B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pengeluaran industri teruskan momentum positif

Pengeluaran industri teruskan momentum positif

11 Mac 2022

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) kekal positif dengan mencatat peningkatan 4.3 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sama pada 2021, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata pengembangan IPP ini disumbangkan oleh kenaikan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan dan 7.7 peratus dalam indeks elektrik, namun indeks perlombongan susut 5.1 peratus.

“Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP merosot 1.2 peratus, dipengaruhi oleh indeks pembuatan dan perlombongan,” katanya dalam kenyataan Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia bagi Januari 2022 yang diterbitkan hari ini.

Mohd Uzir berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 6.8 peratus pada Januari 2022 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.4 peratus pada Disember 2021.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada Januari 2022 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (14.4 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (6.7 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (6.2 peratus).

Menurutnya, pada masa sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (6.7 peratus) dan industri berorientasikan domestik (7.0 peratus).

Jelas beliau, peningkatan bagi industri berorientasikan eksport itu disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal serta pembuatan kimia dan produk kimia.

“Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pertumbuhan bagi industri berasaskan domestik didorong oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan susut 1.7 peratus berbanding Disember 2021 yang dipengaruhi oleh kapasiti penggunaan kilang yang rendah terutamanya dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk makanan, minuman dan tembakau.

“Output sektor perlombongan merosot 5.1 peratus pada Januari 2022 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya. Penurunan disebabkan oleh kejatuhan 13.9 peratus dalam indeks minyak mentah dan kondensat,” katanya.

Mohd Uzir berkata, indeks gas asli tumbuh 1.6 peratus namun indeks perlombongan merekodkan penyusutan marginal 0.02 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Output sektor elektrik berkembang 7.7 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sama tahun lepas. Pada masa sama, dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik meningkat 1.6 peratus,” katanya.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon