara dijangka membuka pavilion antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Thailand, Itali, Turkiye, Jerman, Brazil, Arab Saudi, Belgium dan Jepun.

Sempena LIMA ’23, penganjur menjangka kehadiran 45,000 pengunjung pada sesi pameran khas perdagangan yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mei depan, dan 238,000 pengunjung apabila pameran dibuka kepada umum dari 26 hingga 27 Mei.

Sebanyak 110 pesawat pertahanan serta komersial dijangka menyertai pameran udara dan statik pada LIMA kali ini, selain 110 kapal untuk pameran maritim.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon