B. Malaysia
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ekonomi Malaysia Kembali Semula Ke Momentumnya Dengan Jumlah Pelaburan Yang Diluluskan Sebanyak RM64.8 Bilion Pada Januari – Jun 2020

Ekonomi Malaysia Kembali Semula Ke Momentumnya Dengan Jumlah Pelaburan Yang Diluluskan Sebanyak RM64.8 Bilion Pada Januari – Jun 2020

Kuala Lumpur, 24 September 2020 – Malaysia mencatat pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama, untuk enam bulan pertama tahun 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia. Pelaburan ini melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion.

Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion) merupakan penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut.

Untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, W.P. Kuala Lumpur dan Johor menyumbang sebanyak RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk separuh pertama tahun 2020, menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan dengan pelaburan sebanyak 44.2 peratus atau RM28.6 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion.

Sektor Perkilangan

Untuk enam bulan pertama tahun 2020, sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan, menyumbang sebanyak RM35.7 bilion; hanya 3.0 peratus penurunan dari tempoh yang sama tahun lalu.

Kerajaan, melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), telah menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, dari sumber domestik dan asing, yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia.

Keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan kebanyakannya adalah dalam produk petroleum termasuk petrokimia (RM13.6 bilion), mesin dan peralatan (M&E) (RM5.2 bilion), produk elektrikal dan elektronik (E&E) (RM5.0 bilion), pengilangan makanan (RM2.1 bilion), peralatan saintifik dan pengukuran (RM2.0 bilion), peralatan pengangkutan (RM1.8 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM1.6 bilion), dan mineral bukan logam (RM1.0 bilion). Ini merangkumi 90.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk sektor ini.

Dengan sejumlah 398 projek, pelaburan baharu yang diluluskan ini dijangka dapat mewujudkan 26,940 peluang pekerjaan untuk negara. Kategori pekerjaan yang dihasilkan merangkumi perjawatan pengurusan (1,925), perjawatan teknikal dan penyeliaan (4,887), profesional kemahiran kraf (3,226), pengendali dan pemasang jentera (11,117) serta kakitangan penjualan dan perkeranian (1,881).

Malaysia terus menarik aras pelaburan yang sihat dalam industri E&E, M&E, kimia, aeroangkasa dan peranti perubatan. Bagi tempoh Januari – Jun 2020, sejumlah 147 projek perkilangan dengan pelaburan RM13.8 bilion dalam lima industri ini telah diluluskan oleh MIDA. Industri-industri ini, mempunyai hubungan yang kuat dengan subsektor lain serta berperanan dalam menyokong perkembangan keseluruhan sektor perkilangan di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu, pelaburan langsung domestik di sektor perkilangan mencatat kenaikan 79.8 peratus kepada RM17.9 bilion sementara nilai pelaburan langsung asing yang diluluskan menurun 33.7 peratus kepada RM17.8 bilion.

Negeri-negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dalam sektor perkilangan untuk tempoh tersebut adalah Sabah, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Terengganu. Negeri- negeri ini secara kolektifnya menyumbang RM29.7 bilion.

Sementara itu, sumber utama pelaburan langsung asing untuk enam bulan pertama tahun 2020 adalah dari Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat, China, Thailand, Republik  Korea, Jepun, Hong Kong, Belanda dan Jerman. Sepuluh negara ini bersama-sama menyumbang 97.7 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor perkilangan untuk tempoh ini.

Adalah diperhatikan bahawa 69.3 peratus dari pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan adalah projek greenfield yang berjumlah RM24.7 bilion. Ini mewakili kenaikan

53.5 peratus dalam pelaburan untuk projek baharu, dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. Contoh projek baharu terkemuka yang diluluskan pada separuh pertama tahun 2020 adalah Ultra Clean Holdings. Syarikat ini merupakan peneraju dalam membangun dan membekalkan subsistem kritikal, perkhidmatan pembersihan penulenan ultra tinggi dan analitik terutamanya untuk industri semikonduktor. Ultra Clean Holdings akan menubuhkan kemudahan perkilangannya di Malaysia, mewujudkan lebih daripada 650 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan datang, merangkumi bahagian perkilangan, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan serta pengurusan kualiti.

Sektor Perkhidmatan

Dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan telah diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM28.6 bilion. Projek-projek perkhidmatan yang diluluskan dalam enam bulan pertama tahun 2020 ini dijangka akan dapat mewujudkan 10,114 peluang pekerjaan kepada ekonomi.

Sebilangan besar subsektor perkhidmatan utama menunjukkan penurunan pelaburan yang diluluskan kecuali untuk perkhidmatan sokongan dan projek berstatus MSC. Lima penyumbang utama pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM12.2 bilion), utiliti (RM9.4 bilion), perkhidmatan sokongan (RM2.4 bilion), perkhidmatan kewangan (RM1.8 bilion) dan telekomunikasi (RM1.3 bilion).

Industri perkhidmatan sokongan di bawah bidang tugas MIDA merangkumi sub-sektor seperti logistik bersepadu, penyelidikan dan pembangunan, teknologi hijau, reka bentuk litar bersepadu, perkhidmatan minyak dan gas dan gudang berlesen. Pada separuh pertama tahun 2020, pelaburan yang diluluskan dalam industri perkhidmatan sokongan menyaksikan kenaikan 18.5 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 disebabkan oleh lonjakan projek dalam subsektor perkhidmatan logistik bersepadu dan teknologi hijau yang mencatat kenaikan sebanyak 172.1 peratus dan 7.0 peratus. Selain menyediakan lebih dari 3,249 peluang pekerjaan baharu, pelaburan ini juga akan menjana spin-off benefits untuk perniagaan tempatan lain serta memperkukuhkan lagi jaringan industri Malaysia.

Sektor Utama

Pada Januari – Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta. Sektor ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian dan; perladangan dan komoditi. Kesemua pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini untuk tempoh tersebut adalah dari sumber domestik.

Subsektor perlombongan mendahului dengan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM468.5 juta dalam enam projek, diikuti oleh subsektor perladangan dan komoditi dengan pelaburan sebanyak RM2.5 juta.

Kesimpulan

“Walaupun pelaburan asing dianggap penting dalam pembangunan negara, penekanan yang lebih besar sedang diberikan untuk mendorong pelaburan domestik dan mengubah lebih banyak syarikat domestik menjadi pemain global. Kami akan terus mengutamakan pecutan penerapan teknologi di semua segmen ekonomi dengan memanfaatkan potensi Industri 4.0

untuk meningkatkan produktivi dan daya saing Malaysia.” kata YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Memastikan kesinambungan dan kemajuan perniagaan akan menjadi keutamaan apabila aktiviti perniagaan kembali ke tahap normal. Kerajaan, melalui PENJANA, akan terus membantu para pelabur untuk melaksanakan projek mereka di Malaysia secara cekap dan berkesan dengan melonggarkan proses birokrasi, terutamanya pada masa ini. Unit Project Acceleration and Coordination (PACU) telah ditubuhkan di MIDA untuk memudahcara kelulusan perniagaan terutamanya perkilangan dan perkhidmatan yang berkaitan dan untuk memastikan bahawa pelaksanaan projek yang diluluskan berjaya dalam tempoh 24 bulan. Kesemua syarikat asing dan tempatan diminta untuk memanfaatkan sepenuhnya  kemudahan yang ada untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini, ”tambahnya.

Ekonomi Malaysia diselaraskan untuk kembali ke momentumnya menjelang separuh kedua tahun ini. Walau bagaimanapun, pandemik ini masih belum berakhir dan Kerajaan sedang mengawasi kemajuannya dengan teliti ketika negara menuju ke arah pemulihan. MIDA berusaha untuk menyokong pelaburan dengan lebih baik melalui penglibatan dan kolaborasi berterusan dengan sektor swasta dan awam ke arah memperluas kemakmuran negara. Sehingga Julai 2020, MIDA mempunyai sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

******

MENGENAI MITI

MITI adalah pemacu utama dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan berkualiti dan meningkatkan status negara ini sebagai sebuah Negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global. Objektif dan peranannya adalah berorientasikan ke arah memastikan pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan membantu mencapai matlamat yang dinyatakan di negara ini untuk menjadi sebuah negara maju.

MENGENAI MIDA

MIDA adalah agensi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mengawasi dan memacu pelaburan bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat dalam negeri dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang muncul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti MIDA di Twitter, Instagram, Facebook, LinkedIn dan YouTube.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

Puan Manjit Kaur Balkar Singh

Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, MIDA

Tel.: 03-2267 3509 | E-mel: [email protected]

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon
X