B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


22 universiti tempatan catat peningkatan kedudukan

Penarafan Ranking Universiti Quacquarelli-Symonds (QS): Asia (QS-AUR) 2022 mendapati 22 universiti di Malaysia menunjukkan peningkatan kedudukan berbanding tahun lepas, empat universiti kekal di kedudukan sama manakala 10 universiti mencatat penurunan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, antara universiti tempatan mencatat peningkatan kedudukan adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Empat universiti yang mengekalkan kedudukan adalah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK),” menurut kenyataan itu.

Menurut KPT, penarafan QS-AUR 2022 turut menunjukkan peningkatan penyertaan universiti tempatan sebanyak 36 universiti berbanding 35 universiti pada tahun sebelumnya.

UM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, universiti yang pertama ditubuhkan di negara ini menduduki tempat kelapan dalam QS-AUR 2022, naik satu kedudukan berbanding tahun lepas.

Kejayaan tersebut menyaksikan UM memperbaiki kedudukannya berbanding tahun lepas selepas buat pertama kalinya berjaya menjadi antara 10 universiti Asia terbaik sejak penganugerahan QS-AUR pada 2009.

Menurut KPT, pencapaian dicapai universiti tempatan membuktikan bahawa universiti di negara ini mampu bersaing dengan universiti di negara Asia yang lain walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.

“Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa Malaysia mampu menjadi hab pendidikan tinggi yang unggul di rantau Asia,” kata KPT.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan QS World University Rankings, Ben Sowter berkata, universiti-universiti di Malaysia terus mencatatkan peningkatan kedudukan menerusi QS-AUR 2022 walaupun wujud persaingan sengit.

Secara keseluruhan sebanyak 687 universiti termasuk 40 penyertaan baharu dari 18 negara Asia terlibat dalam penilaian QS-AUR yang juga perbandingan meluas pernah dilaksanakan di rantau Asia.

Penilaian QS-AUR dilaksanakan berdasarkan kepada 11 petunjuk prestasi utama antaranya reputasi akademik; kebolehpasaran graduan; kualiti penyelidikan dan produktiviti; pengantarabangsaan di kampus serta kerjasama antarabangsa dengan pelbagai institusi.

Sumber: Bernama

22 universiti tempatan catat peningkatan kedudukan


Content Type:

Duration:

Forbes Asia menyenaraikan 11 firma Malaysia antara 200 Syarikat Terbaik Bawah Satu Bilion 2021 berdasarkan daya tahan mereka mengharungi pandemik COVID-19.

Senarai tahunan itu dikeluarkan bagi mengiktiraf syarikat tersenarai kecil dan sederhana di rantau Asia Pasifik yang merekodkan jualan di bawah AS$1 bilion.

Firma Malaysia yang berada dalam senarai Forbes Asia ini ialah Comfort Gloves Bhd, D&O Green Technologies Bhd, Dancomech Holdings Bhd, Dufu Technology Corp Bhd dan FoundPac Group Bhd.

Turut tersenarai termasuklah Frontken Corp Bhd, Revenue Group Bhd, Scientex Bhd, Thong Guan Industries Bhd, UG Healthcare Corp Ltd dan ViTrox Corp Bhd.

Menurut Forbes Asia, di sebalik penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia, senarai Syarikat Terbaik Bawah Satu Bilion menonjolkan kemampanan 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana di rantau Asia Pasifik yang mempunyai nilai jualan di bawah AS$1 bilion.

“Prestasi kewangan mereka mencerminkan sejauh mana syarikat-syarikat ini menyesuaikan diri di tengah-tengah penularan wabak ini, dengan syarikat berkaitan penjagaan kesihatan dan farmaseutikal paling menyerlah.

“Sementara itu, firma teknologi dan logistik yang berkaitan dengan ledakan e-dagang global juga mendapat manfaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Forbes Asia, senarai itu bertujuan mengenal pasti syarikat dengan prestasi kelestarian jangka panjang merentasi pelbagai metrik.

Daripada 20,000 syarikat tersenarai di rantau Asia Pasifik dengan pendapatan tahunan melebihi AS$10 juta dan di bawah AS$1 bilion, hanya 200 syarikat sahaja terpilih.

Dalam kalangan syarikat Malaysia yang tersenarai itu, Comfort Gloves, syarikat pengeluar sarung tangan getah yang ditubuhkan pada 1937 dan berpangkalan di Taiping, Perak itu merekodkan jualan sebanyak AS$225 juta.

Syarikat semikonduktor, D&O Green Technologies yang berpangkalan di Melaka mencatat jualan sebanyak AS$137 juta manakala Dancomech, syarikat pembekal peralatan untuk industri minyak sawit, oleokimia, petrokimia, minyak dan gas serta rawatan air dan pembentungan mempunyai nilai jualan berjumlah AS$28 juta.

Sumber: Dagang News

Forbes Asia senarai 11 firma Malaysia dalam Syarikat Terbaik Bawah 1 Bilion 2021


Content Type:

Duration:

Kuala Lumpur berada di kedudukan kesembilan di Asia Pasifik dan di luar Silicon Valley/San Francisco, Amerika Syarikat sebagai hab inovasi teknologi terkemuka dalam tempoh empat tahun akan datang, menurut tinjauan terbaharu oleh KPMG.

Dalam Tinjauan Industri Teknologi global 2021 yang melibatkan lebih daripada 800 pemimpin industri, KPMG berkata, ini berdasarkan beberapa faktor di peringkat tempatan seperti infrastruktur dan demografi serta pada peringkat makro seperti persekitaran pengawalseliaan dan insentif cukai nasional yang berpotensi dilaksanakan.

Ketua sektor Teknologi, Media dan Telekomunikasi KPMG di Malaysia, Guy Edwards berkata, ia tidak mengejutkan memandangkan beberapa kajian dibuat telah mengenal pasti faktor yang menjadikan Malaysia peluang pelaburan yang menarik.

“Pasti ada keyakinan global yang berterusan terhadap potensi yang ada pada negara sebagai pusat pembangunan, hasil daripada dedikasi kerajaan Malaysia untuk memajukan infrastruktur teknologi negara dengan memperkenalkan inisiatif seperti dasar Revolusi Industri Keempat Nasional.

“Inisiatif kerajaan itu membantu memperkukuhkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi, lebih banyak yang diperlukan selain dari pada memperkenalkan dasar baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tinjauan itu menunjukkan 61 peratus orang dalam industri yakin bahawa pandemik Covid-19 telah mengubah pendapat mereka terhadap bandar mana yang mendahului hab inovasi teknologi.

Hanya satu pertiga daripada kaji selidik itu berpendapat bahawa Silicon Valley di AS akan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam inovasi, manakala jumlah yang sama menyatakan ia tidak lagi menjadi peneraju.

Sumber: Bernama

KL antara 10 bandar di Asia Pasifik dahului hab inovasi teknologi


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) adalah lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini dalam kategori masing-masing dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global terkini oleh Majlis  Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata kedua-dua lapangan terbang itu mendapat skor penuh 5.0/5.0 dalam kaji selidik industri itu yang menjadi penanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kemudahan dan standard perkhidmatan.

KLIA sebelum ini di tempat kesembilan, mendapat skor 4.99/5.0 pada suku pertama dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) manakala LGK di tempat ketiga dengan skor 4.97/5.00 dalam kategori dua hingga lima mppa.

“Di KLIA, keputusan amat baik ini menjadi bukti kepada usaha syarikat yang terus mengekalkan perkhidmatan luar biasa dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan selain ia bersedia untuk penyambungan semula perjalanan.

“Inisiatif utama yang menyumbang kepada peningkatan prestasi termasuklah pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) perjalanan baharu yang meningkatkan pengalaman perjalanan yang selamat dan pembukaan 64 tandas yang baru diubahsuai untuk keselesaan penumpang yang berterusan,” kata Ketua

Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh dalam kenyataan.

Beliau berkata suasana terminal LGK yang segar dan bertambah baik, hasil daripada inisiatif penetapan semula komersial yang berjaya, terus menyumbang kepada kepuasan penumpang secara keseluruhannya yang transit di terminal tersebut.

Mohd Shukrie berkata pengendali lapangan terbang itu telah menyaksikan aliran meningkat secara beransur-ansur dalam jumlah penumpang dengan mencatatkan kenaikan sebanyak 35 peratus daripada bulan sebelumnya untuk pertumbuhan trafik secara keseluruhannya pada Julai.

Bulan lepas, kumpulan lapangan terbang itu mengatasi paras tiga juta sebanyak 3.3 juta jumlah pergerakan penumpang untuk rangkaian lapangan terbangnya buat kali pertama pada tahun ini dengan majoriti trafik disumbangkan oleh asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG).

Di peringkat tempatan, MAHB  mencatatkan peningkatan hampir 40 peratus dalam jumlah pergerakan penumpang sebanyak 260,000 (Antarabangsa: 72,000; Domestik: 188,000) pada bulan lepas berbanding Jun untuk rangkaian lapangan terbangnya di sini. 

“Walaupun terdapat sekatan perjalanan antara negeri, sempadan ditutup dan sekatan perjalanan yang lebih ketat di seluruh rantau berikutan penularan kes baharu, kenaikan marginal itu adalah positif untuk MAHB berikutan pengumuman kerajaan baru-baru ini yang memberikan fleksibiliti kepada mereka yang mendapat vaksinasi sepenuhnya untuk melakukan perjalanan antara negeri dan pembukaan semula pelancongan domestik dalam negeri yang sama (untuk negeri yang beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara) mulai 10 Ogos,” katanya.

Selain itu, MAHB turut menantikan projek perintis Pulau Langkawi yang mencontohi model sandbox Phuket dengan memberi vaksinasi kepada 80 peratus daripada jumlah penduduk di pulau itu sebagai langkah untuk membuka pulau tersebut kepada pelancong yang telah menerima vaksinasi sepenuhnya.

“Terdapat juga kemungkinan aktiviti pelancongan domestik di seluruh Malaysia disambung semula pada September yang akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada lapangan terbang, rakan kongsi syarikat penerbangan dan industri pelancongan,” kata Mohd Shukrie.

Sumber: Bernama

KLIA, LGK lapangan terbang No.1 dunia pada suku kedua tahun ini


Content Type:

Duration:

World Competitiveness Yearbook 2021 terbitan Pusat Daya Saing Dunia, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland meletakkan daya saing global Malaysia pada kedudukan ke-25 daripada 64 ekonomi, berbanding ranking ke-27 tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata berdasarkan ranking ‘Ease of Doing Business 2020’ oleh Bank Dunia, Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan 190 ekonomi dari segi menguruskan permit pembinaan.

“Walaupun semua ini menunjukkan inisiatif pembaharuan yang sedang dilaksanakan, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pengawalseliaan kita cukup cekap untuk bertindak balas terhadap perubahan,” katanya semasa berucap melancarkan Laporan Produktiviti Negara 2021 dan Forum Produktiviti secara maya pada Rabu.

Laporan dan forum oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu mengangkat tema ‘Melonjakkan Produktiviti: Penetapan Semula, Pembaharuan dan Pemulihan’.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata Laporan Produktiviti menggunakan pendekatan berbeza kali ini.

Ia menumpukan secara langsung kepada isu dan cabaran yang menghalang pertumbuhan produktiviti dalam situasi krisis kesihatan dan ekonomi terburuk di samping menekankan penyelesaian yang disyorkan untuk menguruskan kekangan ini, katanya.

Beliau berkata dalam menangani cabaran ketara yang dihadapi produktiviti serta dalam usaha mempertingkatkan pertumbuhannya, tema 2021 untuk laporan itu merumuskan semuanya adalah  — penetapan semula dan pembaharuan, yang akhirnya membawa kepada pemulihan produktiviti.

“Syor yang dikemukakan dalam laporan ini adalah seiring dengan agenda kerajaan menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan.

“Penyelesaian, yang wajar sekali dilakukan, dijangka melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan seterusnya memacu kebangkitan semula dan pemulihan perniagaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Abdul Latif berkata dalam lingkungan persekitaran perniagaan, pengawalseliaan berperanan penting untuk menambah baik aspek pemudahan urusan bertujuan menjalankan perniagaan.

Beliau berkata usaha menguruskan kebimbangan berkaitan pengawalseliaan dalam kalangan pihak industri, terutama perniagaan yang terjejas akibat pandemik, kini lebih mendesak untuk melancarkan pemulihan mereka.

“Pembaharuan pengawalseliaan amat penting untuk mengurangkan beban kawal selia yang tidak diperlukan perniagaan di samping merangka dasar yang lebih kondusif bagi kecekapan perniagaan.

“PEMUDAH atau Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, bekerjasama dengan MPC yang berperanan sebagai sekretariat, komited terhadap pembaharuan pengawalseliaan,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi perutusan menteri yang terkandung dalam laporan tersebut, Mohamed Azmin berkata prospek adalah cerah bagi Malaysia, dipacu oleh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang mencatatkan kemajuan baik untuk mencapai kadar secepat mungkin dan seramai mungkin rakyat menerima vaksin.

“Kerajaan juga melancarkan dan melaksanakan beberapa pakej rangsangan untuk mengurangkan beban komuniti perniagaan dan rakyat secara amnya. Insentif dan program diperkenalkan untuk mengatasi isu pekerjaan, kehilangan perolehan dan persekitaran perniagaan.

“Tumpuan utama akan terus diberikan kepada penerimagunaan digitalisasi dan teknologi sebagai alat untuk mempercepat pemulihan ekonomi. Menerusi usaha sinergi ini, sudah tentu wujud sentimen keyakinan untuk 2021 menjadi tempoh perubahan bagi pemulihan kesihatan dan ekonomi secara holistik,” katanya.

Beliau berkata pandemik COVID-19 telah mencetuskan krisis kesihatan dan ekonomi yang belum pernah berlaku sebelum ini sekali gus menjejaskan kehidupan dan pendapatan rakyat, mengakibatkan kemerosotan produktiviti pada -5.5 peratus tahun lepas ekoran gangguan yang mengejutkan.

“Kita berusaha mengatasi pelbagai halangan dengan menetapkan peluang gerak yang telah mengubah trajektori kehidupan kita untuk keadaan lebih baik,” katanya.

Mohamed Azmin berkata Bank Negara Malaysia, menerusi laporan prestasi suku pertama yang dikeluarkan pada Mei, mengunjurkan ekonomi Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan yang dijangkakan pada 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini.

Beliau berkata ia menunjukkan pemulihan dari segi tenaga kerja dan produktiviti modal yang disokong oleh pemulihan ekonomi secara meluas di kebanyakan sektor secara amnya.

“Walaupun langkah berani dan perlu untuk melandaikan keluk jangkitan telah dilaksanakan pada 2020, kerajaan, dilengkapi dengan data virologi yang bermanfaat, telah mengambil langkah lebih bijak tahun ini untuk mengekang virus itu daripada menular secara eksponen, berdasarkan objektif menyeluruh untuk melindungi nyawa rakyat di samping memastikan peningkatan semula pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia di kedudukan ke-25 dalam World Competitiveness Yearbook 2021


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengukuhkan kedudukannya menjadi antara sembilan lapangan terbang terbaik dunia pada suku pertama tahun ini dalam Anugerah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ).

ASQ adalah penanda aras bagi lapangan terbang terbaik dunia yang diumumkan Airports Council International (ACI) baru-baru ini.

Ia menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan pelanggan keseluruhan bagi keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

KLIA memperoleh skor 4.99 daripada 5.00, berbanding 4.98 pada 2020 di bawah kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata, selain KLIA, kumpulan itu turut berusaha untuk meningkatkan tahap perkhidmatannya selepas menyaksikan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) dinobatkan sebagai lapangan terbang ketiga terbaik dunia dalam kategori 2-5mppa dengan skor 4.97.

“MAHB akan menggunakan tempoh ketika sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik dilaksanakan untuk menggerakkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengalaman penumpang dan memastikan lapangan terbang bersedia menyambut peningkatan penumpang kelak,” katanya.

Bulan lalu, lapangan terbang kendalian MAHB termasuk aset di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) merekodkan jumlah pergerakan penumpang sekitar dua juta orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata walaupun kumpulan itu mencatatkan penurunan mendadak dalam pergerakan penumpang, ia bukan alasan untuk memastikan perkhidmatan dan kemudahan kekal berada di tahap tertinggi.

Katanya, hasil memberangsangkan yang diraih di atas inisiatif di KLIA dan LGK dalam meningkatkan perkhidmatan dan langkah keselamatan luar biasa dalam norma perjalanan baharu dijangka dapat membantu mengembalikan tahap keyakinan penumpang.

“Sempadan negara ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan peningkatan kes harian COVID-19 baru-baru ini.

“Walaupun begitu, jumlah pergerakan penumpang bagi rangkaian lapangan terbang tempatan adalah 630,000 penumpang pada April, meningkat hampir lapan peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Ini dipacu oleh peningkatan operasi syarikat penerbangan bagi sektor domestik yang melonjak 161 penerbangan mingguan atau berkembang 19 peratus berbanding Mac, selain mengekalkan faktor muatan melepasi 57 peratus,” katanya.

AirAsia merekodkan faktor muatan tertinggi iaitu 60 peratus pada April.

Mohd Shukrie berkata, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tahun ini dijangka membantu membuka jalan pemulihan secara beransur-ansur.

Bagi Turki, katanya, negara itu telah mengumumkan melonggarkan sekatan yang membolehkan perjalanan antara negara pada waktu tertentu.

“Pada April, disebabkan penutupan sebahagian sempadan sebelumnya, ISG mencatatkan 1.4 juta penumpang, menyusut 20 peratus berbanding Mac.

“Walaupun mengalami penurunan, syarikat penerbangan tempatan seperti Pegasus dan AnadoluJet kekal optimis dengan penambahan syarikat penerbangan pertama Shymkent, Kazakhstan ke rangkaian operasi dengan penerbangan mingguan yang dijangka dilancarkan bulan ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

KLIA antara sembilan lapangan terbang terbaik dunia


Content Type:

Duration:

Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila membuat lonjakan sebanyak 28 anak tangga dalam Times Higher Education  (THE) Emerging Economies Rankings 2021. 

Penarafan itu telah diumumkan pada 9 Mac melalui laman web rasmi THE World University Rankings, meletakkan UPM di tangga ke-78 universiti terbaik berbanding ranking ke-106 pada tahun lalu.

Ini sekali gus meletakkan UPM dalam kelompok 100 universiti terbaik bersama dua universiti tempatan lain daripada 606 universiti antarabangsa yang tersenarai.

Menurut kenyataan UPM, penilaian ranking dilakukan menggunakan lima kriteria utama yang mempunyai 13 indikator sama seperti digunakan dalam penilaian THE World University Rankings. 

Lima kriteria utama itu adalah pengajaran, penyelidikan, rujukan, pandangan antarabangsa dan pendapatan industri.

“Kekuatan UPM terletak pada kriteria pandangan antarabangsa apabila disenaraikan pada tangga ke-23 terbaik antara universiti yang tersenarai dan ranking ke-2 Malaysia selepas Universiti Malaya,” katanya.

THE Emerging Economies Rankings diperkenalkan pada 2014 dengan mengambil kira dan menilai institusi pengajian tinggi di 48 negara yang ditakrifkan oleh London Stock  Exchange’s FTSE Group sebagai negara membangun atau sedang membangun.

Sumber: Utusan Malaysia

UPM lonjak 28 anak tangga dalam THE Emerging Economies Rankings 2021


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinamakan sebagai antara 10 lapangan terbang utama dunia dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ).

Pengiktirafan untuk KLIA oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) adalah bagi kategori melebihi 40 juta penumpang tahunan (mpaa) bagi tahun 2020.

Pengumuman kejayaan KLIA awal bulan ini turut disokong usaha berterusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan meskipun persekitaran perniagaan masih berdepan dengan kesan COVID-19.

“Walaupun, trafik penumpang kekal rendah disebabkan sekatan berterusan perjalanan domestik dan antarabangsa dengan hanya 1.6 juta penumpang direkodkan pada Februari, MAHB terus melaksanakan projek kritikal di lapangan terbang.

“Antaranya, pengubahsuaian bilik air, pembentukan pasukan kecemerlangan operasi bagi mengenalpasti dan membentuk inisiatif serta pengenalan kepada Exceptional People Practice Playbook,” demikian menurut MAHB dalam satu kenyataan, hari ini.

ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan keseluruhan penumpang bagi aspek keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

MAHB berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu menyaksikan KLIA meningkatkan skornya dengan ketara dan mencapai skor tahunan 4.98 berbanding 5.00 pada 2020.

Tahun lalu, KLIA berada pada kedudukan ke 17 dengan skor 4.76.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata sebagai pengendali lapangan terbang global, MAHB didorong oleh keyakinan dan kepuasan penumpang terhadap kemudahan serta perkhidmatannya.

“Tahun ini, penumpang boleh menikmati perjalanan lebih baik termasuk tempoh menunggu lebih pendek dan teknologi pengecaman wajah yang menjadi sebahagian daripada transformasi digital Airports 4.0,” katanya.

Mohd Shukrie, berkata MAHB kekal optimistik dengan ketahanan permintaan perjalanan udara.

“Kami melihat kebangkitan semula yang kukuh ketika sekatan perjalanan ditamatkan sebelum ini dan untuk itu, kami akan terus memperkemaskan penawaran kami.

“Dengan terus mengetahui permintaan penumpang dan industri penerbangan yang terus berkembang, ia akan membantu kami untuk maju dalam persaingan pasaran dengan kami berhasrat untuk berada di dalam kelompok lima lapangan terbang terbaik tahun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

KLIA antara 10 lapangan terbang terbaik dunia


Content Type:

Duration:

Malaysia di kedudukan kedua dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik dan ke-16 daripada 169 negara untuk hubungan global berdasarkan aliran perdagangan antarabangsa, modal, maklumat dan orang ramai, menurut DHL Global Connectedness Index (GCI) 2020.

Negara juga bersama dengan Kemboja, Singapura, Vietnam dan Belanda sebagai antara yang mencatatkan prestasi yang baik dari segi aliran antarabangsa berdasarkan kekuatan ekonomi, saiz dan lokasi.

“Malaysia dapat memberikan kualiti yang baik dengan pertumbuhan sebanyak 20 hingga 30 peratus sebahagian besarnya didorong oleh e-dagang dan prospek yang dijangka positif selain menjadi antara negara yang pesat berkembang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif DHL Express John Pearson pada sidang media secara maya hari ini.

Menurut laporan itu, Malaysia mendahului rakan-rakannya dari segi hubungan global yang melebihi jangkaan.

Katanya negara-negara Asia Tenggara mendapat manfaat daripada hubungan dengan rangkaian rantaian bekalan Asia yang lebih luas dan inisiatif dasar ASEAN yang menggalakkan integrasi ekonomi serantau.

Di peringkat global, katanya unjuran semasa menunjukkan indeks akan merosot dengan ketara pada 2020 berikutan impak daripada COVID-19 ke atas masyarakat seperti pintu sempadan ditutup, sekatan perjalanan dan pesawat penumpang yang tidak melakukan penerbangan selepas kukuh pada 2019.

“Bagaimanapun, pandemik dijangka tidak menyebabkan tahap hubungan dunia secara keseluruhan di bawah paras semasa krisis kewangan global 2008 dan 2009.

“Aliran perdagangan dan modal mula pulih serta aliran data antarabangsa melonjak semasa pandemik berikutan ‘in-person contact’ memasuki dunia dalam talian, meningkatkan trafik internet antarabangsa, panggilan telefon dan e-dagang,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata Malaysia telah mendapat manfaat daripada globalisasi yang meningkatkan daya saing ekonomi dan menjadikan negara sebagai tapak pembuatan utama untuk jenama global.

“Walaupun pandemik telah menyekat pergerakan dan menjejaskan perniagaan, ia turut memberi banyak peluang dan membuka pintu kepada perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia di kedudukan kedua di Asia Pasifik bagi hubungan global


Content Type:

Duration:

wpChatIcon