B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Deftech, IDV tubuh pusat MRO tempatan

Deftech, IDV tubuh pusat MRO tempatan

30 Mac 2022

DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) dan Iveco Defence Vehicles (IDV) menandatangani memorandum persefahaman (MOU), hari ini, untuk menubuhkan pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tempatan yang sah bagi trak keluaran IDV di Malaysia.

Pertukaran dokumen kerjasama antara Deftech dan IDV yang disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec Asia) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di sini.

Deftech diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Leftenan Jeneral Datuk Hanafiah Jaafar manakala IDV diwakili oleh Ketua Jualan Eksport Iveco Defence Vehicles, Francescomaria Tuccillo.

Turut hadir menyaksikan acara itu adalah Duta Besar Itali ke Malaysia, Massimo Rustico, Timbalan Setiausaha Agung Itali bagi pertahanan, Naib Laksamana Dario Giacomin, dan Kapten Cesare Petruzziello Atase.

Deftech dan IDV bekerjasama membekalkan 150 trak GS Cargo tiga tan kepada tentera Malaysia diikuti dengan pembekalan 132 trak yang sama baru-baru ini, daripada keluarga kenderaan Eurocargo Iveco kepada tentera Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech Fazley Ariffin berkata, kerjasama ini penting kerana pusat MRO setempat boleh menawarkan penyelesaian selepas jualan yang lebih pantas kepada pelanggan selain lebih mantap dan cekap.

“Trak 4×4 GS Cargo ini dianggap sebagai kuda kerja Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Deftech komited untuk membekalkan pasukan pertahanan Malaysia dengan jentera yang kukuh dan boleh dipercayai.

“Kerjasama dengan IDV yang juga sebuah syarikat terkenal dan terbukti secara global untuk menubuhkan pusat MRO tempatan juga akan meningkatkan kebolehupayaan menyelenggara setiap kenderaan.

“Ia bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik secara konsisten kepada ATM,” katanya.

Sementara itu, Tuccillo berkata, penubuhan pusat MRO berkenaan menunjukkan betapa pentingnya pasaran pertahanan Malaysia kepada perniagaan Asia Pasifik IDV.

“Pasaran pertahanan Malaysia cukup strategik dan penting bagi seluruh kawasan Asia-Pasifik. Disebabkan itu, IDV berbesar hati untuk bekerjasama dengan Deftech dan meletakkan landasan untuk pelbagai usahasama pada pelbagai kelas kenderaan termasuk kenderaan berperisai untuk faedah dan pertumbuhan ATM.

“Menubuhkan bengkel MRO di Malaysia ini adalah satu langkah penting ke arah ini. Dengan adanya pusat MRO di Malaysia, ia membolehkan IDV menjaga secara terus kenderaan yang sedang dalam perkhidmatan di Malaysia dan kenderaan serta platform tambahan yang berpotensi akan diperoleh oleh ATM pada masa hadapan,” katanya.

Skop yang ditetapkan dalam MOU itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Deftech, Defence Sales & Services Sdn Bhd (DSSB) yang juga pakar MRO terulung negara memfokuskan pada kenderaan tentera berperisai dan bukan berperisai.

Sumber: Harian Metro

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon