B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor kewangan mesti terus mainkan peranan penting dalam agenda kemampanan – Mustapa

Sektor kewangan mesti terus mainkan peranan penting dalam agenda kemampanan – Mustapa

29 Mac 2022

Sektor kewangan mesti terus memainkan peranan penting dalam agenda kemampanan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata banjir yang melanda baru-baru ini telah menunjukkan betapa Malaysia dan dunia terdedah kepada perubahan iklim, justeru, peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau mesti dipercepatkan.

“Malah, 270 bank yang mewakili 45 peratus aset perbankan di seluruh dunia telah pun komited kepada Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) Bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab dalam menyelaraskan pelan hala tuju strategik dan sasaran kemampanan mereka kepada Perjanjian Iklim Paris dan matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Oleh itu, terdapat keperluan bagi institusi kewangan di Malaysia untuk turut serta bersama-sama rakan setara global mereka,” katanya dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan  Malaysia 2022 di sini hari ini.

Bertemakan “Future Proof Banking Post-Pandemic – Geering Up For Recovery”, sidang kemuncak sehari itu dianjurkan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik.

Mustapa seterusnya menambah sebagai penggerak modal, industri perbankan memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan syarikat ke arah ekonomi rendah karbon melalui pembiayaan dan pelaburan yang mampan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan kekal yakin dalam mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.

Mustapa berkata beberapa indikator baru-baru ini mencadangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perdagangan luar dan aliran masuk bersih pelaburan asing yang teguh serta pertumbuhan penggunaan swasta yang lebih berdaya tahan.

“Walaupun ini memberi petanda baik kepada Malaysia, terutamanya ketika negara menuju ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa, mungkin terdapat beberapa halangan yang timbul daripada kesan ekonomi perang antara Rusia dan Ukraine.

“Antaranya, kenaikan mendadak harga beberapa komoditi seperti gandum, minyak, dan jagung,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian selepas menyampaikan ucap tama, Mustapa berkata Malaysia memerlukan keberanian untuk melaksanakan perubahan yang membabitkan bakat, produktiviti, peningkatan kemahiran (upskilling) serta mengukuhkan kedudukan institusi dalam negara seperti yang ditekankan dalam

Rancangan Malaysia ke-12 bagi menjadikan negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.

“Kita perlu bergerak ke arah pembaharuan dan pengukuhan institusi, menarik bakat global dan terus membuat penambahbaikan ke atas bakat kita,” tambahnya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon