B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia pengeksport LNG kelima terbesar dunia

Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) kelima terbesar pada 2022 selepas Australia, Amerika Syarikat (AS), Qatar dan Russia.

Menurut laporan tahunan ke-14 World LNG Report 2023 yang dikeluarkan oleh Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) pada 12 Julai, eksport LNG dari Malaysia pada 2022 berjumlah 27.3 juta tan (MT), meningkat daripada 24.9 MT pada 2021, yang merupakan kira-kira tujuh peratus daripada jumlah LNG didagangkan secara global.

Laporan itu berkata, Asia Pasifik kekal sebagai pasaran terbesar untuk LNG, mengeksport sejumlah 136.6 MT pada 2022 dan mengimport 160.9 MT, di mana kebanyakan LNG didagangkan di rantau sama pada 97.9 MT.

Presiden IGU, Li Yalan, berkata dunia melihat nilai tinggi LNG sebagai sumber optimum tenaga yang fleksibel, boleh dipercayai dan cekap.

“Tenaga fleksibel diperlukan untuk dunia meneruskan perjalanan dalam peralihan tenaga dengan selamat,” katanya dalam laporan itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA), Abdul Aziz Othman dalam satu kenyataan berkata LNG ialah sejenis gas asli cecair yang membolehkan bahan api itu dihantar secara pukal pada jarak yang jauh.

Bagi memastikan bekalan yang mencukupi dan tidak terganggu kepada pengguna di Semenanjung Malaysia, beliau berkata LNG dibawa masuk untuk menambah bekalan daripada gas asli luar pesisir.

“Pada masa lalu, gas asli telah memastikan keselamatan tenaga dan memacu pembangunan ekonomi dan kami menjangkakan gas asli kekal sebagai bahan api teras dalam dekad akan datang.

“Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri semasa perasmian Energy Asia awal bulan Jun, Malaysia akan terus melihat gas asli memainkan peranan penting dalam campuran tenaga untuk beralih ke arah ekonomi karbon yang lebih rendah,” kata Abdul Aziz.

Sumber: Bernama

Malaysia pengeksport LNG kelima terbesar dunia


Content Type:

Duration:

edudukan Malaysia pada tangga ke-27 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2023 berbanding ke-32, menggambarkan keyakinan pelabur dan mengesahkan komitmen negara terhadap dasar ekonomi semasa dan hala tuju strategik sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan dan perdagangan.

Profesor ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, kejayaan itu yang diraih baru-baru ini menggariskan komitmen negara untuk mengemukakan dasar ekonomi dan orientasi strategik sebagai lokasi pilihan bagi pelaburan dan perdagangan.

“Kejayaan itu juga adalah pengiktirafan kepada peningkatan tahap pelaburan langsung asing serta keyakinan pelabur terhadap prestasi ekonomi kita.

“Selain itu, peningkatan yang konsisten ini akan menggalakkan kerajaan untuk menumpukan kepada bidang lain yang telah dikenal pasti memerlukan lebih banyak perhatian seperti pembangunan modal insan, pembaharuan dalam kawal selia digital dan perniagaan serta pembangunan mampan,” katanya.

Menurut IMD, Malaysia berada pada kedudukan ke-27 dalam kalangan negara paling berdaya saing dunia pada 2023, melonjak daripada tangga ke-32 berikutan pemulihan ekonomi, pertumbuhan pelaburan serta aspek yang baik bagi kestabilan kadar pertukaran dan pasaran buruh.

Walaupun Malaysia kukuh antaranya dari segi harga, infrastruktur asas dan dasar cukai, IMD berkata negara ini tidak memenuhi standard bagi kedudukan sub-faktor seperti perundangan perniagaan, pendidikan dan rangka kerja sosiobudaya.

Sehubungan itu, Yeah berkata, masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan mengurangkan beban pengawalseliaan.

“Kualiti pendidikan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan penawaran bakat yang memenuhi keperluan kemahiran industri,” katanya sambil memaklukan persepaduan sosial boleh ditambah baik menerusi dasar yang inklusif dan usaha negara intuk menggalakkan perpaduan.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan semasa dalam ranking IMD menunjukkan bahawa kerajaan dalam kedudukan yang tepat untuk memacu negara menjadi negara maju.

“Kedudukan sebagai berdaya saing itu memaparkan antara lainnya aspek kelancaran menjalankan perniagaan, dasar lebih jelas dan konsisten serta kerangka kerja undang-undang yang berwibawa dan membolehkan perniagaan terus maju.

“Ini akan menyumbang dari segi peningkatan pekerjaan tambahan untuk kelompok rakyat yang mahir, khususnya dalam kalangan siswazah,” katanya.

Sementara itu, Penganalis Ekonomi daripada Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kedudukan atau ranking tersebut adalah berdasarkan data jelas (bersifat kuantitatif yang boleh dianalisis secara rasmi) selain persepsi daripada kalangan pengurus global.

“Sejajar dengan kestabilan politik yang dicapai pada tahun lepas, ini telah meningkatkan persepsi pengurus terhadap prospek ekonomi Malaysia serta daya saingnya.

“Pada tahun lepas juga menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia melonjak kepada 8.7 peratus yang turut membuktikan aspek daya saing itu,” katanya.

Ahmed Razman berkata, peningkatan dari segi harga juga disebabkan oleh kemampuan negara mengekalkan kadar inflasi yang rendah berbanding negara-negara Asean lainnya.

Laporan WCR IMD tersebut adalah berdasarkan 336 kriteria daya saing mengikut empat kategori — prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan korporat dan infrastruktur.

Malaysia berada di kedudukan ke-27 daripada 64 negara, naik lima tangga dan meningkat dalam keempat-empat kategori itu yang memaparkan optimistik serta kemampuan berdaya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi global dan krisis selain pelbagai halangan domestik.

Denmark di kedudukan teratas bagi tahun kedua berturut-turut dan diikuti Ireland manakala Switzerland di tempat ketiga.

Sumber: Bernama

WCR: Kedudukan lebih baik bukti keyakinan pelabur – Ahli ekonomi


Content Type:

Duration:

KEMAMPUAN daya saing global Malaysia dalam senarai World Competitiveness Ranking (WCR) 2023 maju lima anak tangga kepada 27 berbanding kedudukan 32 yang disaksikan pada tahun lepas.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, pencapaian itu merupakan pengiktirafan kepada keseluruhan usaha kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan asas ekonominya.

“Secara lebih khusus, kemajuan dalam kedudukan ini terhasil daripada dasar serta inisiatif utama MITI dalam meletakkan negara sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan, perniagaan dan perdagangan,” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

WCR adalah inisiatif oleh Pusat Daya Saing Dunia (WCC) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), yang merupakan laporan tahunan terkemuka mengenai daya saing negara-negara yang telah diterbitkan sejak 1989.

WCR IMD ditentukan melalui 336 kriteria daya saing yang dikategorikan kepada empat faktor seperti prestasi ekonomi, kelicinan pentadbiran kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.

Malaysia yang menduduki tempat ke-27 dalam kalangan 64 ekonomi, mencatatkan peningkatan dalam keempat-empat faktor daya saing, menandakan kemajuan negara yang menggalakkan dan berdaya tahan terhadap kesan ketidaktentuan serta krisis ekonomi global yang berlarutan, selain cabaran domestik dalam pelbagai aspek.

Tangani isu di peringkat kebangsaan, sub-nasional

Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun Malaysia menonjolkan prestasi yang baik dari segi harga, infrastruktur asas serta dasar cukai, ia perlu bersungguh-sungguh menangani isu-isu seperti pembangunan bakat tenaga kerja sedia industri, pemikiran pertama digital bagi sektor dan pembaharuan kawal selia untuk fasiliti menjalankan perniagaan di peringkat nasional serta sub-nasional.

“Ini adalah bidang yang sedang diusahakan oleh MITI dan agensi-agensinya secara serius melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang akan datang, yang bakal mereformasikan asas sektor perkilangan Malaysia dan menjadi ekonomi yang lebih berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari berkata, peningkatan kedudukan daya saing Malaysia dalam WCR 2023 mencerminkan kestabilan dan daya tahan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“MPC percaya dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti di semua sektor yang akan menambah faktor daya saing secara keseluruhan.

“Fokus kami adalah kepada pemacu produktiviti utama seperti pembangunan bakat, penggunaan teknologi dan pembaharuan kawal selia untuk persekitaran perniagaan yang berkembang maju. MPC komited untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) selain memupuk ekonomi yang mampan,” katanya.

MITI komited tingkatkan daya saing global Malaysia

MITI komited untuk meningkatkan daya saing global Malaysia, memandangkan ia mempunyai pengaruh yang berkesan terhadap pelaburan, perdagangan dan pembangunan perindustrian Malaysia.

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang akan dilancarkan menjelang Ogos 2023, akan memberi tumpuan kepada memajukan kekompleksan ekonomi, memudahkan pendigitalan dan teknologi bagi sektor pembuatan Malaysia, mendorong neutral karbon, serta melindungi keselamatan dan keterangkuman ekonomi.

MITI telah mengenal pasti lima sektor terutamanya aeroangkasa, kimia dan petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik serta farmaseutikal yang akan memacu transformasi industri, termasuk meningkatkan pembuatan dan eksport produk yang lebih kompleks untuk terus membangunkan Malaysia menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan.

Tumpuan kepada industri-industri ini juga akan mendorong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia memasuki segmen pasaran berhasil tinggi serta bernilai tinggi.

Daripada segi meningkatkan fasiliti menjalankan perniagaan, MPC telah diberi mandat untuk menguruskan beban pengawalseliaan yang tidak perlu ke atas perniagaan dengan mengurangkan isu dan cabaran yang berkaitan dengan birokrasi.

MITI percaya usaha bagi meningkatkan daya saing global Malaysia harus bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara dalam memuktamadkan dan melaksanakan NIMP2030, berdasarkan strategi bersepadu awam-swasta yang memperkasakan semua pihak berkepentingan utama seperti pelabur, perniagaan, PKS dan rakyat, dengan mengambil kira prinsip kemampanan serta keterangkuman.

Sumber: Bernama

Malaysia catat kemajuan positif dalam daya saing global


Content Type:

Duration:

Kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2023 meningkat lima anak tangga di kedudukan ke-27 berbanding ke-32 pada tahun lalu.

Penambahbaikan kedudukan itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha keseluruhan Kerajaan Malaysia dalam mengukuhkan asas ekonomi, dasar dan inisiatif dalam meletakkan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, perniagaan serta perdagangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kedudukan tersebut menunjukkan Malaysia mencatatkan peningkatan dalam keempat-empat faktor daya saing, terhadap kesan pandemik, ketidaktentuan dan krisis ekonomi global, serta pelbagai cabaran domestik.

“Kami berbesar hati maklum bahawa Malaysia telah meningkat kepada tempat ke-27 dalam Indeks Daya Saing Dunia. Bagi MITI, apa yang penting ialah bagaimana kita boleh menambah baik lagi.

“Walaupun Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dari segi harga, infrastruktur asas dan dasar cukai, kita mesti bersungguh-sungguh menangani isu-isu seperti pembangunan bakat tenaga kerja sedia industri; minda yang mengutamakan digital untuk sektor; pembaharuan kawal selia untuk kemudahan menjalankan perniagaan di peringkat nasional dan sub-nasional; serta mengejar pembangunan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, kedudukan WCR Malaysia dalam sub-faktor perundangan perniagaan meningkat daripada 50 pada 2022 kepada 45 pada 2023.

Zafrul menambah, MITI percaya usaha untuk meningkatkan daya saing global Malaysia mesti bergantung kepada pendekatan ‘seluruh negara’ dalam memuktamadkan dan melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Katanya, ia berdasarkan strategi awam-swasta bersepadu yang memperkasakan semua pihak kepentingan utama seperti pelabur, perniagaan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan rakyat, dengan mengambil kira prinsip kemampanan dan keterangkuman yang menyeluruh.

Laporan WCR Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) adalah berdasarkan 336 kriteria daya saing yang dikategorikan kepada empat faktor: Prestasi Ekonomi, Kecekapan Kerajaan, Kecekapan Perniagaan dan Infrastruktur.

Laporan yang meliputi 64 ekonomi itu, antaranya memperincikan arah aliran daya saing negara berdasarkan prestasi keseluruhan, cabaran pada tahun tinjauan, fakta asas, landskap daya saing dan kedudukan kumpulan sebaya.

Sumber: Astro Awani

Malaysia tempat ke-27 ranking daya saing dunia IMD 2023


Content Type:

Duration:

Malaysia melonjak 15 anak tangga dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023 untuk berada di kedudukan ke-26, menjadi negara kedua terbaik selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata ia merupakan lonjakan ketara dari kedudukan ke-41 pada 2018 dan ke-32 pada 2016, dan kedudukan terbaik yang dicapai Malaysia ialah di tangga ke-25 dalam laporan LPI Bank Dunia 2014.

Laporan LPI edisi ketujuh ‘Connecting to Compete’ dikeluarkan selepas tiga tahun gangguan rantaian bekalan semasa pandemik Covid-19 dan ia merangkumi pandangan terkini mengenai prestasi logistik perdagangan di 139 negara.

Abdul Latif berkata laporan LPI adalah penanda aras untuk membantu negara mengenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk penambahbaikan dalam logistik perdagangan antarabangsa bagi meningkatkan daya saing.

Sumber: Bernama

Malaysia lonjak 15 anak tangga dalam Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia 2023


Content Type:

Duration:

Industri dron Malaysia menduduki tempat teratas di Asia Tenggara dalam Indeks Kesediaan Dron (DRI) 2023 di tempat ke-21, meningkat daripada kedudukan ke-30, tahun lepas, kata Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).

MRANTI dalam satu kenyataan berkata bahawa kesediaan teras Malaysia untuk dron melonjak sebanyak 29 mata peratusan dalam DRI, mencecah 60 peratus daripada 31 peratus pada 2022, peningkatan itu adalah petunjuk jelas komitmen negara untuk mempercepatkan potensinya dalam teknologi dron.

“Ini meletakkan industri dron di Malaysia pada trajektori pertumbuhan yang jelas dengan potensi menyumbang RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030,” katanya.

MRANTI berkata kemas kini tahunan DRI itu merupakan sebahagian daripada Laporan Tahunan Peraturan Dron, Drone Industry Insights (DII), ia menilai negara yang mengambil bahagian pada enam parameter iaitu kebolehgunaan, skop operasi, sumber manusia, infrastruktur pentadbiran, pensijilan dan integrasi ruang udara.

“Laporan itu menunjukkan bahawa negara yang mempunyai peningkatan paling kukuh dalam kesediaan dron ialah United Kingdom, Brazil, Switzerland, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan China.

“Malaysia mencapai penarafan 100 peratus dalam kebolehgunaan, sumber manusia dan pensijilan dengan bidang yang perlu diperbaiki dalam skop operasi (kesediaan 50 peratus), integrasi ruang udara (40 peratus kesediaan) dan infrastruktur pentadbiran (25 peratus kesediaan),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata pencapaian dalam DRI adalah hasil awal Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) dan inisiatif lain yang melibatkan kerjasama padu oleh pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

Beliau berkata misi utama MDTAP30 adalah memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pengurusan trafik tanpa pemandu nasional, portal pendaftaran dron digital, penggunaan kes penggunaan dron khas dalam sektor utama dan pembangunan bakat seperti akreditasi organisasi latihan juruterbang jarak jauh (remote pilot training).

MRANTI ialah agensi penyelaras dan sekretariat untuk MDTAP30, ia turut melancarkan Area57, sebuah pusat kecemerlangan untuk meningkatkan industri dron di Malaysia pada 2021.

Sumber: Bernama

Malaysia teratas di Asia Tenggara dalam Indeks Kesediaan Dron 2023


Content Type:

Duration:

Malaysia mengekalkan kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk tahun kesepuluh berturut-turut, kata Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Dalam satu kenyataan, MIFC berkata berdasarkan kepada ‘Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD)-Refinitiv IFDI Report 2022’ yang diterbitkan baru-baru ini, Malaysia turut meraih tempat pertama bagi empat sub kategori iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kesedaran dan kemampanan.

Laporan itu juga merangkumi prospek pertumbuhan industri. Industri kewangan Islam global mempunyai jumlah aset bernilai US$4 trilion (US$1=RM4.43) pada 2021. Ia dijangka mencecah US$5.9 trilion menjelang 2026, kata kenyataan itu.

Menurut laporan itu, Malaysia berada di tempat pertama dengan jumlah skor IFDI 2022 sebanyak 113 mata, mendahului Arab Saudi yang di kedudukan kedua dengan 74 mata, Indonesia (61 mata), manakala Bahrain dan Kuwait kedua-duanya berkongsi 59 mata.

IFDI menyediakan analisis terperinci tentang faktor utama yang memacu pertumbuhan dan pembangunan industri di seluruh dunia kepada pihak berkepentingan dalam kewangan Islam seperti kerajaan dan institusi kewangan.

IFDI global 2022 mengukur prestasi 136 negara dalam lima kategori iaitu prestasi kewangan, tadbir urus, kemampanan, pengetahuan dan kesedaran.

“Markah purata untuk 136 negara ialah sembilan; 38 negara mendapat markah melebihi purata manakala majoriti jatuh di bawah sembilan.

“Disebabkan oleh perubahan dalam metodologi IFDI tahun ini, markah dan kedudukan tidak dapat dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” kata laporan itu.

Laporan itu menekankan bahawa kekuatan terbesar bagi ekosistem kewangan Islam Malaysia ialah kesedaran, pengetahuan dan kemampanan. Arab Saudi mengikuti rapat di belakang Malaysia.

Indonesia pula menunjukkan prestasi kukuh dalam pengetahuan dan mendapat markah yang baik dalam tadbir urus, dan ia meraih tempat ketiga.

Negara lain yang berada di kedudukan 10 teratas termasuk Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Pakistan, Qatar dan Bangladesh.

Sumber: Bernama

Malaysia raih tempat pertama dalam kedudukan kewangan Islam global untuk tahun ke-10


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) kekal sebagai lapangan terbang terbaik dunia dengan masing-masing mencatatkan skor penuh 5.00 dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) pada suku ketiga (S3 2022).

Kedua-dua lapangan terbang itu juga berada di kedudukan teratas pada suku kedua (S2 2022), kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi suku ketiga, KLIA berkongsi pencapaian itu dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) bersama lapan lagi lapangan terbang lain. LGK merupakan satu-satunya lapangan terbang dalam kategori dua hingga lima mppa yang memperoleh mata penuh dalam kaji selidik itu,” kata kenyataan tersebut.

ASQ merupakan kaji selidik global oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) yang mengukur kepuasan penumpang secara keseluruhan untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Menurut Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood, perjalanan udara kini mencatatkan pemulihan yang lebih pantas pada separuh kedua tahun ini.

“Dengan pertambahan penumpang yang tiba melalui lapangan terbang, kami ingin menghapuskan sebarang tekanan yang tidak perlu daripada perjalanan mereka dengan memastikan prosedur yang cekap, kemudahan berfungsi dengan baik dan kakitangan lapangan terbang yang mesra,” katanya.

Kini lebih banyak syarikat penerbangan telah menyambung semula laluan penerbangan mereka ke Malaysia pada Oktober termasuklah KLM Royal Dutch Airlines, All Nippon Airways dan Lion Air yang masing-masing terbang tanpa henti dari Amsterdam, Tokyo-Haneda dan Surabaya ke Kuala Lumpur.

MAHB juga menyaksikan kembalinya semula laluan Manila-Kota Kinabalu oleh Cebu Pacific dan laluan Pulau Pinang-Denpasar oleh AirAsia di Malaysia.

Mengenai prestasi trafik, MAHB berkata prestasi trafik penumpang di Malaysia pada Oktober mencatatkan 5.4 juta pergerakan dengan 2.1 juta penumpang antarabangsa dan 3.3 juta penumpang domestik, manakala operasi Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) mencatatkan 2.9 juta penumpang (antarabangsa: 1.5 juta; domestik: 1.4 juta).

Berbanding bulan sebelumnya, trafik penumpang antarabangsa meningkat sebanyak 9 peratus di lapangan terbang kumpulan itu di Malaysia dan tiga peratus di SAW.

Secara keseluruhan, MAHB merekodkan 8.3 juta pergerakan penumpang untuk Oktober, melepasi paras 8 juta untuk bulan kedua berturut-turut.

Sumber: Bernama

KLIA, LGK adalah lapangan terbang terbaik dunia pada suku ketiga 2022 – MAHB


Content Type:

Duration:

Malaysia telah disenaraikan sebagai lokasi Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) ketiga paling kompetitif di dunia, selepas India dan China, menurut indeks oleh firma perunding global Kearney.

Indeks Lokasi Perkhidmatan Global (GSLI) 2021 firma itu menunjukkan bahawa negara-negara Asia terus mengambil tujuh tempat dalam 10 teratas, dengan India di tempat pertama dengan skor 7.09, diikuti China (6.80) dan Malaysia (6.22).

Indeks ini, yang dikeluarkan setiap dua tahun, menjejaki kontur landskap global melibatkan 60 negara dengan empat kategori utama – daya tarikan kewangan, kemahiran dan ketersediaan pekerja, persekitaran perniagaan dan kualiti digital.

Lokasi GBS membolehkan syarikat multinasional (MNC) atau organisasi yang besar memusatkan operasi dan aktiviti perniagaan mereka, seperti kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat (IT) dan pemerolehan di negara tertentu untuk menyediakan perkhidmatan bersama, kata Perunding Transformasi Perniagaan Joon Teoh. 

Beliau berkata antara MNC yang telah mewujudkan pusat GBS di Malaysia ialah Shell, AstraZeneca, British American Tobacco dan Bash.

“Bagi IGO (organisasi antarabangsa antara kerajaan), kita mempunyai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tarikan terbesar Malaysia ialah kepelbagaian bakat, termasuk bahasa yang mampu memberikan perkhidmatan kepada pelbagai negara,” katanya kepada Bernama dalam temu bual secara maya baru-baru ini.

Beliau berkata pusat GBS memberikan perkhidmatan kepada pekerja mereka sendiri dalam syarikat atau organisasi di seluruh dunia.

“Misalnya, jika mana-mana kakitangan mereka, tidak kira di mana mereka berada, perlu melakukan perjalanan ke luar negara, tiket penerbangan mereka, pembayaran dan sebagainya akan diuruskan oleh pusat GBS yang ditetapkan di Malaysia atau negara lain.

“Bagaimana mereka (pusat GBS) berbuat demikian? Di sinilah peranan teknologi kerana anda perlu memastikannya (berlaku) dalam platform digital untuk mereka memasukkan tuntutan mereka atau membeli tiket penerbangan mereka (serta) untuk pembekal menghantar invois dan lain-lain,” katanya.

Teoh, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agos Asia berkata kerajaan Malaysia sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan GBS di negara ini, termasuk menggariskan kepentingan sektor itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata ini berikutan apabila pusat GBS diwujudkan, ia biasanya dari 150 hingga lebih ribuan pekerja, yang bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan yang luas tetapi turut membantu meningkatkan proses pendigitalan negara.

“Kerajaan cuba meletakkan kami (sektor GBS) dalam trajektori keluk nilai berikutan ia akan menjadi mustahil untuk kami bersaing dengan China dan India dari segi jumlah dan tenaga kerja.

“Kami hanya boleh melakukan (ini) dengan menyediakan kemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan sejajar dengan transformasi digital,” katanya.

Katanya itu akan menjadi cadangan nilai negara apabila pusat GBS di Malaysia berkembang menjadi pusat kecemerlangan, diterajui oleh pasukan tempatan untuk menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan, antara lainnya, termasuk automasi proses robotik dan analisis.

Menurut RMK-12, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada memacu pembangunan industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk elektrik dan elektronik, perkhidmatan global (GS) dan aeroangkasa.

GS, yang terdiri daripada hab utama, GBS dan operasi ibu pejabat, merupakan penyumbang utama pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor perkhidmatan.

Pelaburan yang diluluskan dalam GS oleh syarikat multinasional dicatatkan sebanyak RM46.1 bilion, menyumbang 51.7 peratus daripada jumlah FDI dalam sektor perkhidmatan dari 2016 hingga 2020.

Sumber: Bernama

Malaysia disenaraikan sebagai lokasi GBS ketiga paling kompetitif di dunia selepas India, China


Content Type:

Duration:

Tujuh firma Malaysia disenaraikan dalam ‘Forbes Asian Best Under A Billion’, syarikat berprestasi tinggi dengan jualan tahunan antara AS$10 juta (RM44.5 juta) hingga AS$1 billion (RM4.45 bilion).

Mengetuai senarai dari segi pendapatan ialah Kim Loong Resources, syarikat yang terbabit dalam penanaman dan pemprosesan minyak sawit dengan jualan pada 2021 mencecah AS$410 juta (RM1.82 bilion), manakala pendapatan bersihnya AS$33 juta (RM147 juta).

Syarikat yang diasaskan pada 1967 dan beribu pejabat di Johor Bahru itu bernilai kira-kira RM1.89 bilion.

Pembuat sarung tangan pemeriksaan lateks semula jadi dan nitril pakai buang, UG Healthcare menduduki tempat kedua dengan jumlah jualan AS$251 juta (RM1.15 bilion) pada 2021 dengan pendapatan bersihnya bernilai AS$88 juta.

Syarikat yang diasaskan pada 1989 dan beribu pejabat di Seremban, Negeri Sembilan itu dinilai pada kira-kira RM454 juta.

Berada di tempat ketiga ialah D&O Green Technologies, pengeluar diod pemancar cahaya (LED) teknologi pelekap permukaan untuk pengeluar automotif yang meraih jualan AS$204 juta (RM908.5 juta) tahun lalu, manakala pendapatan bersih pula ialah AS$27 juta (RM120.2 juta).

ViTrox, syarikat diasaskan pada 2000 yang membangunkan dan menghasilkan sistem penglihatan tiga dimensi serta imbasan talian untuk pemeriksaan litar bersepadu semikonduktor, berada di tempat keempat dengan jualan tahunan AS$164 juta (RM730 juta) dan pendapatan bersih AS$41 juta (RM182 juta).

Baki tiga lagi syarikat dalam senarai ialah Greatech Technology, Tashin Holdings dan CE Technology.

Ketiga-tiga syarikat itu meraih jualan tahunan masing-masing sebanyak AS$97 juta (RM132 juta), AS$94 juta (RM419 juta) dan AS$31 juta (RM138.1 juta).

Dalam satu kenyataan, Forbes berkata, senarai itu mengiktiraf 200 syarikat senaraian awam berprestasi tinggi kecil dan sederhana di rantau Asia-Pasifik dengan jualan di bawah AS$1 bilion (RM4.45 bilion).

“Selepas kembali daripada pasca pandemik menyaksikan pembuat pakaian, pengusaha pusat beli-belah, restoran, elektronik pengguna dan syarikat hiburan meraih manfaat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

7 syarikat Malaysia disenarai ‘Asian Best Under A Billion’


Content Type:

Duration:

Malaysia kekal pada kedudukan ketujuh dalam Indeks Ketangkasan Digital 2022 merentasi Asia Pasifik (APAC), menurut satu kajian oleh Workday, peneraju dunia dalam aplikasi perusahaan awan bagi kewangan dan sumber manusia.

Tinjauan itu mendapati bahawa 79 peratus organisasi di negara ini masih ketinggalan dalam ketangkasan digital di mana kebanyakannya mempunyai tahap kematangan digital yang perlahan dan taktikal di sebalik kepesatan transformasi digital dan penerimagunaan teknologi yang meningkat ketika pandemik.

“Kajian itu mendapati kurangnya kemahiran dari segi pengambilan bakat dan mengekalkan bakat merupakan cabaran terbesar yang dinyatakan oleh organisasi di Malaysia dalam mengejar transformasi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kajian itu, kemajuan ketangkasan digital merentasi sembilan pasaran APAC yang terlibat adalah tidak sekata, dengan organisasi di Australia meraih kemajuan terbaik dari segi usaha transformasi digital apabila berada pada kedudukan tertinggi pada tahun ini.

Singapura yang berada pada kedudukan pertama pada 2020, jatuh ke tangga kedua, diikuti New Zealand, Korea, Hong Kong dan Taiwan, manakala Indonesia berada pada kedudukan kelapan, diikuti Thailand.

“Daripada perspektif serantau, hanya 38 peratus daripada organisasi APAC menguasai tahap maju dalam ketangkasan digital.

“Bagi kelompok 62 peratus yang ketinggalan dalam ketangkasan digital, penggunaan teknologinya sering didorong oleh keperluan fungsian dan keperluan perniagaan seperti e-dagang, langkah keselamatan dan bekerja dari jauh ketika pandemik,” katanya.

Kajian itu melibatkan lebih 800 pemimpin kanan sumber manusia, teknologi maklumat dan kewangan dari sembilan pasaran dan 15 sektor di rantau APAC. 

Presiden Workday di Asia, Sandeep Sharma berkata, memandangkan ketangkasan kini menjadi sumber utama bagi kelebihan daya saing dalam ekonomi yang mengutamakan digital, organisasi yang didorong proses dipacu data dan diterapkan dengan kemahiran digital dan budaya kerja, berada pada kedudukan terbaik untuk berkembang maju.

“Walaupun terdapat kemajuan memberangsangkan berikutan lebih banyak organisasi berusaha menjadi pemimpin yang tangkas, hakikat bahawa kebanyakan organisasi di APAC yang masih ketinggalan, mencipta peluang untuk membantu organisasi mempercepat digital,” katanya. 

Dijalankan dengan kerjasama International Data Corporation (IDC), Indeks Ketangkasan Digital IDC- Workday 2022 memaparkan sejauh mana organisasi APAC telah berkembang dalam ketangkasan digital sejak pandemik COVID-19.

Sumber: Bernama

Kajian: Malaysia kekal pada kedudukan ketujuh Indeks Ketangkasan Digital APAC 2022


Content Type:

Duration:

Malaysia merupakan pasaran pembayaran masa nyata kelima paling pesat berkembang di seluruh dunia dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) sebanyak 26.9 peratus, menurut edisi ketiga laporan Prime-Time for Real Time 2022.

Laporan itu diterbitkan oleh syarikat perisian global yang menawarkan penyelesaian pembayaran masa nyata, ACI Worldwide, dengan kerjasama syarikat data dan analitik terkemuka, GlobalData, serta Pusat Kajian Penyelidikan Ekonomi dan Perniagaan (CEBR).

Dalam kenyataan pada Selasa, ACI Worldwide menjelaskan berdasarkan laporan itu, Malaysia memperlihatkan kepantasan yang luar biasa dalam pelaksanaan pembayaran masa nyata di seluruh negara, serta penerapan yang pantas dalam kalangan peserta bank dan bukan bank.

Ia menambah, mengikut laporan itu, Malaysia mencatatkan 1.1 bilion transaksi pembayaran masa nyata pada 2021, sekali gus membantu menjimatkan kos yang dianggarkan US$434 juta untuk perniagaan dan pengguna, serta menjana keluaran ekonomi tambahan sebanyak US$364 juta bersamaan dengan 1.11 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Menurut laporan itu, Malaysia terus memacu penerapan pembayaran masa nyata dan memperkenalkan aliran perkhidmatan moden, menjadikannya antara pasaran pembayaran masa nyata paling canggih di dunia.

“Perkembangan pembayaran masa nyata Malaysia adalah pantas, unik dan canggih, kerana ia merangkumi penerapan pantas yang dibina atas transaksi bernilai rendah, evolusi pantas ke arah perkhidmatan lebih canggih dengan nilai tambahan, serta kerajaan yang bertekad menyokong penerapannya,” tambah ACI Worldwide.

ACI Worldwide menjelaskan, laporan itu menjejaki volum pembayaran masa nyata dan pertumbuhan merentasi 53 negara.

Laporan yang merangkumi kajian impak ekonomi buat julung kalinya itu menawarkan pandangan menyeluruh mengenai manfaat ekonomi pembayaran masa nyata terhadap pengguna, perniagaan dan ekonomi merentasi 30 negara.

Ia meliputi semua negara G20, kecuali Rusia.

Naib Presiden dan Ketua ASEAN, ACI Worldwide, Chee Cheng Ong berkata Malaysia menjadi contoh terbaik kepada negara-negara ASEAN mengenai cara untuk mewujudkan, menyelaraskan dan memacu penggunaan rangkaian pembayaran masa nyata moden.

“Berlandaskan rangkaian pembayaran masa nyatanya pada ISO 20022, ia pantas menjadi antara persekitaran pembayaran masa nyata yang paling harmoni dan canggih di dunia, serta landasan paling ideal untuk memacu penerapannya, dan menyediakan pelbagai perkhidmatan nilai tambahan yang baharu,” katanya.

Menurut ACI Worldwide, perkembangan pembayaran masa nyata di Malaysia bermula pada Disember 2018, susulan kemunculan sistem pembayaran masa nyata baharu, DuitNow, yang diperkenalkan oleh rangkaian pembayaran nasional dan penyedia infrastruktur pusat, PayNet.

Sumber: Bernama

Malaysia sebagai pasaran pembayaran masa nyata kelima paling pesat berkembang di dunia


Content Type:

Duration:

Malaysia berada di kedudukan ke-32 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022, turun tujuh tangga dari kedudukan ke-25 yang direkodkan pada 2021.

Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, Thailand (di tangga ke-33 kali ini berbanding ke-28 pada 2021) dan Indonesia (di ranking ke-44 berbanding di kedudukan ke-37 sebelum ini) turut mengalami penurunan prestasi berikutan pembukaan semula ekonomi yang perlahan pasca-Covid-19 berbanding dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Rantau Asia juga menyaksikan ranking China turun satu tangga kepada 17 daripada 16, menongkah aliran meningkat kukuh yang dicatatkan negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan pemulihan ekonomi yang buruk dijejaskan lagi oleh strategi sifar-Covid.

“Melangkah ke hadapan, China perlu menstrukturkan semula ekonomi daripada pembuatan kepada perkhidmatan bernilai tinggi dan daripada pelaburan kepada penggunaan.

“Ia juga perlu membangunkan pasaran nasional disatukan untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi jangka panjang, dan ia hanya akan mencapai matlamat pembangunan sosio-ekonominya menerusi gabungan dasar makroekonomi,” jelas WCC.

Bagaimanapun, China masih mendahului ekonomi Asia-Pasifik (APAC) bersama Singapura (ketiga), Hong Kong (kelima) dan Taiwan (ketujuh).

Singapura mencapai ranking ketiga, naik dari kedudukan kelima, sekali gus berada di tangga teratasnya di rantau APAC.

Pemulihannya dipacu oleh peningkatan ketara ekonomi domestik (di tangga pertama berbanding ke-15 sebelum ini), pekerjaan (ketiga berbanding dengan ke-18), kewangan awam (keenam berbanding tangga ke-12) serta produktiviti dan kecekapan (ranking kesembilan berbanding ke-14 pada 2021).

Namun, ia kekal pada kedudukan yang agak rendah dalam beberapa subfaktor, termasuk amalan pengurusan (ke-14), infrastruktur saintifik (ke-16) serta kesihatan dan alam sekitar (ke-25).

Menurut WCC IMD, India mencatakan peningkatan ketara dalam kalangan ekonomi Asia, berada di kedudukan ke-37 berbanding ke-43 sebelum ini.

Kedudukannya melonjak enam tangga selepas empat tahun mengalami prestasi tidak berubah. Ini didorong terutama oleh lonjakan yang dicatatkan India dari segi prestasi ekonomi dan kecekapan perniagaan.

Ketua Ahli Ekonomi WCC IMD, Christos Cabolis berkata selain tekanan inflasi menjejaskan kebanyakan ekonomi, cabaran global lain yang turut sama memburukkan daya saing negara ialah varian Covid-19.

Ini termasuk jumlah orang yang dijangkiti di seluruh dunia, perbezaan dasar nasional untuk menangani Covid (dasar ‘sifar-toleransi Covid’ berbanding dengan dasar ‘terus bergerak daripada Covid’) selain pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia.

Sementara itu, Denmark, sebagai negara paling maju dari segi digital di dunia, mencapai kedudukan teratas buat kali pertama dalam sejarah 34 tahun ranking ini.

“Ini disokong oleh dasar yang baik, kelebihan yang diperoleh dengan menjadi sebuah negara Eropah, tumpuan jelas terhadap kemampanan dan dorongan daripada sektor korporatnya yang cekap,” kata Pengarah WCC IMD, Profesor Arturo Bris.

Switzerland kehilangan tempat teratas globalnya apabila turun ke tangga kedua, walaupun kekal kukuh dalam ranking keseluruhan.

WCR 2022 menilai 63 ekonomi, melalui data yang bersifat kuantitatif dan boleh dianalisis secara formal, di mana 333 kriteria daya saing dipilih sebagai hasil penyelidikan komprehensif menggunakan kajian ekonomi; sumber antarabangsa, nasional dan serantau serta maklum balas daripada komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan ahli akademik, selain respons tinjauan (100 eksekutif setiap ekonomi secara purata) daripada eksekutif kanan, dikutip daripada 56 institut rakan kongsi tempatan.

Sumber: Bernama

Malaysia di kedudukan ke-32 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2022


Content Type:

Duration:

Kuala Lumpur berada di kedudukan bandar raya ke-46 terbaik dunia dari segi keselamatan kewangan dan pengurusan legasi atau pewarisan, demikian menurut hasil kaji selidik oleh Veolar.eu yang juga peneraju global bagi pengeluaran dan pengedaran antioksidan.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu berkata kaji selidik yang bertujuan mengenal pasti bandar raya terbaik dunia bagi tujuan persaraan menunjukkan Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebagai lokasi terbaik dan diikuti oleh Singapura dan Wellington, New Zealand.

Usaha menerusi kerjasama dengan Magmatic Research, turut menunjukkan bahawa pesara Tokyo menikmati tahap kehidupan terbaik dan diikuti oleh Singapura dan Wellington.

“Sejajar dengan peningkatan ketara inflasi dan ketidakstabilan global, kaji selidik tersebut menunjukkan bandar raya terbaik untuk pesara dengan menganalisis kebolehhidupan bagi peringkat usia lanjut, keselamatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pengurusan kekayaan.

“Keputusannya menunjukkan pesara tempatan menikmati kualiti kehidupan terbaik serta bandar terbaik bagi tujuan pengurusan pewarisan,” katanya.

Menurut kaji selidik itu, bandar raya Oslo, Norway, adalah yang terbaik di dunia bagi keselamatan kewangan, satu ukuran kestabilan ekonomi dan persekitaran fiskal bagi pesara di setiap bandar dengan Lisbon dan Porto di Portugal di tempat kedua dan ketiga.

“Pesara berdepan insiden konflik dan ketidakstabilan politik yang rendah di Wellington manakala Singapura dan Auckland, New Zealand pula di kedudukan kedua dan ketiga bagi aspek itu,” katanya.

Sumber: Bernama

KL ke-46 terbaik dunia bagi keselamatan kewangan, pengurusan pewarisan – Veolar


Content Type:

Duration:

PETRONAS sekali lagi berada di tempat teratas dalam senarai Syarikat Terbaik LinkedIn 2022 di Malaysia, yang menampilkan 15 tempat kerja terbaik untuk kakitangan mengembangkan kerjaya, kali kedua berturut-turut syarikat minyak dan gas negara bersepadu sepenuhnya itu mengungguli senarai berkenaan.

Ini diikuti oleh Maybank, Bosch, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan B. Braun Group.

Dalam kenyataannya, LinkedIn berkata, PETRONAS komited untuk meningkatkan kemahiran pekerjanya supaya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang berubah dengan cepat.

Katanya, daripada tujuh syarikat tempatan yang disenaraikan pada 2022, tiga adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan satu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).DISYORKAN UNTUK ANDA

Ia terdiri daripada PETRONAS, Maybank, PNB dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) di kedudukan ke-11.

“Entiti kerajaan adalah antara majikan terbesar di negara ini dan terus mengambil pekerja dari peringkat permulaan hingga ke jawatan kanan, selain menawarkan peluang latihan dan program pelatih,” katanya.

Menawarkan senario kerja yang fleksibel, Maybank memperkenalkan persekitaran kerja hibrid yang membolehkan pekerja mempunyai akses ke ‘hot-desking’ dan bilik mesyuarat, manakala PNB memulakan aturan kerja fleksibel yang baharu, membolehkan 1,750 pekerja bekerja dari rumah semasa pandemik.

Katanya, melalui inisiatif global 4Diversity, B. Braun Group memberi tumpuan kepada meningkatkan kesedaran dan peluang untuk kemajuan kerjaya yang sama rata.

Syarikat itu melaburkan sumber untuk menambah jumlah pengurus wanita untuk mencerminkan mempunyai wakil yang sama di semua peringkat pengurusan.

Sementara itu, Bosch mempunyai reputasi untuk persekitaran kerja yang seimbang dengan mengamalkan kepelbagaian dan keterangkuman.

“Dalam pada kita terus menghadapi realiti yang mencabar di dunia hari ini, pembabitan dan sokongan pekerja kini lebih penting berbanding sebelum ini.

“Senarai Syarikat Terbaik LinkedIn meraikan syarikat yang melabur dalam pertumbuhan dan kesejahteraan sumber yang paling penting di tempat kerja – pekerja.

“Dengan program dan inisiatif yang khusus untuk menyokong perkembangan kerjaya dan keperluan yang semakin meningkat untuk keseimbangan kerja-kehidupan, syarikat-syarikat ini menerajui tanggungjawab untuk kejayaan jangka panjang dalam tenaga kerja,” kata Editor Pengurusan Kanan LinkedIn News, Satoshi Ebitani.

Sumber: Berita Harian

PETRONAS dinobat majikan terbaik di Malaysia


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing bagi 2021 dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan oleh Airports Council International (ACI).

KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang yang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini.

ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Penghargaan terbaharu oleh badan global itu akan memberi dorongan kepada MAHB untuk terus mengekalkan standard tinggi perkhidmatannya terutama dengan jangkaan peningkatan penumpang selepas sempadan Malaysia dibuka semula pada 1 April 2022.

Kumpulan itu merekodkan sejumlah 4.66 juta penumpang pada Februari 2022, yang mana 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbang oleh rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).

Di Malaysia, pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa sebanyak 280,000, manakala ISG mencatatkan 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa.

Bagi operasi kargo, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah tan sebanyak 17.4 peratus bulan lalu yang mana kira-kira 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki, berbanding dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Syarikat penerbangan kargo milik Malaysia, Kargo Xpress yang memulakan operasinya di KLIA pada Jun lalu, memulakan laluan baharu Kuala Lumpur-Hong Kong selain mengendalikan dua penerbangan kargo tempatan ke Kuching dan Kota Kinabalu.

Ia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan harian ke Hong Kong ekoran pertumbuhan permintaan terhadap kargo udara daripada sektor e-dagang, perkhidmatan pos, penghantaran dan industri yang memerlukan perkhidmatan logistik bernilai tinggi.

Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata trafik dijangka pulih dengan stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang apabila lebih banyak negara membuka semula sempadan sejajar dengan kadar vaksinasi tinggi di rantau ini.

Ia berkata, peningkatan seterusnya dijangkakan bermula separuh kedua 2022.

Penutupan ruang udara Ukraine dan Russia ekoran konflik antara kedua-dua negara itu ketika ini menganggu sementara penerbangan antara ISG Istanbul, Ukraine dan Russia (Moscow dan St Petersburg).

Bagi Asia Pasifik, penutupan ruang udara itu menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa mengubah semula laluan penerbangan ke Eropah, yang menyebabkan penambahan masa penerbangan dan peningkatan penggunaan bahan api dan kos.

Kumpulan itu sedang memantau perkembangan di Ukraine selain peningkatan harga bahan api pesawat dan akan terus menilai impaknya kepada trafik antarabangsanya.

Sumber: Bernama

KLIA, Langkawi dipilih antara lapangan terbang terbaik dunia


Content Type:

Duration:

Malaysia mampu menjadi antara 10 negara teratas dalam Indeks Daya Saing Digital Global jika penambahbaikan kepada peraturan berkaitan perniagaan dilaksanakan secara holistik.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata inisiatif yang diperkenalkan secara digital itu tidak hanya memperkukuhkan persekitaran perniagaan melalui penyampaian peraturan berkualiti juga mampu melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.3 peratus.

Beliau berkata, kedudukan negara dalam infrastruktur teknologi menunjukkan trend menurun ke tangga 20 pada tahun 2021 berbanding pada tahun 2020 dan 2019.

Katanya, seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), terdapat perbezaan dasar dan peraturan berkaitan dengan penyediaan infrastruktur digital di setiap negeri.

“Antara usaha untuk menambahbaik kedudukan petunjuk ini adalah mempercepatkan pembinaan infrastruktur digital melalui perlaksanaan sesi libat urus secara berterusan bagi meningkatkan kefahaman industri mengenai usaha kerajaan dalam menambahbaik persekitaran perniagaan, terutama berkaitan dengan pembinaan infrastruktur digital di tepi lebuh raya.

“Kerjasama kementerian dan agensi berkaitan juga perlu dipertingkatkan bagi pengharmonian data infrastruktur yang penting dalam merangka intervensi bersesuaian untuk mengatasi isu pembinaan infrastruktur digital.

“Inisiatif ini diharap dapat memperbaiki kedudukan negara ke-10 teratas dalam infrastruktur digital menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Latif berkata, inisiatif berkenaan juga telah dibentangkan dalam Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“MPC memberi tumpuan kepada pengurusan perubahan yang diterajui bersama MyDIGITAL Corporation dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), Nexus Produktiviti, Kementerian dan Agensi bagi menyokong daya saing digital negara.

“Teknologi dan digitalisasi adalah faktor penting kepada pertumbuhan produktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, MPC turut menjalankan deep-dive ke atas petunjuk daya saing bagi mengenalpasti isu spesifik yang menjadi cabaran kepada daya saing negara bagi pelaksanaan penambahbaikan.

“Proses penambahbaikan ini dilaksanakan secara bersama antara sektor awam dan swasta melalui pendekatan ‘collaborative innovation’.

“Uji kaji peraturan akan dijalankan bagi meningkatkan prestasi Malaysia menerusi Indeks Daya Saing Digital Global,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia ke arah 10 teratas Indeks Daya Saing Global


Content Type:

Duration:

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada di kedudukan pertama dalam kaji selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021.

Kedudukan itu dicapai bersama sembilan lapangan terbang antarabangsa lain dalam kategori sama, iaitu lebih 40 juta penumpang setahun, yang mencatatkan skor sempurna 5.00 dalam kaji selidik global berkenaan.

Malaysia Airports dalam kenyataannya berkata, keputusan itu diumumkan baru-baru ini oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), yang bertanggungjawab memberi penanda aras kepada lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan keseluruhan penumpang bagi keselamatan, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan terminal.

Ia berkata, pencapaian terkini KLIA itu memberikan jaminan tambahan kepada penumpang terhadap komitmen berterusan lapangan terbang berkenaan untuk meningkatkan perkhidmatan, di sebalik prosedur operasi standard (SOP) perjalanan yang ketat bagi membendung pandemik COVID-19.

“Bulan lalu, Malaysia Airports merekodkan sejumlah 2.7 juta pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang tempatannya, manakala aset di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) mencatatkan pergerakan dua juta penumpang,” katanya.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata beberapa bulan yang lalu menyaksikan pergerakan penumpang meningkat secara mendadak.

“Dengan peningkatan ini, kami perlu memastikan bahawa standard perkhidmatan di lapangan terbang secara konsisten dikekalkan. Tempoh yang senggang sebelum ini membolehkan kami melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan dan skor ASQ yang sempurna ini adalah bukti usaha yang dilakukan oleh seluruh komuniti lapangan terbang.

“Untuk diletakkan di kedudukan pertama bersama lapangan terbang global lain juga adalah satu penghormatan buat negara ini. Kami bersedia untuk menyambut pengembara sebaik saja sekatan perjalanan antarabangsa ditamatkan.

“Sebagai contoh, kami secara konsisten mencapai skor sempurna 5.00 bagi elemen ASQ ‘berasa selamat dan terjamin’ pada 2021,” katanya.

Berikutan perjalanan antarabangsa masih terhad, prestasi trafik penumpang Malaysia Airports dipacu oleh perjalanan domestik.

Bagi Malaysia, trafik domestik direkodkan pada pada 2.5 juta penumpang bulan lalu, 90 peratus daripada jumlah pergerakan keseluruhan penumpang di negara ini.

Tinjauan bagi industri penerbangan Malaysia juga kekal positif apabila bulan lalu menyaksikan ketibaan sebuah syarikat penerbangan baharu dan penambahan beberapa laluan penerbangan lagi.

Sumber: Berita Harian

KLIA dinobat penyedia perkhidmatan terbaik dunia


Content Type:

Duration:

Malaysia menduduki tempat teratas dalam kalangan negara di Asia Tenggara dalam laporan demokrasi tahunan yang dikeluarkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) dengan skor keseluruhan 7.24.

Laporan Indeks Demokrasi 2021 oleh bahagian penyelidikan dan analisis The Economist Group meletakkan Malaysia di kedudukan lebih tinggi berbanding Timor Leste (7.06), Indonesia (6.71), Filipina (6.62), Singapura (6.23), Thailand (6.04), Vietnam (2.94), Kemboja (2.90) dan Myanmar (1.02).

Malaysia menduduki tempat keenam di rantau Asia dan Australasia serta ke-39 di peringkat global.

Menurut data dari 2006 hingga 2021, skor Malaysia pada 2021 menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya (7.19) dan merupakan yang terbaik untuk negara sepanjang tempoh itu.

Indeks Demokrasi, yang bermula pada 2006, memberi gambaran keadaan demokrasi di seluruh dunia di 165 negara merdeka dan dua wilayah berdasarkan penarafan bagi 60 indikator yang dihimpun dalam lima kategori iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, kebebasan sivil, fungsi kerajaan, penyertaan politik serta budaya politik.

Dalam Indeks Demokrasi 2021, Malaysia memperoleh skor 9.58 bagi proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi kerajaan (7.86), penyertaan dalam politik (7.22), budaya politik (6.25) dan kebebasan sivil (5.29).

Norway mendahului indeks di peringkat global dengan skor 9.75 diikuti New Zealand (9.37) dan  Finland (9.27) manakala Korea Utara (1.08), Myanmar (1.02) dan Afghanistan (0.32) berada di kedudukan paling bawah dalam senarai itu.

“Keputusan itu mencerminkan kesan negatif yang berterusan pandemik COVID-19 terhadap demokrasi dan kebebasan di seluruh dunia selama dua tahun berturut-turut,” menurut laporan itu.

Ia juga menyebut pandemik itu telah mengakibatkan penarikan balik kebebasan sivil yang belum pernah berlaku dalam kalangan negara demokrasi maju dan rejim autoritarian, antara lain memerlukan bukti vaksinasi pencegahan COVID-19 bagi penglibatan dalam kehidupan awam.

Sumber: Bernama

Malaysia di tempat teratas Indeks Demokrasi EIU dalam kalangan negara ASEAN


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Malaysia menjadi negara paling menarik di rantau Asia Tenggara untuk pelaburan asing, didorong oleh kejayaan negara menarik lebih RM220 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2021 untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, demikian menurut Indeks Peluang Global (GIO) Milken Institute 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini,  Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini adalah bukti seterusnya kepada keazaman, komitmen dan usaha proaktif kerajaan dalam membangunkan dasar yang kukuh serta cekap dan sentiasa memacu pembaharuan domestik.

“Komitmen itu akhirnya telah melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan tanpa ragu-ragu menandakan keyakinan kukuh pelabur asing dalam ekosistem perniagaan yang cekap serta ekonomi rancak kita,” katanya.

Indeks yang dikeluarkan semalam melaporkan bahawa Malaysia memperoleh tempat teratas berikutan prestasi kukuhnya merentas semua kategori yang diukur, iaitu mempunyai prestasi ekonomi yang mantap selain menawarkan tenaga kerja yang berkelayakan tinggi dan bersepadu teguh dengan ekonomi global.

Azmin berkata ini jelas menunjukkan kejayaan usaha besar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam melaksanakan dasar yang memastikan ketersediaan bakat dan perlindungan serta penghasilan pekerjaan untuk ekonomi.

“Mencari peluang secara agresif terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu, memacu kerjasama yang lebih erat dengan industri dalam inisiatif peningkatan dan kemahiran semula serta menarik lebih banyak pelaburan strategik ke dalam negara akan kekal menjadi tumpuan MITI dalam memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing paling menarik.

Malah, laporan itu juga menjelaskan bahawa Malaysia mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan dan menggubal dasar untuk memanfaatkan pembangunan perdagangan, sekali gus membantu negara ini berada di kedudukan pertama dalam indeks berkenaan, katanya.

Azmin berkata langkah-langkah ini bertindak sebagai pendorong untuk memimpin negara ke arah peningkatan inovasi, penghasilan pekerjaan dan daya saing global.

“Ini  diselaraskan dengan komitmen kita  dalam mengukuhkan rangka kerja institusi dan memperdalam integrasi serantau melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) mega seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)  dan  Perjanjian Komprehensif  dan Progresif  bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan diratifikasi tidak lama lagi,” katanya.

Sumber: Bernama

Azmin: Malaysia muncul negara paling menarik di rantau Asia Tenggara untuk pelaburan asing


Content Type:

Duration:

Malaysia berada di kedudukan ke-39 dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dalam laporan yang dikeluarkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) bagi tahun 2021 daripada 113 negara seluruh dunia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata kedudukan Malaysia dalam kalangan negara Asia Pasifik adalah lapan terbaik manakala kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura.

“Namun begitu pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses yang berterusan dan kita mestilah terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan kita dalam GFSI ini seiring dengan hasrat Kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2022 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Beliau berkata justeru, Pelan Tindakan Dasar Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang bakal dilancar dalam masa terdekat adalah strategi yang akan mendokong pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

Katanya fasa permulaan pelaksanaan DAN 2.0, dasar menyeluruh bagi memastikan sekuriti makanan negara berdaya saing serta mampan berlandaskan dasar-dasar utama kerajaan termasuk Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030, adalah antara pencapaian utama MAFI tahun lepas.

“Bagaimanapun, sebarang perancangan dasar tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak lebih besar dalam kesejahteraan Keluarga Malaysia. DAN 2.0 bukan hanya satu dokumen dasar semata-mata malah ia mesti dijadikan panduan dan rujukan dalam segala usaha serta inisiatif yang diambil oleh MAFI.

“Dalam hal ini, saya yakin MAFI akan melaksanakan kesemua strategi dan inisiatif yang telah digariskan di bawah DAN 2.0 serta Pelan Tindakan DSMN mengikut tempoh pelaksanaan bagi mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Ronald berkata DAN 2.0 telah meletakkan pemodenan dan pertanian pintar sebagai pencetus perubahan dan teras dasar utama yang akan diberi tumpuan bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

Katanya sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar dijangka meningkat kepada lima peratus menjelang 2030 iaitu tahun akhir pelaksanaan DAN 2.0 berbanding 2.3 peratus pada 2020.

Beliau turut memaklumkan Lembaga Ruminan Negara bakal ditubuh dan beroperasi secara berfasa bermula tahun ini untuk merancakkan pertumbuhan industri ruminan khususnya dalam memantapkan pengeluaran daging serta tenusu negara.

Ronald berkata MAFI telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 bagi membangunkan industri ruminan negara.

“Melalui pelan-pelan ini, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan akan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50 peratus sasaran tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau juga berkata Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2021 yang sepatutnya diadakan dari 21 hingga 23 Dis 2021 terpaksa ditangguhkan berikutan bencana banjir dan tarikh baharu akan disesuaikan semula mengambil kira pelaksanaan MAHA 2022.

Katanya beliau berharap kedua-dua program dapat dilaksanakan tahun ini.

Source: Bernama

Malaysia berada di kedudukan ke-39 Indeks Sekuriti Makanan Global 2021


Content Type:

Duration:

Kedudukan Malaysia pada tempat ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei, selepas hampir dua tahun memerangi pandemik Covid-19, merupakan pengiktirafan kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh berkata kejayaan Malaysia memerangi pandemik itu adalah hasil penglibatan dan kerjasama antara penjagaan kesihatan awam, swasta dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Vaksinasi yang tersusun membantu negara kita. Bilangan kumpulan antivaksin juga tidak setinggi negara lain, malah kita berjaya mengubah mereka dan menerima vaksin akhirnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, Dr Kuljit berkata aplikasi MySejahtera yang mantap turut menyumbang secara signifikan kepada negara dalam menangani kes Covid-19 walaupun perjuangan itu belum diisytihar ‘menang’.

Berdasarkan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-13 dengan 66.5 mata, manakala Bahrain tersenarai pada tempat teratas dengan 82 mata, diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Menurut laman webnya, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah bagi pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks tersebut menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat; sumber data termasuk daripada Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Sementara itu, pakar epidemiologi Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang diketuai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Menterinya Khairy Jamaluddin menggunakan strategi politik dan pengurusan wabak yang berkesan serta sokongan daripada semua agensi terlibat termasuk masyarakat, adalah penyebab sebenar kejayaan itu.

Beliau menegaskan bahawa dalam kesihatan awam, usaha kolektif adalah paling penting dan kejayaan tidak boleh sekadar bergantung kepada pencapaian individu.

“Saya berpendapat ia merupakan pencapaian yang sangat baik…menerusi komitmen semua pihak dalam memastikan pengendalian wabak Covid-19 yang optimum membolehkan negara berjaya melakukan pelan pemulihan sepertimana yang dirancangkan.

“Ini setanding dengan kebanyakan negara Asia yang lain. Komitmen ini perlu diteruskan bagi memastikan kejadian kes atau kluster dapat dibendung sekali gus membolehkan strategi pemulihan berkenaan tidak terhenti mahupun ditangguhkan,“ katanya.

Berkongsi sentimen sama, pakar epidemiologi dan kesihatan awam dari Universiti Malaya Prof Dr Sanjay Rampal berkata Malaysia kini agak baik dengan kes harian yang dilaporkan secara relatifnya lebih rendah dan kadar insiden juga lebih rendah berbanding negara lain.

“Kita mempunyai kadar insiden asas yang lebih rendah sejak beberapa minggu lepas. Ini mungkin disebabkan variasi bermusim dan imuniti masyarakat masih tinggi berikutan program vaksinasi yang lepas,” katanya.

Dr Sanjay berkata jumlah kes pada beberapa bulan akan datang mungkin terus rendah atau boleh juga meningkat disebabkan beberapa faktor seperti kewujudan strain Omicron sebagai strain utama yang lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta.

Bagaimanapun, beliau yakin perkhidmatan hospital tidak akan terbeban jika negara merancang perkhidmatan Covid-19 dengan proaktif dan bekerjasama untuk melibatkan seluruh masyarakat dalam memerangi Covid-19.

Dr Noor Hisham menerusi hantaran dalam Facebooknya semalam berkata Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dengan Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes terutama disebabkan varian Omicron dalam tempoh yang singkat.

Beliau berkata Malaysia kini menduduki tempat keenam dalam Indeks Covid-19 Global (GCI) yang dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sumber: Bernama

Malaysia tempat ke-13 dalam Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei


Content Type:

Duration:

Kuala Lumpur melonjak 11 tempat untuk berada di kedudukan ke 15 daripada 20 Hab Teratas Fintech Asia, mengikut laporan Asia Pacific Fintech Rankings: Bridging Divides.

Laporan oleh firma penyelidikan dan analitik global Findexable dan dikuasakan oleh Mambu, sebuah platform perbankan global perisian sebagai perkhidmatan (Saas), telah meletakkan Hong Kong, Singapura dan Sydney di Australia sebagai tiga hab fintech yang berada di kedudukan teratas.

Ia berkata negara-negara Asia adalah antara yang pertama melancarkan lesen perbankan pakar digital untuk menggalakkan bank digital (neobanks) sebagai sebahagian daripada strategi keterangkuman ekonomi yang lebih luas.

“Malaysia dan Singapura juga mempunyai sandbox kawal selia yang membolehkan bank digital memanjangkan beberapa perkhidmatan kepada pelanggan perintis tanpa lulus ujian kawal selia harian,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Findexable dan Pengasas Bersama, Simon Hardie berkata, kedudukan hab fintech Asia Pasifik adalah bukti kepelbagaian, kepintaran dan komitmen rantau ini terhadap inovasi.

“Dengan 45 hab di seluruh rantau ini, dengan satu pertiga lebih banyak dari tahun 2020, firma fintech di seluruh Asia Pasifik membuktikan fintech ialah enjin bagi ekonomi digital.

“Lebih penting lagi, seperti yang ditunjukkan oleh laporan ini, fintech menunjukkan bahawa membina perniagaan yang berjaya harus seiring dengan menyumbang kepada keterangkuman kewangan dan matlamat pembangunan yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Mambu, Myles Bertrand berkata, platform perbankan awan Saas telah menyaksikan pecutan yang menakjubkan dalam kadar inovasi fintech di seluruh rantau sepanjang tahun lalu dan penggunaan teknologi kewangan baharu kini dipacu terutamanya oleh permintaan pengguna yang tercetus daripada pandemik.

“Pengguna di seluruh Asia Pasifik telah mengalami bagaimana teknologi perbankan digital boleh menjadikan kehidupan mereka lebih mudah dengan pelbagai cara yang lebih pantas, lebih selesa dan lebih murah untuk mengurus wang mereka,” katanya.

Beliau berkata, Asia telah menjadi tempat kepada hampir separuh daripada 20 hab teknologi kewangan global terbaik yang dikenal pasti dalam laporan itu tetapi peraturan yang berbeza dari satu negara ke negara lain boleh menjadi penghalang sebenar kepada pertumbuhan multinasional di rantau itu.

“Setiap bank pusat atau kerajaan mempunyai agenda tersendiri, jadi amat penting bagi fintech untuk bekerja secara kolaboratif dengan pengawal selia di setiap negara untuk memahami kebimbangan mereka dan membantu menyokong penciptaan ekosistem yang saling menguntungkan yang menyokong inovasi,” tambahnya.

Laporan itu menekankan peranan penting inovasi fintech dalam menutup jurang antara mereka yang mendapat perkhidmatan bank, tidak mendapat layanan perbankan dan tidak ada perkhidmatan perbankan, terutamanya di negara yang mungkin mempunyai tahap keterangkuman kewangan formal yang rendah tetapi tahap pemilikan telefon pintar dan penembusan internet yang tinggi.

Sumber: DagangNews

Malaysia berada di kedudukan ke-15 dari 20 hab teratas Fintech Asia


Content Type:

Duration:

Pertumbuhan e-dagang Malaysia menduduki tempat pertama dalam kalangan negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam laporan terkini Deloitte bertajuk ‘Technology-empowered Digital Trade in Asia Pacific’.

Deloitte dalam satu kenyataan hari ini berkata, saiz pasaran e-dagang Malaysia berjumlah AS$6.297 bilion, mewakili 61.4 peratus daripada saiz pasaran e-dagang di China dan disenaraikan dalam kalangan pasaran membangun selepas Indonesia dan Thailand.

Penyedia perkhidmatan audit, perundingan, cukai dan nasihat itu berkata Malaysia juga mencatatkan kadar penembusan tertinggi bagi pendigitalan jualan e-dagang rentas sempadan pada 65.7 peratus.

Bagaimanapun, keseluruhan e-dagang rentas sempadan negara dihadkan oleh faktor-faktor seperti prasarana logistik rentas sempadan dan operasi teknikal yang menjejaskan pembangunannya.

“Ketika ini, penggunaan rentas sempadan hanya menyumbang 42 peratus daripada saiz pasaran ekonomi Internet di Malaysia, yang lebih rendah berbanding pasaran matang dalam kalangan anggota RCEP,” katanya.

Deloitte mengkategorikan Malaysia bersama dengan Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina sebagai pasaran membangun selepas China, Korea Selatan, Singapura dan Jepun yang merupakan antara pasaran matang.

Pasaran peringkat awal ialah Myanmar, Kemboja, Laos dan Brunei.

Deloitte percaya rantau ini bakal memasuki era emas bagi perdagangan digital dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Peningkatan berterusan prasarana digital akan menyelesaikan secara efektif dua kekangan utama yang memberi kesan kepada perdagangan rentas sempadan iaitu logistik dan pembayaran.

“Teknologi blockchain juga mewujudkan ruang baharu imiginasi bagi perdagangan digital,” katanya.

Selain itu, prasarana kritikal seperti 5G akan membantu membina platform pengedaran data dan seni bina rangkaian baharu dan memudahkan Internet of Everything (IoE).

“Pengumpulan meluas data raya ditambah dengan kecerdasan buatan (AI) juga akan memainkan peranan utama dalam membuat keputusan yang bijak,” katanya.

Peningkatan perusahaan mikro-multinasional (mMNEs) telah menjadi pemacu utama di sebalik transformasi perdagangan digital di Asia Pasifik.

mMNEs menyediakan ‘produk buatan tempatan’ yang dipelbagaikan dan perkhidmatan penyesuaian ringan bagi pembeli global selain menyumbang lebih 85 peratus daripada aktiviti e-dagang rentas sempadan Asia Pasifik.

Sementara itu, WorldFirst, perniagaan pembayaran antarabangsa utama dengan lebih 40 peratus bahagian pasaran di China, Jepun dan Korea menganggap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi di rantau ini.

“Dengan sokongan prasarana jualan dan pembayaran dalam talian rentas sempadan dan RCEP mula berkuat kuasa tahun depan, PKS di rantau ini akan dapat bertapak kukuh dalam perdagangan rentas sempadan,” kata Ketua WorldFirst di China Frankie Fan.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan e-dagang Malaysia di kedudukan pertama dalam kalangan anggota RCEP – Deloitte


Content Type:

Duration:

Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul sebagai universiti swasta terbaik dan kedua terbaik dalam kalangan universiti Malaysia, menurut Times Higher Education (THE) Emerging Economies Rankings 2022.

Naib Canselor UTP Profesor Tan Sri Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata universiti berkenaan kini berada pada kedudukan ke-60, melonjak dua anak tangga berbanding kedudukan ke-62 sebelum ini.

Katanya UTP berjaya menyerlah dengan memperoleh markah tertinggi dalam penyelidikan di negara ini dan telah meningkat dengan ketara dalam pemetikan dan skor tinjauan antarabangsa.

Menurut  beliau universiti amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukannya.

“Kami berjaya mengukuhkan kedudukan kami dalam kalangan universiti terbaik di negara yang ekonomi yang sedang pesat membangun.

“Pencapaian ini membuktikan usaha gigih dan ketekunan kami dalam menyampaikan komitmen terhadap semua pihak berkepentingan universiti, terutamanya syarikat induk kami Petronas, pelajar, ibu bapa, penaja dan rakan usaha sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Edisi 2022 THE Emerging Economies Rankings merangkumi 698 universiti dari negara yang kata   dikelaskan oleh Kumpulan FTSE Bursa Saham London sebagai negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang maju, muncul peringkat kedua atau sempadan.

Indikator kedudukan itu menggunakan 13 penunjuk prestasi yang ditentukur dengan teliti dan digunakan dalam semua ranking THE.

UTP juga berada pada kedudukan ke-72 dalam QS Asia University Rankings 2022 dengan peningkatan markah dalam reputasi akademik, pemetikan setiap kertas kajian, kertas kajian setiap fakulti, rangkaian penyelidikan antarabangsa serta pertukaran keluar dan masuk pelajar.

Sumber: Bernama

UTP Malaysia duduki tempat teratas universiti swasta dalam Ranking Ekonomi Memuncul


Content Type:

Duration:

wpChatIcon