B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Syarikat Jepun mahu tembusi lebih jauh pasaran halal Malaysia

Syarikat Jepun mahu tembusi lebih jauh pasaran halal Malaysia

11 Sep 2022

Syarikat Jepun menyasar untuk menembusi lebih jauh ke dalam pasaran halal di Malaysia bagi mengembangkan lagi pasaran produk makanannya dan meneroka peluang dalam pengeluaran makanan dan bahan makanan negara itu.

Penyelaras Projek Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur, Lim Yen Yi, berkata syarikat Jepun menyasar peluang perniagaan untuk memasuki pasaran halal, termasuk mengeksport dari Jepun, pembuatan atau pengeluar peralatan tulen (OEM) bagi membekalkan produk jenama Jepun diperakui halal di Malaysia.

“Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2022) edisi ke-18 menjana minat yang amat besar terhadap produk makanan Jepun diperakui halal dengan ramai pembeli mencari makanan dan bahan makanan Jepun.

“Berbanding MIHAS 2019 yang turut disertai JETRO, minat yang ditunjukkan pada tahun ini sangat memberangsangkan. JETRO tidak menyertai MIHAS 2021 kerana ia diadakan secara format hibrid maya dan pada 2020, pameran perdagangan itu tidak diadakan,” katanya.

Dalam temu bual dengan BERNAMA, beliau memaklumkan permintaan pasaran terhadap makanan Jepun semakin meningkat di negara ini dengan beberapa pengimport dan pengedar makanan di Malaysia menyatakan sasaran utama produk makanan Jepun adalah golongan kelas atasan.

Namun, katanya, beliau berasakan perlu untuk memberi tumpuan juga kepada kelas pertengahan, terutama pelanggan berbangsa Melayu yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia untuk mengembangkan lagi pasarannya.

“Pemain industri halal Malaysia juga mencari pelaburan dari Jepun untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan serta kemudahan pengeluaran.

“Kami menyokong kemasukan produk makanan halal Jepun ke Malaysia dan pasaran Muslim global menerusi pengenalan produk, menawarkan rasa sampel makanan dan padanan perniagaan secara dalam talian,” katanya.

Menurutnya, ketika Malaysia sedang dalam peralihan ke fasa endemik COVID-19 dengan restoran kembali dibenarkan beroperasi seperti biasa, JETRO melihat kemunculan semula permintaan terhadap bahan mentah bagi restoran makanan Jepun.

“Pembeli sedia ada dan yang baharu, terutama pengimport, pengedar dan pengeluar berminat terhadap jenama terkemuka Jepun.

“Produk berkenaan seperti sos perasa Halal Dashi Imuraya Start-up Planning dan serbuk matcha Kyoeiseicha untuk dibekalkan kepada restoran serta membuat produk seperti mi, biskut, minuman dan lain-lain. Semua produk ini diperakui halal,” katanya.

Yen Yi berkata, pembeli juga mencari makanan ringan, kuih-muih serta serbuk perasa halal Jepun untuk dibekalkan ke gedung runcit, kedai serbaneka, penjual e-dagang dan restoran.

Pada pameran MIHAS 2022, JETRO mempamerkan 24 produk makanan diperakui halal dari lapan syarikat Jepun, termasuk konfeksi, makanan sihat dan bahan perasa untuk kegunaan profesional yang laris dalam pasaran makanan Malaysia.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon