Prospek industri minyak dan gas pada tahun 2021 dijangka akan kekal mencabar disebabkan kemerosotan permintaan yang belum pernah terjadi sebelum ini akibat daripada pandemik COVID-19, ia telah memberi kesan kepada pasaran domestik dan global, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Petronas mengekalkan pandangannya itu walaupun harga minyak merosot dan ia akan terus mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, mendorong campur tangan dasar dan kerjasama global di seluruh industri.
“Walaupun gas tetap menjadi sumber bahan api yang penting dan bersih, kepelbagaian dalam tenaga boleh diperbaharui sangat diperlukan.
“Petronas telah mengambil langkah-langkah yang menunjukkan komitmen kukuh kami terhadap kemampanan dan kami juga menyedari mengenai peralihan tenaga global yang berlaku dengan pantas, ia dipertingkatkan oleh harapan pihak berkepentingan dan peluang yang luas,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menerusi hasrat Petronas untuk mendorong langkah peralihan dalam cara tenaga dihasilkan, beliau berkata syarikat itu mengumumkan aspirasinya untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang tahun 2050 sebagai sebahagian daripada pendekatan holistiknya terhadap kemampanan yang mengimbangkan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi rantaian nilai.
Petronas hari ini mengeluarkan laporan Prospek Aktiviti PETRONAS (PAO) tahunannya bagi tahun 2021-2023 untuk berkongsi pandangan syarikat mengenai trend industri, prospek permintaan dan aktiviti yang akan datang daripada perniagaan huluan, hiliran, gas dan tenaga baharu Petronas yang akan datang.
Sementara itu, Naib Presiden Perolehan Kumpulan, Frieda Amat berkata krisis yang berlaku sekarang memerlukan syarikat untuk terus berdaya tahan dan bergerak pantas dengan mengambil langkah-langkah yang dapat mengatasi ketidaktentuan pasaran dan peralihan tenaga.
“Sangat penting bagi pemain industri untuk menyesuaikan diri dan menerapkan amalan kebiasaan baharu. Bekerja dengan margin yang lebih ketat, ia memerlukan penggiat industri mengubah amalan yang lama, menerapkan pendigitalan, kemajuan teknologi, dan menjalinkan kerjasama kreatif untuk meneroka peluang.
“Petronas menjangka prospek yang stabil untuk sokongan pengeluaran, penggerudian, fabrikasi dan pemasangan platform telaga dan kemudahan dasar laut, serta kegiatan penutupan pengoperasian. Namun, prospek sederhana diharapkan untuk fabrikasi dan pemasangan platform pemprosesan berpusat serta kapal sokongan projek,” katanya.
Dalam laporan itu, Petronas juga berkongsi pandangannya yang akan memberi kesan positif kepada industri, termasuk memacu peningkatan penggunaan gas asli sebagai sumber bahan bakar yang lebih bersih dalam peralihan tenaga manakala membina kemampuan dalam tenaga yang dapat diperbaharui.
Selain itu, laporan itu juga menekankan bahawa syarikat itu sedang membangunkan teknologinya untuk menyokong aspirasi kemampanannya untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.
Sumber: Bernama
Petronas jangka industri minyak dan gas hadapi cabaran pada 2021
Content Type:
Duration: