B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Pemain industri jangka 2021 akan menjadi lebih baik untuk beberapa sektor

Walaupun 2020 dicatatkan sebagai tahun yang penuh dengan kejutan dan peluang berikutan pandemik COVID-19, pemain industri menjangkakan 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik bagi industri tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uni Enrol Malaysia, Rickson Khaw berkata beberapa industri dijangka akan berprestasi cemerlang pada tahun depan disebabkan mereka telah berusaha bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka sebelum ini. 

”Sebagai contoh, perniagaan dengan produk atau perkhidmatan yang boleh diakses dalam talian akan berada pada paras tertinggi sepanjang masa pada tahun depan. Mereka telah memperbaiki apa yang kurang dan memberikan perkhidmatan yang lebih unggul,” katanya semasa webinar Cyberview Tech-Talk, ‘Business Flashback of 2020 and Insights towards 2021’ di sini hari ini. 

Khaw menjangkakan keadaan tidak banyak berubah dalam enam bulan pertama 2021 tetapi separuh kedua akan merekodkan pemulihan sehingga 70 peratus pada tahap sebelum COVID-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Govicle (dahulunya dikenali sebagai JomParkir) Muhamad Nasir berkata usaha ini amat berbaloi akhirnya dan penyelesaian tanpa tunai atau penyelesaian dalam talian akan menjadi salah satu perkara besar yang akan berlaku pada tahun depan.

Trend positif ini dijangka berterusan pada tahun depan, khususnya bagi penyelesaian tanpa tunai, perkhidmatan jarak jauh serta perkhidmatan yang berkaitan dengan teknologi. 

Pengarah Hal Ehwal Awam dan Dasar Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah berkata kebanyakan kesan COVID-19 yang berlaku terhadap transformasi digital adalah pecutan dalam kemajuan pergerakan pendigitalan.

“Pandemik ini mengajar kami bahawa perniagaan yang tidak didigitalkan tidak akan bertahan, dan peniaga tidak lagi boleh meletakkan pendigitalan sebagai pilihan. 

”Mengenai model ekonomi gig, ia dijangka kekal kerana ia telah menjadi sebahagian daripada ekonomi baharu atau normal baharu. Masalahnya ialah tiada siapa yang benar-benar memahami atau memberi takrifan yang betul sama ada dari kerajaan atau pemain industri,” katanya. 

Beliau berkata Grab Malaysia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan kegiatan gig ini adalah adil, inklusif dan mampan untuk semua.

”Untuk melakukan semua ini, perkongsian akan menjadi kunci kepada kami, kami mahu menjadi pemboleh. Sudah ada dakwaan yang menyatakan Grab amat dominan atau bersifat monopoli disebabkan perniagaan atau gabungan terdahulu tetapi pada hakikatnya dalam pengembangan kami, kami mahu menjadi pemboleh dan membantu negara serta pasaran,” katanya.

Sumber: Bernama

Pemain industri jangka 2021 akan menjadi lebih baik untuk beberapa sektor


Content Type:

Duration:

Pemaju hartanah Jiankun International Bhd menceburkan diri dalam pengeluaran getah nitril seiring peningkatan industri sarung tangan getah menerusi kerjasamanya dengan Chuanplus Industries Sdn Bhd.

Rakan kongsi tersebut akan menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) untuk membina kilang pengeluaran di Klang, Selangor, dengan pelaburan berjumlah RM120 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM50 juta akan digunakan bagi pembelian mesin, pemasangan dan peralatan manakala RM70 juta digunakan bagi kos pengambilalihan tanah.

Jiankun, yang akan memegang 80 peratus saham dalam SPV itu, akan bertanggungjawab untuk mengumpul dana manakala Chuanplus akan menyediakan kepakaran pengeluaran.

Menurut Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang dilantik sebagai Pengerusi Jiankun berkuat kuasa hari ini, penglibatan itu diharapkan dapat meningkatkan pendapatan Jiankun.

“Saya harap (usaha) ini akan memacu aktiviti ekonomi untuk kepentingan kedua-dua pihak,” kata bekas Peguam Negara itu ketika majlis menandatangani perkongsian tersebut di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chuanplus Chuan Tuck Soon berkata usaha sama itu menjadikan mereka sebagai pengeluar getah nitril ketiga di negara ini.

Pada masa ini, hanya satu syarikat tempatan yang mula mengeluarkan getah nitril, menyumbang 30 peratus bekalan di Malaysia, manakala 70 peratus lagi bersumber dari luar negara.

Chuan berkata usaha sama Jiankun-Chuanplus akan memulakan pengeluaran pada 2022.

“Jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, dianggarkan selepas tahun pertama pengeluaran, nilai perolehan kontrak akan mencapai sehingga RM175 juta,” kata Chuan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Jiankun mengumumkan bahawa Pengerusi Eksekutifnya Datuk Lim Siang Chai dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif berkuat kuasa hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu telah menjadi Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut sejak Julai 2013.

Sumber: Bernama

Jiankun teroka pengeluaran getah nitril


Content Type:

Duration:

Syarikat teknologi yang berpangkalan di Jerman, Bosch mengumumkan penyiapan satu daripada pemasangan sistem fotovoltaik solar (PV) atas bumbung terbesar di Malaysia di loji elektronik automotifnya di Pulau Pinang.

Menerusi kenyataan hari ini, Bosch berkata, kemudahan kuasa 3MWp baharu itu merangkumi 24,500 meter persegi ruang atas bumbung, bersamaan 3.5 padang bola sepak dengan standard FIFA.

“Melalui kerjasama dengan penyedia tenaga solar Blueleaf Energy, 4,500 MWh tenaga tambahan yang dijana (daripada pemasangan sistem PV solar) dijangka mengurangkan pelepasan 3,000 tan karbon dioksida  setahun.

“Ini diterjemahkan kepada sumbangan alam sekitar yang penting daripada loji ini, bersamaan penggunaan tenaga 1,300 isi rumah di Malaysia pada setiap tahun atau 700 kereta yang dipandu pada setiap tahun,” katanya.

Katanya, Bosch mengkhususkan bahagian atas bumbung berkeluasan 24,500 meter persegi bagi 7,500 panel solar manakala Blueleaf Energy terbabit dalam merekabentuk dan melaksanakan loji solar itu dan akan memiliki dan menguruskan aset PV.

Greencells Energy Asia Pacific, anak syarikat German Greencells Group iaitu penggiat utama tenaga hijau turut serta dalam projek berkenaan sebagai kontraktor kejuruteraan, perancangan dan pembinaan.

“Sistem ini dirancang dan dikendalikan di bawah Perjanjian Belian Tenaga berdasarkan penggunaan sendiri dan mencipta peluang mengeksport semula lebihan tenaga ke grid. Setakat ini, pemasangan Bosch di loji elektronik automotifnya merupakan sistem solar terbesar di Pulau Pinang di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih,” katanya.

Pengarah Urusan Teknikal Loji Elektronik Automotif Bosch di Malaysia Dr Siegfried Skirl berkata Bosch telah mengambil langkah progresif ke arah mencapai keneutralan karbon.

Beliau berkata ia akan meneruskan pemasangan sistem solar PV di Malaysia berikutan kesinaran suria yang tinggi pada sepanjang tahun ini.

“Kami gembira dapat mencapai kejayaan ini menerusi tindakan iklim kami meskipun berlaku sekatan pergerakan, larangan perjalanan dan beberapa cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik,” katanya sambil memaklumkan 18 peratus daripada penggunaan tenaga loji itu memanfaatkan matahari.

Sumber: Bernama

Bosch siap satu daripada pemasangan sistem PV atas bumbung terbesar Malaysia di Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Taraf Raya Sdn Bhd (Taraf Jaya) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC) berkaitan kerjasama dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.

Dalam satu kenyataan, Taraf Raya berkata MRL dan CCC telah bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk memastikan 40 peratus kerja sivil (tidak termasuk kerja-kerja di terowong) projek itu akan dilaksanakan oleh sub-kontraktor tempatan.

Taraf Raya adalah syarikat usaha sama 70:30 antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PSDC) dan Landasan Surimas Sdn Bhd, sebanyak 40 peratus dipegang oleh anak syarikat milik penuh OCR Group Berhad, Kirana Masyhur Sdn Bhd.

Taraf Raya dilantik untuk menyelaraskan penyertaan tempatan dalam projek ini di Pahang.

Di bawah MoU tersebut, Taraf Raya akan menyediakan rundingan dan bantuan kepada MRL dan CCC mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan di Pahang serta membantu CCC dalam mendapatkan pembekal dan kontraktor dengan tujuan mengoptimumkan penyertaan kandungan dan sumber tempatan, kata pengerusinya Datuk Indera Tun Putera Matin Ahmad Shah.

Katanya, Taraf Raya sejak penubuhannya ia telah mendapat sambutan luar biasa daripada kontraktor dan pembekal tempatan yang berminat untuk menyertai projek ECRL.

“Saya percaya projek ini merupakan platform penting bagi kontraktor tempatan, terutama di Pahang, untuk menunjukkan kemahiran mereka dan meningkatkan tahap kepakaran mereka dalam sektor pembinaan melalui kuota penyertaan tempatan 40 peratus.

“MoU hari ini akan bertindak sebagai batu loncatan antara MRL, CCC dan Taraf Raya untuk memperbaiki hubungan antara semua pihak serta memastikan pelaksanaan kerja ECRL yang lebih lancar di Pahang,” katanya.

Sumber: Bernama

Taraf Raya meterai MoU dengan MRL dan CCC berkaitan projek ECRL Pahang


Content Type:

Duration:

NanoMalaysia Bhd dan Bonric Sdn Bhd telah membangunkan secara bersama sarung tangan getah graphene infused electrostatic discharge (ESD) dengan impak pendapatan diunjurkan lebih RM100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sarung tangan ESD biasanya diperbuat daripada getah sintetik dan digunakan untuk mengendalikan bahagian elektronik yang sensitif dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Bagaimanapun, sarung tangan getah ESD ini telah dipertingkatkan dengan teknologi nano, menjadikannya lebih nipis, tahan koyak, mesra alam dan tidak cenderung kepada alergi kimia Jenis IV yang membolehkan penggunaan yang meluas dalam banyak industri seperti pemacu cakera elektronik; semikonduktor; avionik; teknologi angkasa; dan malah penjagaan kesihatan.

Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Kumpulan Bonric Sdn Bhd Dr Supramaniam Shanmugam berkata syarikat merupakan perintis dalam pembuatan dan pengedaran sarung tangan khas dan inovatif untuk kegunaan persekitaran yang kritikal, mengeksport produk ke lebih 75 negara.

Nilai global semasa untuk pasaran sarung tangan ESD dianggarkan sebanyak RM640 juta dan Bonric yakin sarung tangan getah inovatif ini akan dapat meraih 15 – 20 peratus daripada bahagian pasaran, dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sarung tangan ini tahan lasak, selesa, menjimatkan kos dan mempunyai ciri-ciri ESD yang amat baik.

“Selepas kami mewujudkan kedudukan pasaran, dan mengukuhkan harta inteleknya (IP), sarung tangan ini akan dilesenkan kepada penggiat Malaysia yang lain untuk pembuatan dan eksport,” katanya sambil menambah, matlamatnya untuk meningkatkan pendapatan eksport bagi Malaysia.

Menurutnya, pengedar dan pengguna akhir yang terdapat di kebanyakan negara, terutamanya di Eropah, Asia Timur Laut dan Amerika Syarikat telah menyatakan minat terhadap sarung tangan tersebut.

NanoMalaysia Bhd ialah syarikat dengan jaminan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertindak sebagai sebuah entiti perniagaan yang diamanahkan dengan aktiviti pengkomersialan teknologi nano dan perindustrian melalui model pembina teroka yang telah melabur RM1 juta dalam projek itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata antara matlamat Malaysia ialah menambah nilai kepada sektor tradisional termasuk komoditi pertanian.

“Sarung tangan ini akan dapat mencapainya. Pertama, lateks pekat adalah bahan mentah utama yang digunakan dalam sarung tangan ini, yang memberi manfaat kepada pengeluar getah asli. Kedua, peluang perniagaan rantaian bekalan graphene yang baharu akan wujud di sini.

“Penting untuk menyetempatkan sumber graphene, yang dapat dimanfaatkan secara mampan daripada biogas dalam industri minyak sawit. Sinergi antara dua sektor berasaskan komoditi Malaysia mewujudkan prospek pelaburan yang menarik kepada pelabur tempatan dan asing,” katanya.

Sumber: Bernama

NanoMalaysia, Bonric bangunkan sarung tangan getah ESD


Content Type:

Duration:

Walaupun Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi, menangani pandemik COVID-19 dan melindungi golongan rentan harus menjadi keutamaan negara dalam tempoh yang terdekat ini.

Ahli ekonomi kanan Kumpulan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin berkata ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 6.7 peratus pada tahun 2021 disebabkan pemulihan daripada asas yang rendah pada 2020, peningkatan eksport yang berterusan serta peningkatan momentum secara beransur-ansur dalam perbelanjaan dan pelaburan swasta.

“Namun, apa yang paling penting adalah mencegah pandemik ini dan melindungi golongan rentan dalam tempoh jangka pendek, sementara bagi jangka panjang, dasar fiskal harus menumpukan perhatian kepada bagi melakukan persediaan untuk mengatasi kejutan pada masa depan dan meneruskan pembiayaan awam,” katanya dalam rancangan Mid-Day Update di Bernama TV, hari ini. 

Shakira Teh berkata demikian bagi mengulas laporan yang dikeluarkan baru-baru ini, “World Bank Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds” yang menekankan bahawa pembendungan wabak COVID-19 itu penting bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dimulakan semula dengan selamat dan bagi mencegah kemelesetan ekonomi pada masa depan.

Menurut laporan itu, ia juga termasuk sekatanan perjalanan di kawasan berisiko tinggi, melakukan pengujian pada skala besar dan pengesanan kontak untuk mencegah penyebaran virus tersebut, selain daripada peruntukan dana tambahan di sektor penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan kesihatan domestik dan perkhidmatan kecemasan yang meningkat serta memudahkan pengedaran vaksin COVID-19 apabila ia tersedia.

Laporan tersebut menumpukan kepada kepada potensi segmen pertanian dalam meningkatkan status ekonomi Malaysia.

“Secara khusus, agro makanan harus diberi perhatian kerana pada tempoh awal penularan COVID-19 ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, wujud kebimbangan mengenai keselamatan makanan.

“Selain itu, data menunjukkan bahawa sebahagian besar golongan B40 terlibat dalam sektor pertanian, oleh itu mengatasi cabaran dan meningkatkan sektor ini akan memberi kesan limpahan positif kepada Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Sumber: Bernama

Membendung COVID-19 harus menjadi keutamaan Malaysia – Bank Dunia


Content Type:

Duration:

Mah Sing Group Bhd telah memperoleh kelulusan 99.996 peratus pemegang sahamnya berhubung cadangan pempelbagaian perniagaan meliputi pengeluaran sarung tangan dan perdagangan serta produk-produk perjagaan kesihatan berkaitan, menerusi Mah Sing Healthcare Sdn Bhd.

Menurut syarikat itu, enam kemudahan pengeluaran di kilang sarung tangan pertama Mah Sing di Kapar, Klang di Selangor, akan beroperasi pada suku kedua 2021 sepertimana yang telah dirancangkan.

Ini akan disusuli dengan enam lagi barisan pengeluaran yang dijangka siap pada suku ketiga dengan kapasiti maksimum sehingga 3.68 bilion helai sarung tangan setahun.

“Mah Sing juga berkemungkinan akan menceburi usaha penghasilan produk penjagaan kesihatan berkaitan seperti peralatan perlindungan diri, produk dan perkhidmatan perubatan dan farmaseutikal serta aktiviti huluan dan hiliran berkaitan jika terdapat permintaan terhadapnya,” kata syarikat itu dalam kenyataan selepas mesyuarat agung luar biasa secara maya di sini, hari ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum berkata cadangan pempelbagaian yang menyasarkan pasaran global itu dijangka dapat meningkatkan bahagian pengeluaran sedia ada.

Pada masa sama, ini juga dapat meninjau kemungkinan penyenaraian di Hong Kong dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menambah nilainya di masa depan.

“Cadangan pempelbagaian itu sememangnya baik dalam usaha melengkapi teras perniagaan pembangunan hartanah sedia ada yang menumpukan pasaran domestik,” katanya.

Setakat 30 Sept, 2020, beliau berkata Mah Sing berjaya mencapai jualan hartanah kira-kira RM847.1 juta dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1.1 bilion pada tahun ini.

“Projek-projek hartanah yang dilancarkan oleh Mah Sing juga mendapat sambutan seperti Carya @ M Aruna mencatatkan 90 peratus kadar pembelian sewaktu dilancarkan pada hujung minggu manakala Acacia 2 di Meridian Timur, Johor mencapai lebih 80 peratus pada pelancaran awal bulan ini.

“Seiring dengan sokongan lembaran imbangan yang stabil, kami akan terus meninjau kawasan tanah simpanan yang bersesuaian bagi pembangunan produk mampu milik yang akan melonjakkan lagi pertumbuhan di masa depan,” katanya ketika mengulas prospek bagi 2021.

Beliau berkata, keyakinan terhadap pasaran hartanah itu juga kian pulih dengan jangkaan keadaan ekonomi yang lebih cerah pada tahun depan, didorong oleh pelaksanaan pelbagai langkah kerajaan yang mesra hartanah.

Sumber: Bernama

Mah Sing dapat kelulusan pengeluaran sarung tangan, penjagaan kesihatan


Content Type:

Duration:

Key Alliance Group Bhd merancang untuk memperoleh 30 peratus kepentingan dalam pembekal peranti perubatan tempatan, Tree Med Sdn Bhd pada harga RM14 juta.

Pengarah Urusan Key Alliance, Roy Ho dalam satu kenyataan hari ini berkata apabila selesai kelak, pengambilalihan itu akan meletakkan kumpulan sebagai peneraju lengkap dalam pasaran pembekal perubatan membabitkan diagnostik in-vitro termasuk membuka peluang kepadanya bagi menyertai jualan vaksin dan produk makmal pada masa hadapan. 

“Skop kami tidak akan terhad kepada vaksin COVID-19 sahaja tetapi merangkumi vaksinasi influenza yang dibuat secara tahunan,” katanya lagi. 

Tree Med mempunyai semua lesen yang berkaitan seperti lesen Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Syarikat itu juga berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta kini membekalkan mesin ujian “Polymerase Chain Reaction” (PCR), bahan pakai buang dan reagen kepada KKM. 

Selain itu, Tree Med juga membekalkan kit ujian antigen dan PCR kepada KKM, serta kepada badan-badan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial, Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan termasuk 500 klinik swasta, hospital swasta dan makmal swasta di seluruh Malaysia.

Tree Med juga menyediakan produk dan perkhidmatan membabitkan plasma darah, kit ujian denggi dan HIV kepada pelanggan yang sama di seluruh Malaysia. 

Dengan perjanjian ini, Key Alliance secara automatik akan dapat membekalkan kit RT PCR CareGene melalui rangkaian Tree Med untuk disediakan kepada KKM dan agensi kerajaan yang lain, serta klinik dan makmal perubatan sektor swasta.

Kumpulan juga akan berada pada kedudukan yang baik bagi meneroka pembekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 memandangkan Tree Med memiliki lesen farmaseutikal yang membolehkannya mengimport serta mengedarkan vaksin.

Menurut Key Alliance lagi, ia sedang dalam perbincangan dengan pelbagai pengeluar dan berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi pengedar tempatan bagi agihan ke klinik, hospital swasta dan awam serta agensi kerajaan. 

Kumpulan itu juga berada dalam perbincangan dengan Tree Med untuk melihat kemungkinan pengeluaran produk dan perkhidmatan tertentu dalam industri perubatan bagi menurunkan kos ujian COVID-19, termasuk produk hematologi dan bahan pakai buang yang lain, yang berkaitan dengan bidang diagnostik in-vitro.

Sumber: Bernama

Key Alliance rancang peroleh 30 peratus kepentingan dalam Tree Med


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus membangunkan ekosistem yang membolehkan perniagaan berkembang maju dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata tanpa menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk dasar mementingkan dalaman dan berfikiran sempit, kerajaan sebaliknya akan terus mengamalkan dasar yang memastikan keadaan pasaran menggalakkan untuk eksport Malaysia.

“Benar, sebagai negara membangun yang mempunyai hubungan global yang kukuh, Malaysia amat yakin terhadap perdagangan dan pelaburan yang bebas, saksama dan terbuka.

“Sebagai perdana menteri, saya mahu memanfaatkan peluang ini untuk menawarkan jaminan sepenuh hati saya bahawa Malaysia telah, sedang dan akan sentiasa menjadi negara yang menyokong perniagaan, properdagangan dan propelaburan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Ekonomi Cina Dunia secara maya hari ini.

Beliau berkata berlandaskan kaedah dasar yang betul, langkah pencegahan disasarkan dan idea perkongsian awam-swasta baharu yang jarang berlaku, Malaysia boleh berjaya memerangi pandemik ini dan segera mengatasi kesan krisis ekonomi yang timbul.

“Oleh itu, kita perlu meneroka segala peluang dalam ruang ini, supaya dapat mengupayakan kita dengan pantas bagi menetapkan sistem yang membolehkan kita mencapai keseimbangan di antara keutamaan kesihatan dengan keperluan ekonomi,” katanya.

Muhyiddin berkata dalam usaha bersama ke arah keseimbangan yang sukar dicapai ini, amat penting untuk kerajaan di seluruh dunia terus kekal mendukung falsafah dan peraturan asas yang mentadbir urus perdagangan antarabangsa, seterusnya memberikan kepastian dan boleh jangka untuk perniagaan.

Beliau berkata ia kemudiannya menekankan bahawa dasar perlindungan dan unilateralisme mesti ditangani, membenarkan aliran barangan dan perkhidmatan rentas sempadan tanpa sekatan di samping memastikan gangguan terhadap rantaian bekalan serantau dan global adalah minimum.

Perdana menteri berkata menyedari China sebagai penyokong utama sistem perdagangan pelbagai hala, menjadi negara yang amat mempengaruhi negara-negara lain untuk bertindak rasional dan sederhana sepanjang krisis COVID-19, menggesa negara-negara lain untuk memastikan langkah kecemasan yang diperkenalkan bagi mengurangkan risiko berkaitan pandemik tidak menjejaskan aliran perdagangan dan pelaburan secara tidak seimbang.

“Sememangnya pandangan vokal China bahawa kita tidak seharusnya menjadikan COVID-19 sebagai alasan untuk dasar mementingkan dalaman dan berfikiran sempit adalah amat senada dengan Malaysia,” katanya.

Muhyiddin turut berkongsi usaha kerajaan menerusi beberapa langkah dan pakej rangsangan ekonomi untuk mengekalkan operasi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro di Malaysia, selain demi kelangsungan usahawan baharu dalam merangka tindak balas terhadap krisis COVID-19.

Ia termasuk pakej tambahan bernilai RM10 bilion yang menekankan lagi tumpuan kerajaan dalam mengurangkan kesan COVID-19 ke atas PKS dan perusahaan mikro melalui pelbagai langkah khusus dan insentif meliputi program subsidi upah yang ditambah baik; bantuan kewangan melalui geran dan skim kredit mikro serta pengurangan cukai bersyarat, katanya.

Beliau berkata sebagai tambahan, Belanjawan 2021 yang baru saja diumumkan juga telah memperuntukkan tambahan pembiayaan kredit mikro sebanyak RM1.2 bilion, yang akan disediakan melalui beberapa institusi kewangan yang telah dikenal pasti.

Jumlah berkenaan merangkumi RM110 juta di bawah Kemudahan Perusahaan Mikro oleh Bank Negara Malaysia, yang bertujuan menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan warga kerja gig dan mereka yang bekerja sendiri, katanya.

Mengenai trend aktiviti ekonomi baharu itu, perdana menteri berkata krisis COVID-19 yang tidak disangka-sangka itu telah menjadi pendorong bagi inovasi, digitalisasi dan penerimagunaan teknologi.

Muhyiddin berkata beliau juga menyedari permintaan dalam e-pasaran semakin meningkat serta aktiviti dalam sistem e-perbankan, e-dompet dan perkhidmatan logistik lengkap turut rancak.

“Sesungguhnya, ini semua membuktikan perubahan besar dalam DNA perniagaan kita.

“Model teras dan format tradisional mereka terus berkembang kukuh, dan kerajaan perlu bertindak balas terhadap perubahan ini dengan secukupnya, sewajarnya dan secara bijak,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan giat pastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan menarik – Muhyiddin


Content Type:

Duration:

Pemulihan ekonomi negara dapat diukur melalui empat indikator utama ketika ini iaitu sektor peruncitan, penginapan hotel, harga minyak sawit mentah dan harga getah SMR 20, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kesemua indikator itu menjadi penanda aras pemulihan ekonomi negara bagi tahun depan dengan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus.

“Sektor peruncitan mula menunjukan pemulihan secara beransur-ansur manakala kadar penginapan hotel di seluruh negara meningkat kepada 24.3 peratus selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan dan aktiviti rentas negeri dibenarkan.

“Ketiga, harga minyak sawit mentah kembali mencecah pada paras melebihi RM3,000 (RM3,422) per tan pada November lepas dan keempat, harga getah SMR 20 meningkat kepada paras tertinggi kepada RM6.33 sekilogram pada November lepas,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Teo Eng Tee pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Teo meminta penjelasan mengenai indikator utama dalam memacu pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Arthur, kesan negatif pandemik COVID-19 ke atas pertumbuhan ekonomi negara sepanjang tahun ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih pada tahun depan.

Mengenai usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang, beliau berkata penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kini berada pada peringkat akhir.

“Strategi yang akan dilaksanakan dalam RMK-12 mengambil kira pelbagai usaha pemulihan dan pemacuan semula ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selain menangani isu struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan lebih inklusif serta mapan,” kata Arthur.

Beliau percaya kesemua strategi dan langkah yang diambil kerajaan bukan sahaja mampu memulihkan ekonomi negara malah dapat memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Sumber: Bernama

Empat indikator pemulihan ekonomi negara


Content Type:

Duration:

Perdagangan maritim global dijangka merosot 4.1 peratus tahun ini susulan krisis kesihatan pandemik COVID-19 yang bukan hanya menjejaskan rantaian bekalan malah rangkaian perkapalan dan pelabuhan, sekali gus mengakibatkan penyusutan jumlah kargo.

Industri maritim turut bergelut dalam menangani impak tidak langsung daripada dasar perlindungan perdagangan dan kendiri yang semakin meluas, menurut Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) menerusi laporan bulan lepas.

Di peringkat tempatan, pengendali pelabuhan Malaysia, Westport Holdings Bhd menjelaskan jumlah kontena berkurangan empat peratus bagi sembilan bulan pertama 2020 berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ia mengendalikan jumlah kontena yang lebih rendah iaitu sebanyak 7.73 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) selama sembilan bulan pertama 2020 kerana jumlah kontena dan permintaan terjejas ekoran pelbagai bentuk sekatan pergerakan yang dikenakan di seluruh dunia untuk mengekang penularan COVID-19.

Menurut Persatuan Pengusaha-pengusaha Perkapalan Malaysia (SAM), jumlah kontena yang dikendalikan bagi 2020 dijangka berkurangan sebanyak 15 peratus daripada 25 juta TEU pada 2019 berikutan aktiviti pemindahan ke kapal dan jumlah kontena yang lebih rendah, disebabkan gangguan dalam rantaian bekalan.

Sektor maritim Malaysia juga menyaksikan perdebatan hangat mengenai dasar kabotaj di Parlimen pada akhir November, yang membawa kepada perubahan dasar Malaysia dan menimbulkan sedikit keyakinan industri.

Pada 24 Nov, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat semasa menggulung perbahasan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mengenai keputusannya untuk memansuhkan pengecualian dasar kabotaj sekali gus membolehkan kapal-kapal berdaftar dengan undang-undang maritim negara asing menjalankan kerja baik pulih kabel dasar laut di perairan Malaysia.

Pemansuhan yang dicadangkan itu mendorong bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, yang memberikan pengecualian itu sebelum ini, bangkit bertanyakan rasional Wee dalam memutuskan perkara itu.

Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang dan syarikat teknologi utama juga mempersoalkan pendirian kerajaan dalam mengalu-alukan pelaburan daripada syarikat antarabangsa serta aspirasi Malaysia sebagai hab pusat data.

Bagaimanapun, Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia; Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Sokongan Minyak Malaysia (MOSVA) dan Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) menyambut baik keputusan membatalkan pengecualian dasar kabotaj tersebut.

Mereka berpendapat sudah sampai masanya syarikat Malaysia diberikan peluang dan dipertimbangkan sebelum kementerian menawarkan tender bagi sebarang kerja-kerja berkaitan kepada syarikat asing.

Presiden MOSVA, Mohamed Safwan Othman berkata persatuan itu menyokong keputusan kerajaan dan menekankan lebih banyak langkah seharusnya diambil untuk menggiatkan kembali dan melindungi ekonomi tempatan yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata negara-negara lain juga mengambil langkah yang sama, dengan Amerika Syarikat, Brazil dan bahkan Indonesia mempunyai dasar kabotaj yang lebih ketat berbanding Malaysia.

Selain kabotaj, wujud isu lain yang lebih mendesak, dengan banyak syarikat yang sebenarnya bukan syarikat Malaysia tetapi beroperasi di negara ini, katanya.

“Syarikat ini menggunakan proksi untuk menjadikan kapal dan syarikat mereka seolah-olah milik tempatan tetapi sebenarnya adalah milikan asing, terutama jiran selatan kita,” katanya.

Ahli MOSVA memiliki kira-kira 300 kapal. Terdapat penambahan sekitar 100 kapal di perairan Malaysia yang dimiliki oleh bukan ahli MOSVA termasuk milik syarikat pseudo-Malaysia.

“Ini bermakna nilai sewa carter adalah kira-kira RM1 bilion setiap tahun dan ini sebenarnya merugikan ekonomi kita kerana banyak wang akan mengalir keluar dari negara ini.

“Susulan kontroversi mengenai kapal pemasangan kabel milik asing yang bekerja di perairan Malaysia baru-baru ini sudah sampai masanya dasar kabotaj dikuatkuasakan dengan ketat dan amalan ini dipraktikkan, jika sebaliknya, imbangan pembayaran akan semakin buruk,” katanya.

Beliau menjelaskan segmen kapal sokongan minyak (OSV) di Malaysia mengalami prestasi sangat teruk ekoran harga minyak mentah yang rendah selain peningkatan kes pandemik COVID-19, dengan beberapa kelewatan operasi dan pembatalan projek.

Kebanyakan kontrak yang menyokong pengeluaran masih seperti biasa dan tiada rundingan semula yang penting bagi kontrak-kontrak dari firma utama termasuk Petronas manakala jumlah projek, termasuk penggerudian, turut ditangguhkan, katanya.

Berikutan gangguan yang melanda itu, kira-kira 30 peratus kumpulan kapal milik ahli MOSVA tidak beroperasi untuk memberi perkhidmatan.

Industri maritim juga tidak dipinggirkan dalam Belanjawan 2021 apabila sejumlah RM3.7 bilion disediakan di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik yang dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2023 bagi menghidupkan dan mencergaskan kembali industri perkapalan.

“Ia tepat pada masanya. Ahli MOSVA pasti akan berusaha menggunakan dana ini yang akan diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan kami telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan BPMB mengenai hal ini,” katanya.

Industri pembuatan kapal dan pembaikan kapal Malaysia juga masih belum pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia malah pandemik COVID-19 memburukkan lagi kelembapan itu yang mengakibatkan projek-projek besar dikecilkan khususnya dalam sektor huluan, menurut Pemangku Presiden AMIM, Soo Jee Main.

Kesan penuh COVID-19 ke atas industri ini akan dapat dilihat selain impak tidak langsung terhadap sektor pembuatan kapal dan pembaikan, malah negara-negara tertentu turut memperketatkan dasar kabotaj masing-masing, ujarnya.

Langkah kerajaan menyediakan dana di bawah Skim Pembangunan Maritim dan Logistik juga sesuatu yang menggembirakan industri, namun dasar berkaitan untuk menyokong industri limbungan kapal tempatan juga perlu dikaji semula.

“Pelancaran semula dana itu tanpa memperincikan bahawa perlu digunakan untuk membiayai kapal yang dibina/dibuat oleh limbungan Malaysia ini sebaliknya tidak akan membantu ekonomi Malaysia dan industri pembuatan kapal tempatan jika pemilik kapal membeli kapal yang dibiayai ini dari negara luar.

“Sekiranya dana bersubsidi ini digunakan oleh pemilik kapal untuk membina kapal mereka di Malaysia, maka sumbangan terhadap ekonomi tempatan akan menjadi amat besar dan limpahannya akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar serta Pendapatan Negara Kasar,” ujarnya.

Soo berpandangan seandainya pemilik kapal membeli kapal daripada pembuatan luar negara, maka tiada sumbangan kepada ekonomi Malaysia malah aliran keluar pertukaran asing juga berlaku.

Justeru, AMIM telah berbincang dengan BPMB isu terbabit ketika pertama kali dana itu diperkenalkan namun malangnya, pihak bank itu memaklumkan tiada terma daripada pihak Kementerian Kewangan bagi pembinaan kapal di Malaysia.

Sekali gus, mengakibatkan semua dana bersubsidi itu digunakan untuk membeli kapal luar negara, khususnya dari China susulan BPMB tidak menganggapnya sebagai mandat untuk menyokong industri pembuatan kapal domestik, katanya.

Meskipun mengharungi badai yang begitu besar sepanjang 2020 namun prospek industri maritim menjelangnya 2021 tetap baik ditambah dengan pelbagai laporan kejayaan penemuan vaksin COVID-19.

Sebagai penggiat dalam industri ini, Mohamed Safwan menjangkakan tender besar bagi kapal baharu untuk Petronas akan dikeluarkan pada suku pertama 2021.

Selain itu harga minyak yang berada dalam aliran agak konsisten di atas paras US$45 (US$4.06=RM1) sejak beberapa bulan lepas juga menunjukkan petanda yang amat menggalakkan dan industri bersedia bagi peningkatan aktiviti dalam segmen ini tahun depan, ujarnya.

Unjuran Mohamed Safwan turut seiring dengan prospek yang diletakkan UNCTAD iaitu perdagangan maritim akan berkembang dan seterusnya kembali ke dalam gerbang positif untuk meningkat 4.8 peratus berasaskan pemulihan keluaran ekonomi dunia.

Industri maritim seharusnya berani melayari perubahan dan menyesuai dengan masa kini di samping memastikan semua peserta bersedia sebelum menyusuri era pasca-pandemik-COVID-19, menurut pandangan UNCTAD.

Organisasi yang dianggotai oleh 195 negara itu juga berpendapat memandangkan perbincangan mengenai pemulihan terus berkembang, ia semakin jelas bahawa gangguan disebabkan pandemik akan memberi kesan berpanjangan ke atas sektor perkapalan dan perdagangan.

Gangguan tersebut mungkin mendorong perubahan ketara dalam landskap operasi keseluruhan, selain peningkatan kemampanan dan pembangunan daya tahan yang amat penting, menurutnya.

Source: Bernama

Pandemik, kabotaj, firma pseudo-Malaysia & dana antara gelora diharungi industri maritim


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sabah bercadang mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa untuk merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri pada masa depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata cadangan itu telah dikemukakan dan dibincangkan bersama Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor bagi membolehkan ia direalisasikan sebagai antara kaedah proaktif dalam mempermudahkan urusan pelaburan di Sabah.

Bung Moktar juga optimis pusat sehenti itu dapat mengurangkan karenah birokrasi yang melambatkan urusan mahupun aktiviti pelaburan yang ingin dijalankan di negeri ini.

“Sudah tentu apabila ada pelabur, kita harus mencari pendekatan untuk mempermudahkan urusan pelaburan mereka. Justeru, ketua menteri bersetuju untuk mewujudkan pusat sehenti berkenaan bagi memudahkan para pelabur.

“Pada Januari ini, ada 10 pelabur akan datang ke Sabah untuk membentangkan kertas kerja mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah empat agensi kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, satu pelan tindakan akan dibentangkan kepada Kabinet negeri berhubung hala tuju pembangunan sektor pelabuhan Sabah lebih mampan dengan menerapkan sistem lebih efisien.

Beliau berkata pelan tindakan itu penting bagi mengoptimumkan keupayaan kesemua pelabuhan di Sabah.

Ini memandangkan hanya 50 hingga 60 peratus sahaja daripada kapasiti pelabuhan terbabit dimanfaatkan sedangkan kedudukan Sabah begitu strategik kerana berhampiran dengan China, Filipina, Indonesia dan Brunei, katanya.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah bagi mengemukakan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.

“Kita di Sabah ada lapan pelabuhan. Bukan kita tidak berpuas hati dengan prestasi pelabuhan yang ada ini, tetapi, ia dilihat tidak begitu menarik perhatian seluruh dunia. Selaku menteri bertanggungjawab, saya tidak berdiam diri.

“Kita akan naik taraf beberapa pelabuhan di Sabah sebagai pelabuhan antarabangsa yang menjadi tarikan peniaga dan usahawan seluruh negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Sabah cadang wujud pusat sehenti berkaitan pelaburan


Content Type:

Duration:

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) membantu mewujudkan kerjasama antara Panasonic Appliances Air-conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY) dan Universiti Malaya (UM) untuk membentuk kerjasama akademik dan industri.

Kedua-dua pihak itu hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan akan mewujudkan rangka kerja yang kukuh untuk kerjasama strategik bagi projek penyelidikan Sarjana dan PhD, latihan perindustrian dan penempatan pekerjaan serta penyelidikan antara profesor, penyelidik UM dan PAPAMY.

Skop tumpuan segera untuk kerjasama itu adalah dalam bidang peningkatan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), khususnya dalam bidang pembuatan dan kecemerlangan kejuruteraan, katanya dalam kenyataan bersama.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II MIDA Ahmad Khairuddin Abdul Rahim, yang menyaksikan majlis pemeteraian itu, berkata kehadiran Panasonic di Malaysia menjadi contoh kepada bagaimana perniagaan dan teknologi berkembang berikutan syarikat itu terus melakukan penyesuaian yang diperlukan untuk melatih semula tenaga kerjanya dan beralih kepada automasi dan robotik.

“Walaupun banyak syarikat tidak bersedia untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk latihan dalam tempoh mencabar ini, PAPAMY telah memilih untuk memulakan kerjasama industri-akademik dengan universiti tempatan yang bereputasi, UM, yang mahu meningkatkan tenaga kerja kami dengan kemahiran digital yang relevan, daya tahan dan daya maju untuk menghadapi cabaran daripada iklim ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

MIDA berharap MoU tersebut yang memanfaatkan kepakaran di PAPAMY dan UM akan memainkan peranan penting untuk membina kumpulan tenaga kerja yang sedia untuk industri dan dinamik pada masa depan.

Agensi promosi pelaburan itu berkata Malaysia yang kini ke arah era Industri 4.0 yang menuntut kepada keperluan yang semakin meningkat untuk gabungan pengetahuan teknikal, pemikiran kritis, kemampuan menyelesaikan masalah dan kemahiran insaniah, tenaga kerja perlu maju dalam bidang pemacu teknologi Industri 4.0 seperti Internet of Things untuk memenuhi keperluan industri.

Sumber: Bernama

MIDA wujudkan kerjasama akademik-industri antara Panasonic, UM


Content Type:

Duration:

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong menggesa agar lebih banyak syarikat Malaysia dan China meningkatkan kerjasama dalam bidang berteknologi tinggi bagi mengukuhkan hubungan dagangan dua hala, pelaburan serta ekonomi.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata ini penting dalam usaha melonjakkan pemulihan ekonomi Malaysia berikutan impak pandemik COVID-19.

“Malaysia dan China boleh meningkatkan kerjasama dalam industri bernilai tinggi yang dapat memacu usaha negara untuk berganjak ke arah berintensifkan pengetahuan serta menjadi hab produk dan perkhidmatan mewah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada webinar bertajuk ‘Malaysia2China: Merebut Peluang Kebangkitan Teknologi China’ anjuran kementerian itu yang diadakan baru-baru ini.

Pada sesi itu, Lim turut menggalakkan syarikat-syarikat tempatan, terutama dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E) untuk meninjau peluang perniagaan yang tidak hanya membabitkan firma maju di bandar peringkat pertama China, tetapi juga syarikat perusahaan kecil dan sederhana di bandar peringkat kedua dan ketiga yang merupakan hab berteknologi tinggi.

Lim juga menyifatkan industri E&E Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan ekonomi negara selain menjana pertumbuhan semula akibat pandemik itu.

“Landskap E&E Malaysia stabil dengan permintaan kukuh membabitkan keupayaan pembuatan pintar, automasi dan inovasi teknologi.

“Peningkatan permintaan ini pastinya dapat menjadi pemangkin bagi menyokong dasar kerajaan untuk melonjakkan pelaksanaan teknologi-teknologi Industri 4.0,” katanya.

Menurut Lim, bagi tempoh 10 bulan pertama 2020, jumlah dagangan E&E Malaysia menokok sebanyak satu peratus kepada RM522.7 bilion berbanding tempoh sama 2019 walaupun dalam persekitaran tidak menentu akibat COVID-19.

Source: Bernama

Syarikat Malaysia digesa manfaatkan peluang kebangkitan teknologi China


Content Type:

Duration:

Perubahan politik di Malaysia tidak memberi impak terhadap perdagangan dua hala berikutan negara ini mempunyai dasar konsisten yang mesra perniagaan dan pelaburan.

Pengarah Kanan Bahagian Perdagangan dan Ekonomi Dua Hala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Nor Hasnah Badroddin berkata ini berbeza kerana lazimnya perubahan politik boleh memberi kesan ketara terhadap dasar perdagangan dan ekonomi selain turut mempengaruhi senario perniagaan.

“Malaysia merupakan sebuah negara dagangan yang mana perdagangan antarabangsa ini berperanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Oleh itu, sejak lebih dua setengah tahun ini, kita telah menyaksikan perubahan kerajaan namun dasar-dasar kita kekal sama iaitu mesra perniagaan selain terus mewujudkan ekosistem bagi memupuk perniagaan yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program dialog awam Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan (MALPAK) secara maya, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Nor Hasnah berkata Malaysia juga telah melaksanakan strategi seperti pertumbuhan dan pembangunan negara, meningkatkan pertumbuhan eksport, memastikan ekonomi kekal terbuka, mengembangkan perjanjian perdagangan serta meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan.

“Strategi sedemikian akan membolehkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang produktif, inovatif serta berdaya saing terutamanya bagi tujuan perdagangan dua hala,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MALPAK Datuk Seri Mohamed Nazir Meraslam berkata pihaknya optimis terhadap pertumbuhan perdagangan dan pelaburan dua hala membabitkan Malaysia dan Pakistan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya, MALPAK juga telah meminta supaya kedua-dua kerajaan meningkatkan kesedaran mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) menerusi penganjuran program seperti bengkel.

Pada masa sama, semakan MPCEPA dari semasa ke semasa juga wajar selain turut dijadikan sebagai platform untuk melaksanakan langkah praktikal bagi mempermudah dan mengembangkan perniagaan, perdagangan dan pelaburan dua hala.

“MALPAK juga telah meminta supaya wakil Pakistan mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai peluang dan insentif di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan,” katanya.

Majlis perniagaan itu telah dimanfaatkan dari segi meneroka dan menceburi lebih banyak peluang perniagaan antara kedua-dua negara serta turut berhubung rapat dengan agensi-agensi kerajaan di Malaysia dan Pakistan bagi kemudahan peluang perdagangan dan pelaburan.

Bagi kemajuan masa depan, Mohamed Nazir berkata MALPAK akan terus meningkatkan inisiatif pada 2020 dan berhasrat membawa satu delegasi perdagangan Malaysia ke Pakistan pada suku pertama 2021.

Sumber: Bernama

Perubahan politik tidak jejas dagangan Malaysia, miliki dasar konsisten — MITI


Content Type:

Duration:

Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mempunyai pelbagai manfaat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata ia mengukuhkan lagi integrasi ekonomi dan meningkatkan pemudahan di antara negara-negara ASEAN dengan rakan-rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

“Ini kerana negara-negara dalam RCEP masing-masing mempunyai kelebihan sendiri sama ada dari segi bahan mentah, kepakaran dan teknologi, sumber manusia yang mahir dan berkualiti atau pasaran yang besar,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang mengenai manfaat besar RCEP kepada sosioekonomi negara.

Lim berkata RCEP akan membuka akses pasaran yang lebih luas melalui penghapusan dan pengurangan tarif dan bukan tarif, piawaian dan peraturan teknikal yang standard serta kerjasama ekonomi.

“Ini akan memudah cara perdagangan rentas sempadan untuk produk keluaran tempatan.

“RCEP akan mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau melalui peraturan tempasal yang lebih mudah digunakan,” katanya.

Beliau berkata RCEP akan mengukuhkan integrasi syarikat-syarikat tempatan dalam rantaian nilai dan bekalan global untuk lebih berdaya saing di persada antarabangsa seterusnya menjadi syarikat bertaraf global.

RCEP akan memudahkan para peniaga Malaysia untuk memperoleh sumber bahan mentah yang akan digunakan dalam proses pembuatan, katanya.

Beliau berkata penyedia perkhidmatan tempatan termasuk e-dagang juga dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar dari segi penawaran rentas sempadan dan mewujudkan keberadaan komersial di pasaran RCEP.

Ini memandangkan RCEP merangkumi 2.2 bilion penduduk atau satu pertiga daripada penduduk dunia, katanya.

“Syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran RCEP dan menikmati keistimewaan tarif yang disediakan akan memilih untuk melabur di rantau RCEP, ini akan meningkatkan pelaburan langsung asing dan tempatan memandangkan negara kita ialah desitinasi pelaburan terpilih di rantau ini.

“Penyertaan RCEP juga dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca-COVID-19 menerusi pembukaan pasaran dan peningkatan pemudahan perdagangan antara negara-negara anggota RCEP,” katanya.

Sumber: Bernama

Penyertaan Malaysia dalam RCEP ada pelbagai manfaat


Content Type:

Duration:

Kerajaan sememangnya komited dalam usaha menggalakkan amalan pengambilan pekerja secara beretika serta mengikut standard antarabangsa bagi menyanggah dakwaan berlakunya buruh paksa yang menjejaskan reputasi Malaysia serta memberi impak negatif terhadap rangkaian rantaian bekalan industri.

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Norazman Ayob berkata kerajaan mengambil maklum serta turut bimbang dengan perintah sekatan oleh Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam (CBP) Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan wujudnya elemen buruh paksa membabitkan syarikat negara ini.

Menurutnya, impak langsung daripada tindakan sedemikian akan turut melibatkan keseluruhan industri dari segi risiko terhadap reputasi.

“Dalam usaha perniagaan mengurangkan kos atau menambah baik kualiti produk, apa yang turut penting adalah mengekalkan keyakinan pelanggan yang dimaklumkan mengenai amalan buruh tidak beretika atau di bawah standard minimum ditetapkan oleh syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian webinar bertajuk ‘Buruh Paksa : Perspektif United Kingdom, AS dan Australia’ di sini, hari ini.

Norazman berkata isu hak pekerja membabitkan Malaysia yang menjadi tajuk utama media tidak hanya memberi kesan terhadap operasi perniagaan industri di sini, tetapi juga di pasaran antarabangsa seperti AS dan Kesatuan Eropah.

“AS misalnya telah mengenakan Perintah Sekatan Pelepasan terhadap beberapa barangan dari Malaysia yang menyebabkan kerugian pendapatan selain menjejaskan reputasi syarikat-syarikat kita,” katanya.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh membabitkan aspek pengurusan serta menangani isu berkaitan hak pekerja, amalan serta dakwaan berlakunya buruh paksa.

Malah, katanya, Jabatan Tenaga Kerja telah memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan termasuk Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Dari sudut pelaburan, pihak pelabur institusi dan pengurus dana sememangnya mengingatkan syarikat-syarikat agar melaksanakan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi perniagaan atau operasi yang berkaitan dengan amalan pekerja yang baik,” katanya.

Beliau turut menggesa syarikat-syarikat tempatan agar mempraktikkan amalan tenaga kerja yang baik serta ESG tersebt bagi mengembangkan akses pasaran, mendapatkan pembiayaan selain membolehkan integrasi dalam rantaian bekalan serantau serta global.

Sumber: Bernama

Kerajaan komited galakkan amalan pengambilan pekerja secara beretika — MITI


Content Type:

Duration:

Syarikat pengkomputeran awan China, Alibaba Cloud menggesa lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggunakan pengkomputeran awan untuk seiring dengan kadar transformasi digital yang pesat.

Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence Malaysia Jordy Cao berkata terdapat PKS yang mungkin tidak memahami perkhidmatan awan, dan mereka akan memerlukan perkhidmatan plug-and-play atau perisian yang boleh disediakan oleh syarikat teknologi kewangan seperti Revenue Monster yang berpangkalan di Malaysia.

“Perkhidmatan awan tidak dapat dielakkan dan transformasi digital awan di Malaysia berlaku dengan pantas. 

“Kami (Alibaba Cloud dan Revenue Monster) menyediakan penyelesaian untuk membantu pelanggan dalam pelbagai peringkat dan keperluan untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan sewajarnya,” katanya pada sesi “Alibaba Cloud: Malaysia Media Roundtable: Accelerating Digital Transformation Through Intelligent Cloud” secara maya, hari ini.

Perkhidmatan awan merujuk kepada pelbagai perkhidmatan yang diberikan berdasarkan permintaan kepada syarikat dan pelanggan melalui Internet.

Perkhidmatan ini dibangunkan untuk memberikan akses yang mudah dan mampu milik kepada aplikasi dan sumber, tanpa memerlukan infrastruktur atau perkakasan dalaman.

Ditanya sama ada kekurangan dana telah menyebabkan kelewatan dalam penggunaan perkhidmatan awan, Cao berkata walaupun tanpa awan, PKS masih memerlukan sistem untuk menguruskan kos pekerja, penyelenggaraan dan utiliti, yang perlu dijalankan serentak dan dengan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun, apabila mereka memilih untuk menggunakan perkhidmatan awan, mereka boleh membelanjakannya secara berperingkat, berdasarkan keperluan mereka dan pertumbuhan perniagaan mereka, dan menyesuaikannya dengan mudah apabila perniagaan tidak menentu.

“Alibaba komited untuk membawakan penyelesaian yang menjimatkan kos dalam pasaran, bukan hanya di Malaysia, tetapi di peringkat global.

“Kami menyediakan pakej yang berbeza di laman web kami pada setiap bulan atau musim, dan pakej promosi seperti server percuma, pangkalan data percuma, penyimpanan percuma dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Revenue Monster Amanda Chin berkata dengan Alibaba Cloud, PKS akan dapat memberi lebih tumpuan kepada hala tuju dan strategi perniagaan mereka.

“PKS tidak perlu bimbang untuk mengekalkan infrastruktur berikutan ia akan disokong oleh penyedia perkhidmatan awan seperti Alibaba Cloud dan Revenue Monster. 

“Setiap PKS perlu menggunakan teknologi awan. Bagi syarikat yang tidak mempunyai pasukan Teknologi Maklumat (IT) yang kuat, mereka boleh bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet tempatan seperti kami untuk membantu menyelesaikan masalah dan cabaran IT,” katanya. 

Pada Festival Beli-Belah Global 11.11 baru-baru ini, Alibaba Cloud memberikan sokongan yang membolehkan 583,000 urus niaga serentak sesaat.

Teknologi teras baharu yang disediakan oleh Alibaba Cloud menyokong acara itu yang menjana US$74.1 bilion (US$1=RM4.04) dari segi nilai dagangan kasar (GMV).

Ini termasuk penggunaan teknologi awan, pusat data skala besar, robot pintar generasi ketiga dan terjemahan kecerdasan buatan (AI) penstriman langsung. 

Sumber: Bernama

Alibaba Cloud gesa PKS guna pengkomputeran awan bagi kembangkan perniagaan


Content Type:

Duration:

VentureTECH, sebuah subsidiari milik penuh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), telah mengumumkan kemasukannya dalam industri bandar pintar melalui pemeteraian perjanjian pelaburan RM10 juta dengan Kiwitech Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan aplikasi pengawasan bandar berasaskan Internet Pelbagai Perkara (IoT).

Syarikat itu dalam satu kenyataan Selasa berkata menerusi transaksi ini, ia akan dapat memanfaatkan pasaran bandar pintar global yang semakin berkembang dan dijangka mencecah US$717.2 bilion (US$1=RM4.05) menjelang 2023. 

Didorong oleh kesedaran yang semakin meningkat mengenai “segala-galanya pintar”, konsep bandar pintar telah mendapat perhatian susulan daripada penggunaan teknologi perantara.

“Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang amat membangun di Asia Timur dan kawasan yang menikmati perkembangan perbandaran yang paling pesat di dunia, VentureTECH memuji inisiatif kerajaan untuk menggalakkan syarikat tempatan seperti Kiwitech memanfaatkan peluang besar yang dibentangkan oleh peningkatan penduduk bandar yang kini berkembang daripada kira-kira 66 peratus pada 2004 kepada 76.6 peratus pada 2019. 

“Jangkaan pertumbuhan perbandaran akan diperkukuhkan dengan aktiviti penghijrahan yang dipengaruhi oleh landskap ekonomi serta pekerjaan yang terus beralih daripada aktiviti berasaskan pertanian kepada peluang yang didorong oleh pertumbuhan dalam industri dan perkhidmatan,” katanya.

Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman berkata perbandaran malaysia yang pesat telah menyebabkan keperluan dan pelaksanaan bandar pintar diselaraskan dengan agenda nasional serta 11 Objektif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk mewujudkan bandar dan komuniti mampan seperti yang dikembangkan oleh MIGHT.   

“Pelaburan VentureTECH dalam Kiwitech bukan sahaja akan menyokong transformasi bandar-bandar Malaysia menjadi bandar pintar dengan cara perkongsian awam-swasta, tetapi juga bertujuan bagi mempercepatkan pelaksanaan aplikasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di peringkat platform, memanfaatkan bakat dan kepakaran Bumiputera serta tempatan yang mahir dalam tujuan meningkatkan platform digital bandar pintar semasa.

“Perbandaran pintar melibatkan pelaburan dalam modal insan dan sosial, infrastruktur termasuk teknologi pengganggu yang memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kualiti hidup yang tinggi dengan pengurusan yang boleh diterima melalui tadbir urus penyertaan,” katanya. 

Pada masa ini, Kiwitech berkhidmat dengan 28 daripada 52 PBT di Malaysia dan mempunyai tapak di tiga daripada lima bandar perintis yang dikenal pasti dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia.

Sejak penubuhannya, dan dengan penambahan Kiwitech, VentureTECH telah melabur serta komited membuat pelaburan dalam 23 peneraju industri teknologi dalam industri berasaskan bio yang sedang membangun serta mesra alam dengan agregat pelaburan bersih bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Sumber: Bernama

VentureTECH memeterai perjanjian pelaburan RM10 juta dengan Kiwitech


Content Type:

Duration:

Sarawak muncul negeri teratas di Malaysia yang menerima Pelaburan Langsung Asing (FDI) tertinggi dengan keseluruhan bernilai RM15.8 bilion untuk tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia berdasarkan laporan UOB Financial Research and Markets baru-baru ini yang meletakkan Sarawak di hadapan negeri-negeri lain di Malaysia dalam menarik pelabur asing.

Tegasnya, pencapaian tersebut adalah kerana negeri ini mempunyai kestabilan politik, saling hormat menghormati, mempunyai kerukunan serta dasar yang inklusif.

“Kita bersyukur kerana Sarawak begitu stabil, untuk tempoh sembilan bulan tahun ini kita telah menerima banyak pelaburan asing sekali gus akan memacu ekonomi negara ke hadapan.

“Keadaan positif ini tidak berlaku di peringkat Persekutuan pada ketika ini kerana masih ada pihak yang cuba mengganggu kerajaan pusat.

“Sayangnya negara menghadapi masalah besar kerana ada individu yang tidak putus-putus hendak menjadi Perdana Menteri (untuk menumbangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam upacara pecah tanah projek pembinaan Pusat Kebudayaan Orang Ulu di sini, hari ini.

Katanya dengan keadaan negara yang tidak stabil, sudah tentu tiada pihak yang berani dan hendak melabur modal.

“Inilah keadaan yang ada pada Sarawak dan terima kasih kepada pemimpin terdahulu yang telah meletakan asas kepada apa yang kita ada sekarang untuk terus memajukan negeri dan saya berasa sangat bangga dengan pencapaian kita setakat ini,” ujarnya.

Bercakap lanjut, Abang Johari menyeru masyarakat Orang Ulu untuk terus bersatu padu walaupun mereka kumpulan etnik minoriti di Sarawak.

“Apa yang penting adalah kualiti kepimpinan berbanding kuantiti kerana ia lebih memberi kesan dalam komuniti tersebut.

“Jadilah seperti Orang Ulu walaupun mereka adalah kumpulan etnik minoriti di Sarawak. Jadilah seperti penyapu lidi – hanya satu ia lemah, tetapi apabila banyak ia kuat,” katanya lagi.

Sumber: Bernama

Sarawak negeri terima pelaburan langsung asing terbanyak – Abang Johari


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan sebanyak RM10 bilion nilai pelaburan baharu di negeri itu pada tahun depan berbanding RM5 bilion pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran itu meningkat 100 peratus daripada pendapatan pelaburan tahun ini walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu susulan pandemik Covid-19.

“Kita sentiasa memberikan sasaran yang meningkat setiap masa. Anggaran tahun depan paling kurang RM10 bilion untuk pelaburan baharu. Walaupun dalam keadaan yang cukup getir ini, kita berharap dan yakin kalau kita berusaha, insya-ALLAH kita dapat.

“Sama juga pada tahun ini, kerajaan negeri tidak berharap untuk mendapat RM5 bilion tetapi setakat ini kita capai walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Harap tahun depan ada peluang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 merupakan usaha kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pelabur domestik dan luar negara datang melabur ke negeri itu.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, bagi mencapai nilai pelaburan baharu mencecah RM10 bilion pada tahun depan, kerajaan negeri menumpukan kepada tiga sektor pembangunan pelaburan.

“Sektor perindustrian kita tumpukan di Seremban dan Port Dickson iaitu di kawasan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dan di Jelebu pula kita bangunkan sektor biodiversiti dengan kita mengeksploitasi keindahan alam yang ada.

“Kerajaan negeri juga tidak mahu melupakan kawasan Rembau, Tampin, Jempol dan Kuala Pilah yang mahu dibangunkan sebagai wilayah agropolis iaitu jadikan sebagai kawasan ‘Dapur Lembah Kelang’.

“Ini bermakna kita mahu pastikan ada usaha-usaha pertanian yang berskala tinggi yang dapat bawa pulangan yang baik kepada usahawan-usahawan tani,” katanya.

Sumber: Bernama

Negeri Sembilan sasar pelaburan berjumlah RM10 bilion tahun depan


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi menjadi pemimpin dunia dalam teknologi kewangan Islam (fintech) kerana negara ini telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil dalam pelaburan dan aktiviti fintech, demikian menurut laporan yang disediakan bersama oleh Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan dua organisasi lain.

Laporan yang baharu dilancarkan berjudul “Islamic Fintech in Malaysia: Reality & Outlook” itu menyatakan Malaysia telah menjadi antara pasaran fintech yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan hampir 200 syarikat fintech tempatan dan asing beroperasi di negara ini setakat September 2020.

“Sebahagian besar aktiviti fintech Malaysia tertumpu dalam ruang dompet dan pembayaran dengan telefon mudah alih dan e-dagang telah menyaksikan permintaan sebenar daripada pengguna dan peniaga yang terabai.

“Trend ini turut disokong oleh agenda Bank Negara Malaysia untuk mempercepatkan peralihan negara ke pembayaran elektronik dan ini telah memantaskan langkah negara untuk merealisasikan penjimatan kos dan pelbagai faedah lain,” kata INCEIF dalam satu kenyataan hari ini.

INCEIF dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), menyediakan laporan yang meneroka landskap ekosistem fintech di Malaysia dan potensi negara untuk menjadi hab fintech Islam global.

“Persekitaran peraturan Malaysia yang mantap, landskap fintech yang komprehensif, komuniti kewangan Islam yang menyokong serta komitmen kerajaan untuk memperjuangkan ekonomi Islam telah membuka jalan bagi Malaysia untuk menjadi hab fintech Islam global.

“Dengan visi dan kelebihan sedemikian, syarikat permulaan fintech Islam di Malaysia dapat menjamin prospek pertumbuhan jangka panjang dengan meningkatkan perkhidmatan ekonomi Islam global merangkumi hampir 1.8 bilion orang seluruh dunia,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) INCEIF Prof Datuk Dr Mohd Azmi Omar berkata, fintech Islam berpotensi untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan lestari yang dapat memenuhi secara unik keperluan kewangan semua segmen masyarakat.

“Susulan kesukaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19, mengembangkan fintech Islam kini menjadi lebih penting daripada sebelumnya, khususnya dalam memenuhi keperluan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komuniti  B40,” ujar beliau.

Pengarah Eksekutif ISRA Prof Dr Mohamad Akram Laldin pula berkata walaupun fintech Islam masih dalam tahap awal kemajuannya, ia memiliki potensi pertumbuhan yang besar sekiranya ekosistem yang kondusif dicapai.

“Untuk itu, Malaysia mempunyai kelebihan besar dalam menerajui industri global fintech Islam dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai hab kewangan Islam dan memperhebatkan usahanya dalam penyelesaian kewangan berasaskan nilai dan lestari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata: “Hari ini, kita adalah antara pasaran fintech yang berkembang paling pesat di Asia Tenggara. Ini telah menyumbang kepada Malaysia untuk ditempatkan di kedudukan teratas ekonomi Islam oleh State of the Global Islamic Economy Report 2020/2021.

“Dengan semua pencapaian ini, berserta usaha agensi seperti kami (MDEC) dalam mengembangkan ekosistem, kami yakin Malaysia bersedia menjadi hab fintech Islam ASEAN, sekali gus memperkukuhkan lagi matlamat kami untuk meletakkan negara ini sebagai Pusat ASEAN Digital. ”

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi pemimpin global teknologi kewangan Islam


Content Type:

Duration:

SIRIM Bhd dan Hitachi Asia (M) Sdn Bhd bekerjasama bagi memperkenal serta penggunaan penyelesaian digital berteraskan Industri 4.0 untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri pembuatan.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, penyelesaian berkenaan juga akan dibuat khusus bagi menepati keperluan perusahaan moden serta berpatutan di Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menurutnya, pusat itu juga membolehkan PKS untuk meneliti, menimba pengetahuan dan memahami platform atau teknologi relevan serta kes penggunaan bagi melonjakkan PKS ke dalam era Industri 4.0.

“Oleh kerana pelaksanaan teknologi dalam industri pembuatan dan perkhidmatan masih rendah di Malaysia, SIRIM akan mengambil pendekatan bersesuaian bagi membantu industri berkenaan.

“PKS boleh mencapai Industri 4.0 menerusi sistem fizikal siber yang merangkumi digitalisasi, kesalinghubungan dan analisis,” katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SIRIM dan Hitachi secara maya di sini, semalam.

Majlis turut disaksikan Duta Besar Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka; Pengerusi Sirim, Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Pengarah Urusan Hitachi, Chew Huat Seng.

Menerusi MoU itu, Sirim akan memperkenalkan sistem pengurusan penyelenggaraan berkomputer selain penyelesaian analisis inventori kepada pengeluar PKS.

Satu penyelesaian kawalan kualiti rantaian bekalan digital akan turut diperkenalkan untuk pengeluar PKS berdasarkan teknologi dan ciri-ciri kepakaran berkaitan rantaian global Hitachi.

Sumber: Bernama

SIRIM, Hitachi bekerjasama tawar penyelesaian digital Industri 4.0 untuk PKS


Content Type:

Duration:

Syarikat tenaga boleh baharu Korea Selatan, Hanwha Energy Corp, pada Isnin berkata loji janakuasa tenaga solar 48-megawatt di Malaysia sudah mula beroperasi dan memulakan pengeluaran komersial, lapor agensi berita Yonhap.

Pada 2017, Hanwha Energy menerima surat lantikan projek bernilai US$400 juta daripada syarikat utiliti milik kerajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina loji itu di Perlis, tambahnya.

Di bawah projek itu, Hanwha Energy akan menyediakan sekitar 65,000 megawatt jam tenaga elektrik, cukup untuk kegunaan 15,000 isi rumah, bagi tempoh 21 tahun, kata syarikat itu. 

Sumber: Bernama

Loji tenaga solar Hanwha Energy di Malaysia mulakan operasi


Content Type:

Duration:

Jepun dan Malaysia bersedia mewujudkan hubungan ekonomi yang lebih kukuh pada masa depan, demikian menurut Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Beliau berkata Jepun adalah rakan perdagangan keempat terbesar bagi Malaysia pada tahun lepas dan sumber terbesar pelaburan langsung asing ke negara ini dengan menyumbang satu pertiga daripada jumlah pelaburan.

“Justeru, terdapat asas kukuh dalam hubungan perniagaan di antara Jepun dan Malaysia.

“Wujud prospek yang memberangsangkan bahawa hubungan baik ini akan lebih diperkukuhkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SIRIM Bhd dan Hitachi Asia (M) Sdn Bhd secara maya di sini, hari ini.

Mengenai unjuran, Oka berkata Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk menarik syarikat-syarikat asing termasuk dari Jepun untuk mengembangkan asas rantaian bekalan mereka ke negara ini.

Beliau berkata, rantaian bekalan perlu diperkuatkan susulan pandemik COVID-19, antaranya menerusi kepelbagaian pangkalan pengeluaran.

“Berbanding menumpukan kepada satu tempat, kita perlu mempelbagaikan pangkalan pengeluaran untuk menjadikan keseluruhan rantaian bekalan kurang terjejas disebabkan krisis luaran yang tidak dijangka,” katanya.

Sumber: Bernama

Jepun optimis prospek hubungan ekonomi yang lebih kukuh dengan Malaysia


Content Type:

Duration:

wpChatIcon