B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Duta Turki dan Jepun optimis terhadap pembukaan semula sempadan Malaysia

Duta Turki dan Jepun optimis terhadap pembukaan semula sempadan Malaysia

12 Mac 2022

Duta Besar Turki dan Jepun di Malaysia optimis terhadap langkah kerajaan membuka semula sempadan antarabangsa bermula 1 April ini, langkah yang dijangka meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala antara negara.

Rancangan Malaysia memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini dan disifatkan sebagai langkah yang dinanti-nanti.

Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci memberitahu “saya sendiri teruja dengan keputusan Malaysia membuka semula sempadannya, memikirkan peningkatan jumlah pelancong antarabangsa kerana ramai rakyat Malaysia tidak sabar melancong ke luar negara.

“Pada saat ini, Turki antara salah satu destinasi pelancongan paling popular rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, pelancong Turki juga dapat menerokai Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sebenarnya, jumlah pelancong Malaysia melawat Turki ketika prapandemik agak memberangsangkan dengan lebih 114,000 kemasukan direkodkan pada 2019,”

Kavakci menambah, Turki turut menjangkakan peningkatan lawatan kerjasama dua hala peringkat tinggi dan teknikal dalam masa terdekat, berikutan kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sangat baik dalam pelbagai bidang.

“Selain itu, ia akan menjadi peluang besar buat pelabur dari Malaysia menerokai Turki.

“Saya ingin mengulangi bahawa, Turki adalah hab terbaik untuk pelaburan dengan akses mudah ke pasaran yang lebih besar,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Duta Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi berkata berita gembira itu memberi gambaran bahawa kehidupan akan kembali normal sedikit demi sedikit.

“Peraturan tertentu harus diteruskan tetapi saya harap kerajaan dan rakyat Malaysia dapat menguruskan hala tuju dasar ini dengan cara terbaik,” katanya kepada Bernama, ketika diminta mengulas mengenai pengumuman itu.

“Pengumuman oleh Malaysia kali ini pastinya merangsang hubungan kerjasama dua hala kami,” kata Takahashi, sambil menyifatkan pelaburan Jepun di Malaysia menyaksikan peningkatan susulan pelbagai projek baharu telah dibangunkan meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Memulihkan semula hubungan rakyat dengan rakyat antara Jepun dan Malaysia adalah penting dalam sektor pendidikan dan pelancongan.

“Jepun perlu terbuka seperti Malaysia untuk mencapai matlamat ini. Pengumuman kerajaan Malaysia kali ini akan memberi sedikit kesan positif kepada dasar negara lain termasuk Jepun,” kata Takahashi.

Malaysia telah menutup sempadan antarabangsanya kepada pelancong asing sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020, bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon